Monday, March 24, 2014

Celik

Celik. Aku terjaga dari lena yang panjang. Dingin unit penghawa dingin terasa sekali menggigit. Aku alih gebar dan duduk di birai katil. Aku lepaskan pandangan ke luar. Gelap. Legap. Yang terlihat cuma refleksi diriku memandang diri sendiri. Sang purnama tidak mengambang. Bebutir bintang tidak berkerlipan. Sepi dan sendiri aku cuma ditemani bunyi deru unit penghawa dingin. Jiwa aku terasa kosong. Aku buka set lampu meja dan remang cahaya kejingga-jinggaan meronai kelam dinihari. Di luar masih tetap gelita. Sukma aku masih tetap lompong. Angka di telefon pintar pegun pada 5:26 AM. Dikau tanpa silu mengetuk pintu mimpi yang sudah lama tidak kau singgahi. Aku capai paket rokok dan aku nyalakan sebatang. Hangat rokok sedikit mendamaikan. Kepul-kepul rokok mengisi ruang unit apartment. Nikotin yang setia menemani masa-masa yang berlalu tanpa kehadiran dikau. Lama sekali engkau tidak menjengah ruang mimpi dan layar kehidupanku. Dan malam ini dikau singgah sekali lagi. Ruang mimpi yamg kita pernah berjanji untuk bertemu. Cukup hanya dengan ulit senyum tanpa ucap kata yang terluah, membicarakan hati dan rindu. Terus memori-memori yang jauh-jauh aku pendamkan, cuba aku kuburkan dan aku padamkan memenuhi kamar ingatan. Ah, aku dalam ketahuan yang aku tidak sesekali mampu untuk lari dari seribu satu kenangan. Kau akan tetap menghantui diriku walau sejauh mana pun aku memilih untuk terus berlari dan berlari. Tinggalkan aku, Sayang. Lupakan aku, Sayang. Usah dikau hantui diriku lagi, Sayang. Jangan sesekali kau lewati ruang mimpiku lagi, Sayang. Atau aku yang tidak pernah sesaat melupakanmu. Bagai nafas udara yang tidak mungkin terpisah. Sebati. Tanpa yang lagi satu, mati. Atau kerana mahu hati yang menentang dan terus menentang ketentuan dan takdir yang sudah tertulis lama di kaki arasy Tuhan.

Miri, Monday, 24 March, 2014, 06:11 AM

No comments:

Post a Comment