Oh angin
Sampaikan laguku padanya
Yang sedih pilu
Terimalah
Laguku jadi
Teman hidupmu
Untuk selamanya
Gemersik halus alunan Reymee yang menggetarkan meresap perap ke dalam jiwa menerusi corong-corong fon
telinga. Projeksi suara dengan perincian teknikal yang sofistikated dan lenggok ad lib
yang mengasyikkan berpadu satu dengan ketulusan pada bait-bait lirik lagu
Belaian Jiwa. Lantas jiwa menjadi sayu, menjadi lara. Menjiwai bukan hanya pada kesempurnaan
sentuhan komposisi muzik, tata susun vokal nan harmonis, tetapi pada penjiwaan romantis;
Pot, Reymee, Taj dan Sam. Curah hati yang tidak mungkin dimamah masa dan ketika yang
berlalu dan menjadi sesuatu yang abadi. Belaian Jiwa menzahirkan dambaan
kasih, rintihan sayang dan raungan cinta pada seorang perawan yang diumpamakan
seperti seorang bidadari kurungan syurga.
Platform LRT Putra Masjid Jamek
sedikit lengang, luar biasa daripada kebiasaan. Normanya, platform aras bawah
tanah ini akan dipenuhi umat kelas pekerja yang tergesa-gesa mengejar masa. Umpama
keberadaan kita di dalam koc LRT Putra yang paling belakang, dengan menghalakan
pandangan pada tingkap yang melatarkan ruang kosong terowong, dan apabila LRT Putra melaju
meninggalkan stesen, kita sekan-akan melalui 'terowong masa' yang berlalu
mengendahkan yang alpa. Fikiran mula melayang jauh bersama
detik masa dan ketika yang berlalu, pada mitos Penjejak Masa yang menongkah sebuah
ketentuan, dilaknat Tuhan kerana mempersendakan ruang masa dan ketika yang sakred.
Aku beratur dengan tertib pada
pintu automatis yang memisahkan ruang platform dan ‘terowong masa’. Ruang tertutup
itu sedikit gelap dan hanya disimbah lampu-lampu dari ruang platform dan remang
cahaya lampu siap bina pada papan-papan iklan. Aku terlihatkan sebuah figura menerusi
pantulan refleksi pada pintu kaca. Di dalam pantulan refleksi itu kelihatan;
susuk figura yang kurus, dengan rambut panjang yang kusut mengurai mencecah
kolar uniform, muka yang sedikit cengkung dengan garis-garis hitam di bawah
kelopak mata, kelihatan lesu dan tidak bermaya. Figura itu pada zahirnya kelihatan
semacam terperangkap di antara ruang platform, pintu kaca dan ‘terowong
masa’.
Pandangan mengitar ruang
platform yang makin penuh diisi umat kelas pekerja. Mata kemudiannya
tertancap dengan penuh kelembutan pada figura seorang bidadari. Ringkas berjubah
dengan lilitan selendang tanpa sentuhan mekap yang menyelindungi keindahannya. Aku
kenal bidadari itu. Seraya memori-memori
lama yang dikebumikan dalam-dalam mula menjengah ruang fikir yang
digelumangi kesayuan. Aku halakan pandangan kembali pada pantulan refleksi di dalam pintu kaca yang semacam membalas pandangan, terus sehingga ke dasar jiwa yang
paling dalam, yang paling seni. Aku pejamkan mata. Panahan mata itu terlalu
menghukum.
Empat tahun berlalu. Merangkak terlalu
perlahan. Masa berubah. Kita berubah. Selari dengan masa. Sama ada kita berlari
seiring dengan masa. Atau dengan penuh lelah dan keringat, kita cuba mengejar
dan mengejar, tetapi malangnya, kita tidak terdaya dan ketinggalan jauh di
belakang. Atau kita pegun. Pegun pada titik yang sama dengan lalu masa yang menjauh
dan makin menjauh meninggalkan kita. Tanpa toleh. Tanpa belas. Kita ketinggalan.
Dalam ketahuan kita tidak akan sesekali mampu mengejar masa. Apatah lagi
melangkaui masa. Ini bukan sebuah mitos, sebuah legenda mahu pun sebuah hikayat.
Ini sebuah ketentuan. Ketentuan yang tidak mungkin merubah dan berubah, sejak
pencipataan Adam yang disingkir dari syurga Tuhan. Ketentuan yang sakti.
Umat kelas pekerja mula berpusu-pusu
masuk mengisi ruang koc LRT Putra yang sendat. Aku bersandar pada sisi keluar-masuk
pintu automatis melepaskan pandangan ke luar 'keretapi masa'. Ekor mata kejap-kejap mencari kelibat bidadari itu yang berdiri berpaut pada pemaut tangan
tidak berapa jauh dari keberadaan aku. 3 stesen ke destinasi masa. Dang Wangi,
Kampung Baru dan KLCC. Dalam sela masa 10 minit yang berlalu, imbau masa lepas
itu mengawang-awang mengisi cepu kepala yang memikirkan sebuah ketentuan. Pada Tuhan.
Pada suratan takdir. Pada sisi kepercayaan yang hilang. Pada lalu masa yang
merubah dan berubah. Pada seorang bidadari. Pada seorang aku.
Aku keluar dari koc LRT Putra
tanpa menoleh, seakan-akan kali ini aku yang berlalu melangkaui dan meninggalkan masa.
Dengan ruang fikir yang akur pada sebuah ketentuan. Pada Tuhan yang acap kali menyentuh jiwa. Yang Maha Mendengar dan Memahami. Pada rintih. Pada doa. Moga-moga
ruang masa bidadari itu dan aku berpadu satu pada pada titik yang sama. Pegun. Menjadi
sesuatu yang abadi. Sebuah tinggalan puing-puing masa dan ketika yang akan disemat dekat
dengan jiwa yang lara. Yang mengindikasi pada dua kemungkinan
sebuah ketentuan, pada jalur kebahagian dan kepercayaan, atau pada lembar kekecewaan
dan penafian.
Pada sebuah ketentuan, aku dalam ketahuan, di platform LRT Putra Masjid
Jamek, bidadari itu terlihatkan aku. Dan dalam kepastian, dalam matanya dia melihat
aku seperti mana pantulan refleksi pada pintu kaca yang memisahkan ruang
platform dan ‘terowong masa’. Pada sebuah ketentuan yang kami kini menyelusuri
ruang masa yang sama. Pada sebuah ketentuan yang hakikatnya sama sekali
berbeza. Pada sebuah ketentuan yang tidak mungkin dan tidak akan, merubah dan
berubah.
Monday, 8 April, 2013, 11.00 AM
No comments:
Post a Comment