Sunday, March 9, 2014

JB

Weekend minggu lepas saya ke Johor Bahru bersama dengan dua orang member. Menghadiri majlis perkahwinan seorang teman rapat. Seorang didatangkan nun jauh dari negeri Kelantan dan seorang lagi dari pekan Tronoh. Sabtu pagi, kami tergesa-gesa bergerak meninggalkan hiruk-pikuk, catu bekalan air dan jerebu kota raya Kuala Lumpur. Di R&R Seremban, kami konvoi dengan sebuah lagi kereta dari Klang.

Dalam perjalanan, perbualan kami berkisar topik semasa perihal diri dan geng kecil kami. Dicampur adukkan sekali dengan isu politik tanah air sedikit di sana-sini, kami tune kemudiannya ke bab-bab agama, ‘rahsia umum’ ketika premiership Jeneral Suharto oleh seorang mahasiswa Indonesia yang mengaji di sini dan tidak ketinggalan topik paling hangat (bila kita nak kahwin ni bhai?)

Sejujurnya saya teramat suka melihat-lihat negeri orang. Memahami keadaan dan masyarakat setempat. Merasa air tangan dan masakan tempatan walaupun saya teramat cerewet dalam soal makanan. Prinsip saya mudah. Saya laburkan masa dan wang untuk makanan yang dipesan, dan saya berharap investment itu berbaloi-baloi. Makanan yang terhidang itu sedap sehingga menjilat jari-jemari jika boleh. Rahsianya teramat lah mudah. Cuma perlu ikhlas dalam penyediaan makanan. Itu saya berani potong kuku.

Dengan wang BR1M sumbangan pelunas-pelunas cukai yang berjumlah RM300 itu saya berjalan. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada rakyat Malaysia yang sudi membiayai pengembaraan kami yang penuh mendebarkan ke selatan tanah air. Berbekalkan RM300 yang dibank-in, RM100 kami kongsi setiap seorang buat biaya kunyah-kunyah, minyak dan tol. Biaya penginapan dan makanan, jutaan terima kasih kami ucapkan kepada member kami yang sudi payung.

2 hari di Johor Bahru memberikan rejuvenasi kepada jiwa saya untuk mengembara. Kali terakhir saya melihat-lihat negeri orang adalah sekitar September 2012. Kami berenam/bertujuh belas berjalan-jalan di negeri Sabah di Bawah Bayu selama 6 hari. More precisely, cuma berkitar di Kota Kinabalu, kepulauan sekitar, Kundasang, kaki Gunung Kinabalu dan Ranau. Dan beberapa siri road trip ke Penang dari penghujung 2012 sehinggalah ke penghujung 2013.

Saya perhatikan majlis perkahwinan di Johor punya sedikit kelainan. Saya cuma terdaya memandang dari kejauhan bersama teman-teman universiti, berteduh dari terik mentari tengah hari. Slot pengantin lelaki di-pow sebanyak dua kali oleh wakil belah pengatin perempuan sebelum dibenarkan masuk agak menggelikan hati. Lain seperti yang kebiasanya dilakukan di Kuala Lumpur mahu pun Negeri Sembilan. But it was a lot of fun. Saya sukakan adat resam, budaya dan kelainan.

Pada belah melamnya, dengan bantuan seorang anak jati Johor Bahru, kami ketemu sebuah tempat lepak dan makan-makan di Dataran Bandaraya Johor Bahru. Bagi saya, apabila kita ke tempat orang, wajib untuk kita cuba kenal gaya, budaya dan makanan di tempat tersebut. Jangan cari apa yang sudah ada di tempat asal kita. Cuba dan raikan kelainan dan kepelbagaian di tempat orang.

Rojak Tauhu Goreng di Dataran Bandaraya Johor Bahru memang terbaik. Saya bukan peminat tauhu, tetapi Tauhu Goreng yang dijual dari sebuah warung-lori di situ memang terbaik. Saya tidak dapat memberikan lokasi spesifik, tetapi saya amati memang ramai yang beratur untuk membeli dari warung-lori itu. Untuk malam Ahad (hujung minggu negeri Johor jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu), saya kira agak ramai warga JB yang melepak di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Saki-baki malam yang tersisa itu kami habiskan dengan melepak di Dataran sambil memerhatikan gelagat rakyat marhaen selatan tanah air, geng remote control car test power, berborak-borak, bergelak ketawa dan bermain buih air dengan penuh kegirangan. Dan yang paling layan, menghadap seberang Tebrau, menikmati bayu laut yang bertiup dari tanah Singapura sambil menikmati sebatang rokok dan sebotol ais krim soda, petang sebelumnya.


Sunday, 9 March, 2014, 11:12 PM

No comments:

Post a Comment