Monday, July 1, 2013

Berlari

Aku lepaskan pandangan bebas ke luar. Rintih halus hujan mula berderai turun. Membasahi bumi. Merahmati alam. Atau mungkin. Menangisi sebuah kedukaan. Yang tiada siapa tahu. Yang tiada siapa mampu mendengar. Yang tiada siapa mampu amati. Yang tiada siapa pun yang faham. Aku cuma mampu meneka. Apa mampu hujan mahu pun bumi beremosi sebegitu? Apa mampu hujan mahu pun bumi girang kesukaan? Apa mampu hujan mahu pun bumi dirudung hiba, kedukaan? Apa mampu hujan mahu pun bumi merasa apa yang aku rasa? Apa mampu hujan mahu pun bumi  memberi rekfleksi rasa yang tersemat di dasar jiwa aku?

Langit biru keputihan yang tadinya gemilang. Kini dari kejauhan, gemawan berarak perlahan memayungi bumi. Tapi di balik marak kawanan awan, nun jauh di sana masih punya mentari memancar sirna. Memberi nafas pada sisa senja yang masih berbaki. Rona jingga kemerahan yang menyelit di celah-celah gerombolan/kawanan awan. Masih terasa. Kehangatannya menjamahi aku. Memberi harapan dalam bungkam. Aku masih hidup. Masih punya daya bermimpi dan mengimpi. Nafsu pada raih materi atau cukup sekadar punya daya untuk berimaginasi. Walaupun yang tak tergapai akal dan mampu.

Masjid Biru ini acap kali aku lewati. Persinggahan seketika cuma buat melepas lelah. Dibahang mentari siang. Di dalam halwa penghawa dingin. Escapade. Dari hangat mentari yang kekadang merimaskan, melekitkan. Mencari jalan keluar dari terowong panjang. Dan dihujungnya turunan salju menanti mematikan hangat. Pada mimbar yang tinggi melangit. Pada kubah, melembayung syahadah. Dan aku menggapai tenang. Walaupun keseorangan dalam keramaian. Walaupun hanya bertemankan kicau burung di luar ruang dewan pengabdian. Aku mencapai damai.

Masih aku berdiri. Mengamati erti kewujudan. Palitan rintis halus hujan mula menjamah tubuh aku. Pada matari yang mula melabuh tirai senja. Pada sisa rona kehidupan yang masih berbaki. Pada gemawan yang berarak meraikan pentas malam. Pada tiupan sepoi bayu yang membawa halwa romantis. Pada ceritera semalam. Pada lara yang telah lama berlalu. Pada puing-puing momen. Pada lampu-lampu yang mewarnai laman yang luas terbentang. Pada yang berlari keanakan tanpa sekaki payung. Mencari redha Ilahi dalam melunaskan sebuah janji suci pada Yang Esa.

“Jonni?”
“Sarah? Long time no see. You apa khabar?”
“Sihat, Alhamdulillah. You? I hope life treats you well.”
“Macam ni je lah. Tak sangka jumpa you dekat sini. You dengan siapa ni?”
“My hubby. And Zara.”
“Oh, I dengar she’s back for good?”
“Aa, baru one week. You wanna see her?”
“Er..”
“I’m sure she’s more than happy to see you. After all these years.”
“I’m not sure..”
“Please Jonni?”
“I kena pergi. I dah lambat. I ada janji. I tak boleh mungkir janji.”
“Jonni..”
“You faham kan Sarah? You fahamkan? I tak boleh. I’m not ready.”
“Benda lama Jonni. You sure you don’t wanna meet her?”
“Yea. Please don’t tell her you jumpa I.”
“Jonni.”

Aku mula berlalu menginggalkan Sarah. Aku pantaskan langkah kaki. Keras memijak lantai bumi. Berlari daripada suatu yang aku pasti. Atau mungkin tidak. Titis hujan mula membasahi. Merahmati atau melaknati? Atau ini cuma sekadar mimpi? Jangan toleh, jangan toleh. Hidup kena terus. Duka semalam itu menjadikan kau kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang, hari-hari esok. Semalam hanyalah sebuah hikayat, sebuah mitos, sebuah epik. Yang tidak terbukti kebenarannya, hakikatnya. Cuma mengisi masa-masa senggang berkhayal dalam pelukan sebuah mimpi indah yang tidak berpenghujung. Atau penamatnya bukan apa yang kau harap-harapkan.

Kerana kau dalam ketahuan dunia ini sekadar persinggahan. Pentas kekecewaan. Pentas duka. Lara dan lara dan lara. Jadi apa perlu kau letakkan pengharapan pada yang cuma mengecewakan? Yang melambung kau lalu terperosok jauh hilang upaya dan kudrat ke dalam lembah neraka kedukaan? Tidak bangkit-bangkit.

Monday, 1 July, 2013, 7:32 PM

No comments:

Post a Comment