Thursday, July 4, 2013

Istikharah II

Anda kini keseorangan di dalam sebuah bilik yang gelap. Satu-satunya sumber cahaya di dalam bilik yang gelap ini datangnya dari sebuah unit projektor di tengah-tengah bilik. Cahaya dari unit projektor terlimpah pada sebuah layar skrin di hujung bilik. Dengan kehadiran cahaya dari unit projektor tadi, anda membuat kesimpulan bahawa bilik ini tidak terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil. Cukup selesa untuk anda seorang. Susun letak bilik yang selesa ini minimal. Sebuah unit projektor yang ditempatkan di atas sebuah meja sekolah. Di sebelahnya terdapat susunan slaid yang disusun horizontal. Sepaket rokok Winston merah dan sekotak mancis. Dan sebuah sofa kulit yang berwarna hitam. Menyedari keberadaan sofa kulit berwarna hitam itu, tanpa lengah anda berjalan dan menghempukkan punggung anda pada sofa kulit yang bertekstur lembut. Hamburan partikel-partikel halus debu kelihatan di dalam gelap bilik yang diremang cahaya unit projektor pada intensiti rendah.

Anda carik plastik yang membungkus kemas paket rokok Winston merah tadi. Anda selitkan di celahan bibir anda. Anda keluarkan sebatang mancis dari kotak mancis tadi. Anda gores pada sisinya dua kali dan bahagian karbaid itu mengeluarkan api membakar batang kayu mancis perlahan-lahan. Anda suakan muncung batang rokok yang tersisip di celahan bibir anda pada api batang kayu mancis tadi. Batang rokok itu menyala. Anda campakkan sisa batang mancis yang masih bernyala dan anda padamkan dengan hentakan kaki kanan anda. Anda perasan layar skrin putih tidak memainkan apa-apa slaid. Anda mula menyusun satu persatu slaid ke dalam unit projektor. Dan kemudian anda menekan butang ‘Main’ di atas unit projektor. Mulut anda turut mengira bilangan nombor yang tepapar pada layar skrin,  dari 10, 9, 8, 7, 6, 5, 4, 3, 2 dan 1.

Seraya slaid bermain di layar skrin, lagu Ne Me Quitte Pas dendangan biduanita Nina Simone mula kedengaran. Di belakang anda, di bucu atas kiri dan kanan bilik terdapat pembesar-pembesar suara yang mengeluarkan bunyian audio yang berkualiti tinggi. Anda betul-betul puas hati. Kepul asap rokok mula mengisi ruang bilik yang tertutup. Lukis abstrak asap rokok dapat anda saksikan di dalam kegelapan bilik ini. Bilik ini agak dingin, bulu-bulu roma di tangan anda berdiri tegak. Telinga anda dapat menangkap bunyi deru dari unit penghawa dingin di atas layar skrin. Tetapi hangat dari batang rokok anda tadi dan dingin dari unit penghawa dingin memberikan keselesaan pada zon di antara pertembungan hangat-dingin yang menyegarkan.

Kini anda fokuskan sepenuh perhatian anda pada tayangan slaid pada layar skrin. Slaid-slaid silih berganti dengan bunyi ‘ktak’ dari unit projektor. Apa yang terpampang seluas-luasnya pada layar skrin adalah seorang gadis dengan senyuman yang paling manis, yang paling cantik, yang paling menawan, yang paling anggun, yang paling cun, yang paling gorgeous dan yang paling pergh yang pernah anda saksikan sepanjang kewujudan anda. Gadis ini memberikan gaya yang pelbagai persis seorang model yang memperagakan busana di pentas peragaan (gadis ini bersosok lampai seperti seorang model). Anda nyalakan batang rokok Winston yang kedua dengan sorot mata anda masih pada layar skrin. Fikiran anda depenuhi dengan obsesi anda pada gadis ini.

‘Ktak’. Bunyian ‘ktak’ yang terakhir. Bilik yang tadinya dilimpahi cahaya dari unit projektor menjadi gelap gelita. Tiada lagi mainan slaid dari unit projektor. Tiada lagi projeksi gadis yang anda obseskan pada layar skrin. Tetapi fikiran anda masih tetap berpusat pada gadis itu. Anda masih menghisap kehangatan dari batang rokok Winston kedua anda tadi tetapi dingin penghawa dingin mula menggigit hingga ke tulang sum-sum anda.


Thursday, 4 July, 2013, 4:42 PM

No comments:

Post a Comment