Saturday, May 25, 2013

Wahyu dari Tuhan

Remang petang sedikit hangat. Jarum jam mendikit menghampir tiga. Ayunan langkah kaki menderas berkiblat kompleks akademik. Rembes titis peluh di ubun kepala diseka perlahan. Lambat.
                                                                                  
Sampai.

Dewi Cinta sedang asyik menyalin nota. Ini kali ketiga aku ketemu Dewi Cinta. 1) Gelanggang Futsal 2) Kelas Tarian Moden dan 3) Kelas Tutorial Probability Statistics. Muka-muka yang mengisi kelas kompak, asing. Kecuali Dewi Cinta.

Aku ulit jam di tangan. 3.07. Tujuh minit lewat.

Dari balik telus daun pintu kaca, aku;

‘Prob Stat?’ aku lantun projeksi suara dalam mode bisu pada Dewi Cinta.

Aku cuba sekali dalam gerak mulut perlahan, masih dalam mode bisu, ‘Prob Stat?’

Dewi Cinta comel cuba memahami bahasa mulut aku. Dengan baik hati, Dewi Cinta membalas ayu dengan gelengan ‘I tak faham you cakap apa, Sayang’, mengenakan topeng muka serba salah.

Pada Dewi Cinta itu aku kuntum senyum yang paling ikhlas, dan aku balas (masih dalam mode bisu dan gerak mulut slow-mo), ‘It’s okay, Love. Really. Thanks tho. I appreciate it a lot. Yes I do!’

Aku jeling jarum jam sekali lagi. 3.15. Suku jam lewat.

Dari daun pintu kaca yang telus, aku lihat isi kelas mula berkemas-kemas. Pensyarah keluar. Dibontoti pelajar satu per satu. Ritma jantung aku mula berentak sumbang (off tempo).

Dewi Cinta melepasi aku. Dalam gerak perlahan, Dewi Cinta mengulum senyum. Dan aku turut tersenyum. Dan aku rasakan jiwa aku sehangat salju. Lagu Chinta oleh Monoloque pada bait ‘Terasa bahagia’ kedengaran jelas pada pendengaran aku.

Dalam sela masa singkat yang sama, bayu sepoi-sepoi bahasa membisik, ‘Jika tiga kali kau ketemu Dewi Cinta, maka itulah petunjuk dari-Ku; bahawa Dewi Cinta itu jodoh yang terbaik untukmu, dari-Ku.’

Tapi aku biarkan Dewi Cinta itu berlalu.


Saturday, 25 May, 2013, 5:21 PM

2 comments:

  1. ‘Jika tiga kali kau ketemu Dewi Cinta, maka itulah petunjuk dari-Ku; bahawa Dewi Cinta itu jodoh yang terbaik untukmu, dari-Ku.’ <-- suka ayat ni. mohon copy paste :)

    ReplyDelete