Jam 5 petang. Awal lagi. Tapi perut
sudah mula berkeroncong keras. Petanda perlu diisi. Makan tidak tepat pada
waktu atau tidak makan ketika perut minta diisi jatuh hukum zalim. Kerana tidak meletakkan
sesuatu pada tempatnya. Dalam kes ini, makanan yang disuap ke rongga mulut lalu
terus plup jatuh ke dasar perut yang paling dalam. Pinta sang perut perlu
dipenuhi.
Kunci kereta ber-key chain kain
berilustrasi gadis berpayudara besar digapai. Jejari runcing cergas
menekan-nekan butang pada telefon bimbit sambil menuju ke arah kereta. Pesanan
dihantar. Enjin dihidupkan dan dibiar panas selama 5 minit. Pedal klac ditekan,
gear neutral ditukar ke gear satu. Pedal klac dilepas perlahan diimbang pedal
minyak yang ditekan perlahan memacu kereta laju-laju ke hadapan.
Sebelum terus ke destinasi dituju,
kereta diberhentikan di bawah pohon besar berhadapan sebuah rumah. Panggilan
yang terlepas. Cukup sebagai pemberitahuan ketibaan kehormat di hadapan rumah
menjemput. Keluar seorang gadis tersenyum sambil tangan kanan dilambai mesra.
Tersenyum membalas si pemandu kereta berpalit cat hitam solid. Pintu kereta
bahagian penumpang dibuka, menerobos masuk si gadis ke dalam kereta berpintu
dua.
Nasi Kerabu. Penangan hidangan dari
negeri Cik Siti Wan Kembang yang lain macam. Sebuah restoran Patani 2 minit
menekan pedal minyak pada kelajuan 100 kilometer sejam dituju. Kereta
diberhentikan betul-betul berhadapan restoran. Pintu dibuka dan ditutup. Cergas
si pemandu dan si gadis menuju ke arah stall kecil menjual Nasi Kerabu di sisi
kanan restoran. Tersenyum besar mak cik penjual menyambut kedatangan.
Mak cik, Nasi Kerabu tak nak sayur
makan satu ye mak cik. Lada nak lebih sikit.
Adik, mak cik nak tanya sikit
boleh? Dalam telor Kelantan yang agak pekat.
Eh, bolek mak cik, apa tak boleh
pulak.
Adik dua orang ni adik-beradik ke?
‘Adek duo oghe ni adek-bghadik ko (o halus)?’
Eh, tak lah mak cik. Kawan je.
Kenapa mak cik cakap macam tu?
‘Muko adek berduo ighah. Oghe
dulu-dulu cakak (k halus), kalu muko ighah, panjang jodoh.’ Muka adik berdua
iras. Orang dulu-dulu cakap, kalau muka iras, panjang jodoh.
Tersenyum kerang busuk si pemandu.
Tersipu segan si gadis di sebelah. Si pemandu dengan hati kembang kuncung
kembang kuncup pantas mengambil Nasi Kerabu Tak Nak Sayur, Lada Nak Lebih Sikit
dari mak cik penjual dengan ucapan Terima Kaseh sebiji macam David Arumugam
dari Kucing-kucing Jalanan. Minta-minta masin mulut mak cik penjual Nasi Kerabu,
amin!
Thursday, 17 May, 2012, 8:24 PM
No comments:
Post a Comment