Umat manusia bersesak-sesak keluar dari perut keretapi. Seakan-akan punya hala tuju dan destinasi yang pasti. Tewas pada kantuk, sepanjang dua jam setengah perjalanan, aku hanyut dibawa arus lena yang panjang. Kepala aku sedikit bengang. Tapi aku gagahkan juga mendaki puluhan anak tangga menuju ke puncak. Eskalator sepadat tin sardin sebenar-benarnya.
Aku singgah sebentar di tandas membuang air. Di dalam kubikel tandas, beg sandang yang sendat dengan persalinan dua, tiga hari aku punggah cermat. Aku salin baju yang sudah kepam dek basah peluh dengan sehelai kemeja hitam. Padan dengan Levi's 501 biru lusuh dan but Doc Mart koko. Di basin, aku basahkan muka, memberi rejuvenasi pada riak wajah yang lesu.
Menerusi refleksi pada cermin dinding, aku lihat seorang lelaki yang cengkung tidak bermaya. Dengan rambut yang sedikit serabai tidak bersisir. Rona hitam yang terkesan di bawah soket matanya menambah sisi kemurungannya. Dan yang paling menyedihkan, pasang mata itu seperti hilang cahaya, hilang serinya. Hilang sirna kehidupannya.
Aku lantas meninggalkan tandas, turun ke aras bawah, bergegas deras menuju ke arah LRT. Aku semak lalu masa pada telefon pintar. 17:37. Waktu puncak. Detik dan ketika jalan dan keretapi dipenuhi dengan proletar yang mahu pulang ke habitat. Aku kira masih terlalu awal untuk aku pulang. Aku mahu melihat-lihat kehidupan di belantara konkrit.
Kad Touch 'n Go aku sentuh pada sensor mesin pengesan. Berbaki 7.20. Cukup untuk biaya perjalan pulang. Memacu eskalator, mata aku melatari sekeliling, pada perubahan Sentral Kuala Lumpur yang selari dengan gerak masa dan arus kemajuan. Pandangan aku tertancap kejap pada hijau terang Panneton. Cepu memori dijentik momen semalam.
Kafe ini pernah aku singgahi lapan tahun sudah. Bila mana mata yang suatu ketika dahulunya terang segemilang bintang kehidupan di kanvas langit malam bertentang dengan pasang mata bundar yang setanding. 'Dari mata ia datang, barulah ke hati.' Senyum aku disambut dengan geleng kecil. Manusia suka mengenang pada masa-masa lepas yang indah. Dan aku tidak terkecuali.
Dengan tertib aku susun langkah menuju ke garis putus pintu gerabak keretapi. 1 minit lagi ketibaan keretapi. Sental Kuala Lumpur ini menjadi saksi pada momen semalam yang ingin aku kuburkan. Yang ingin aku selindung di balik ceritera girang seorang hedonis Kuala Lumpur. Yang pernah suatu ketika dulu aku bersumpah tidak akan lagi aku singgahi.
Sentimental pada jiwa kekadang menyeksakan. Membikin seseorang pegun pada satu titik yang sama. Toleh pada lalu masa lepas dengan dendam yang berbaur sayang. Memeluk erat tanpa lepas, menghalang keterusan hidup maju ke hadapan. Mengaburi jiwa daripada cita-cita dan harapan yang menjanjikan. Terperangkap dalam jeriji penjara momen-momen semalam, pemisah di antara garis halus sebuah ketentuan dan pilihan.
Langkah-langkah ini aku gagahi. Cuba mengutip keping-keping momen yang berderai di sana-sini. Atau pada pasak keyakinan pada janji Tuhan yang suci. Kerna aku cuma insan hina yang lemah di kaki arasy Ilahi. Menuntut sebuah harapan hakiki. Atau cuma sekadar mimpi mainan syaitan di malam hari?
Saturday, 5 October, 2013, 3:14 AM
No comments:
Post a Comment