Kenapa you tak datang wedding I? You did get the invitation right? You’ve had specifically asked me to post the
card which I did. But you never showed up.
Dilema. Undangan menghadiri
majlis perkahwinan belakangan ini tidak putus kunjung tiba. Dalam Islam,
meraikan Raja dan Permaisuri Sehari hukumnya, wajib. Dipetik dari sabda Nabi
(P.B.U.H.), walaupun secara peribadi hadis ini belum saya temui sehinggalah tika
saya menulis (belum lagi menyentuh sahih atau tidak hadis yang dinyatakan) atau
yang paling teruk, hanya ungkap manis dari bibir-bibir bacul Nabi Palsu.
Menampakkan figura dengan rambut
ber-wax yang disisir rapi serupa gaya terbaru Justin Timberlake, shades berlensa sedikit gelap dengan bingkai vintaj dari flea market
hujung minggu di Amcorp Mall, kemeja checkered berkolar dari Topman dengan sepasang
seluar khakis rona koko lembut dari Uniqlo dan padanan kasut kulit koko garang berjenama Zara Men di
keraian sedemikian agak membebankan.
Apa yang membebankan? Soalan pertama,
jika anda memunculkan diri berseorangan tanpa teman berlainan jantina, ‘Eh,
sorang je?’ Soalan kedua yang pasti akan terpacul, ‘Kau bila lagi?’ Kita
teruskan lagi dengan, ‘Kau buat pe sekarang? Kerja, belajar?’ Dan jika
sosok-sosok yang turut sama menjayakan majlis adalah dari kalangan teman yang sudah lama anda tidak hubungi (atau anda malas hendak ambil
port sebenarnya), questionnaire susulan boleh dikategorikan sebagai boring dan membuang masa.
Yang menjadi suatu kemestian, anda perlu
menunjukkan ihsan anda dengan mengenakan topeng kebahagian dengan secangkir
senyuman, untuk pasangan yang diraikan. Dan sepanjang anda duduk
makan-makan dan borak-borak kosong dengan sembilan orang lagi teman semeja yang
mungkin anda tidak kenali, secara automatis anda akan menjadi seorang pemikir terulung segera.
Tentang keberadaan anda; ‘Cukup duit ke aku nak kahwin?’, ‘Aku dah ready ke ni aa?', dan ‘Damn, gua girlfriend pun tadak bro!’
Dan slot muhasabah diri ini akan
berlanjutan dan berlanjutan sehinggalah menyentuh persoalan-persoalan serius
lagi memeningkan (gampang). Mungkin perihal ayah anda yang akan pencen, balik
kampung tengok ladang getah dan lembu on weekdays, dan balik menjenguk anak
bini on weekends. Mungkin perihal tanggungjawab anda sebagai anak lelaki sulung
dan lelaki tunggal yang berkerja walaupun ibu anda masih berbaki 9 tahun
service dengan Gomen.
Mungkin perihal menampung segala pembiayaan adik-adik anda selama pengajian mereka di institusi pengajian awam
di UiTM kerana anda percaya PTPTN itu sejenis fraud dan gerakan Ah Long dalam
skala besar. Mungkin anda hendak membelanjakan sejumlah wang untuk membesarkan
rumah keluarga supaya ibu dan ayah anda tidak jatuh air muka ketika menyambut menantu
(untuk adik-adik anda yang bakal berkahwin). Mungkin anda bernawaitu murni untuk
menghadiahkan sebuah Volkswagen Golf R untuk kemudahahan ibu dan ayah anda untuk
ke kursus haji dan masjid di depan rumah keluarga.
Mungkin beban untuk memastikan
Rukun Islam kelima ibu dan ayah anda dengan suksesnya anda langsaikan, menghantar
kedua-dua insan yang banyak berjasa dan berbakti kepada anda sedari kecil ke
Tanah Suci dan short vacay ke Istanbul dalam penerbangan pulang mungkin.
Mungkin untuk kepuasan diri anda sendiri, gaji enam bulan pertama
dihabiskan untuk memiliki sebuah Vespa lama, modify Satria perang anda,
membeli weekend car seperti Mini Cooper atau Volkswagen Beetles vintaj atau pun
menyewa sebuah apartment studio di Persiaran Hamshire, Jalan Ampang dengan panorama malam romantis KLCC.
Mungkin anda mahu meluaskan
pandangan dan mengecap rasa carefree life, road trip ke Eropah (Prague wajib), Kashmir,
weekend escapade ke bandar romantis, Bandar Bersejarah Melaka, Penang mahu pun
Ipoh. Mungkin hujung minggu dihabiskan meneroka Pasar Seni, flea market Amcorp
Mall di Petaling Jaya, car boot sale di Shah Alam, Pasar Karat Loken di Ipoh dan toko Second-Hand Book
di Pasar Chowrasta, Jalan Penang. Mungkin anda mahu melihat-lihat sisi-sisi
gelap di Chow Kit Road mahu pun Brickfield atau Champion Club.
Mungkin kerana, selama anda hidup
menghirup nafas polusi Kuala Lumpur, hidup anda hanya untuk memenuhi
expectation ibu, ayah dan orang di sekeliling anda. Mungkin sebenar-benarnya anda tidak mahu
menjadi seorang engineer. Bukan disebabkan CGPA anda tidak mencecah 3.5 dan ke
atas, bukan. Mungkin kerana hati anda bukan di situ. Mungkin kerana seorang lawyer old-timer pernah katakan pada anda, 'You patut jadi lawyer.' Mungkin anda rasa anda
boleh push the limit jika anda seorang lawyer, mahu pun accountant. Atau seniman
jalanan. Mungkin kerana anda tidak berpuas hati dengan tulisan tesis yang anda
hasilkan dengan bertungkus lumus. Mungkin kepuasan itu sebenar-benarnya ada pada tulisan dan
puisi anda; perihal kehidupan, cinta agung anda yang gagal, cerita masa lepas,
dan cita-cita anda.
Mungkin anda mahu hidup dengan
jalan cerita yang anda garap sendiri. Tanpa perlu mempedulikan luah rasa orang
lain. Anda mahu bebas. Anda mahu berkelana. Melihat-lihat negara orang.
Meladeni perit dan duka sepi dalam keramaian di negara asing. Menulis puisi-puisi
cinta tentang si perawan yang tak kunjung tiba. Tentang keamanan. Tentang
insan. Mengenal Tuhan. Mencari pengertian sebuah kewujudan.
Kerana mungkin. Mahalnya harga
sebuah kebahagian itu, adalah pada sebuah pengorbanan.
Friday, 31 May, 2013, 6:51 PM
No comments:
Post a Comment