Pabila anda
membuka mata, di hadapan anda terpampang tulisan-tulisan yang mulanya kabur.
Kemudian, tulisan-tulisan yang mulanya kabur tadi semakin jelas dan semakin
jelas pada penglihatan anda membentuk abjad, nombor, patah perkataan dan susun
ayat. Sorot pandang anda kini bertumpu pada padanan masa, tarikh dan tempat
(mengikut urutan). Butir masa, tarikh dan tempat itu tidak penting. Tetapi untuk
memudahkan, butir masa, tarikh dan tempat itu bukan semalam, bukan hari ini dan
bukan esok. Butir masa dan tarikh itu berlatarkan masa hadapan dan butir tempat
yang tertinta itu belum berkesempatan lagi untuk anda singgahi buat masa ini.
Sorot pandang
anda kemudiannya dibawa menuju ke bait-bait puisi di tengah-tengah kad yang
sedang anda pegang. Tulisan tangan itu kelihatan begitu kemas dengan gaya italik.
Untai kata itu terjalin membentuk, “Jemari cinta yang menyapa sukma-sukma kita
adalah bukti kasih dan sayang Tuhan. Yang menanti dalam sepi dengan lalu masa yang
memeritkan, dua hati yang asalnya satu diciptakan Tuhan, walau dipisah ribuan tahun,
akan menemui serpihan yang satu lagi sebelum sebuah pengakhiran, kerana ratib
bidadari syurga yang tanpa lelah mendoakan’. Di sudut kanan bawah kad itu,
dinamai penyair yang memuisikan bait-bait indah itu.
Sekarang, kad
yang telah anda sudahi itu anda turunkan. Di hadapan anda kini, seorang dewi
cinta yang anda dambakan. Yang menjengah dalam mimpi-mimpi anda. Walaupun hakikatnya,
dewi cinta itu sudah lama berlalu meninggalkan anda kesepian. Berkabung kedukaan.
Dan dengan palit senyum pada keanggunannya, duka semalam yang anda ladani tanpa
kehadirannya dalam menghadapi hari-hari mendatang itu terhapus sama sekali. Hadirnya
dalam mimpi-mimpi semalam anda tanpa bunyian keindahan dari ulas bibir mulus
itu membikin jiwa anda gelisah. Sirna pada mata dewi cinta itu memberikan
terang harapan dan jiwa anda mula kembang mekar umpama kuntum bunga yang disapa sentuhan matari pagi.
Bunyian
keindahan itu terucap dari ulas bibir mulus dewi cinta itu mengungkapkan
bait-bait puisi, “Jemari cinta yang menyapa sukma-sukma kita adalah bukti kasih
dan sayang Tuhan. Yang menanti dalam sepi dengan lalu masa yang memeritkan, dua
hati yang asalnya satu diciptakan Tuhan, walau dipisah ribuan tahun, akan
menemui serpihan satu lagi sebelum sebuah pengakhiran, kerana ratib bidadari yang
tanpa lelah mendoakan.’
Dan mata anda
kini celik pada sebuah realiti. Kedukaan itu terhapus. Dan anda kini cuma
bertemankan sebuah kesepian dan memori-memori hari semalam.
Thursday, 25
July, 2013, 2:08 PM
No comments:
Post a Comment