Malam ini kasih
teringat aku padamu
Seakan kau
masih di sisi menemaniku
Ku yakinkan
diri agar tiada sepi
Ku lewat kau
hadir di dalam mimpiku
Gemersik halus
kidung Hetty Koes Endang mengalun asyik Kasih menyeri malam Kuala Lumpur. Pada
kanvas langit yang kelam, kerlip gemilau jutaan bintang meneman sepi sirna
rembulan penuh. Kepung kepul awan jelas terlihat mengapung bebas di awangan.
Halwa bayu malam yang menderu menghamburkan bibit-bibit romantis yang paling
seni ke dalam sukma.
Mini Cooper
klasik rona biru laut gah menyelusuri perlahan lengang Jalan Tun Razak. Cepu
kepala Amir sarat dengan seribu satu perihal. Dua, tiga jam menongkah arus
tanpa tuju yang pasti, mengitar tingkat demi tingkat syurga dunia Suria KLCC.
Leka dalam khayal, terbuai alpa dalam lalu masa yang berlalu tanpa nanti.
Tercari-cari perca memori yang merasuki mimpi.
Cinta pertama
mengasyikkan, mengkhayalkan dan alangkah memabukkan. ‘Percintaan pertama itu
adiktif bagai nikotion, indah bagai mimpi dan satu ilusi untuk semua manusia
anuti’, komentar seorang pengkritik filem perihal Mukhsin garapan mendiang
Yasmin Ahmad. Amir kulum senyum sendiri dalam keramaian. Tiap-tiap orang punya
cinta pertama yang ingin dikisahkan.
Kinokuniya. Toko
buku ini menjadi saksi sebuah lembaran cinta agung pernah tersingkap antara dua
peroman. Di celahan rak dan ribuan buku ini menyimpan rahsia di sebalik rahsia
antara pencinta dan yang tercinta. Gurau senda, hilai tawa mahu pun ceritera. Dua
insan dari dunia yang pastinya berbeda tetapi disatukan dua jiwa pada simpul lembaran
benang asmara.
Sunday, 9 February, 2014, 2:40 AM
No comments:
Post a Comment