Tuesday, May 29, 2012

Wanita Mengandung Berbaju Polka Dot Merah Jambu


Perut makin sarat. Fetus. Bukan busung. Tidak diketahui jantina, sama ada lelaki atau pun perempuan. Capaian teknologi membataskan. Tetapi kata orang tua-tua, kedudukan kandungan mampu membezakan. Ah, apa yang nak dipusingkan sangat. Ini bukan zaman jahiliyyah masyarakat Semenanjung Tanah Arab. Tiap-tiap anak Adam yang lahir ke muka bumi membawa rezeki masing-masing kepada seisi alam. Jangan dicaci pasangan berzuriat ramai.

Kerja belum tetap lagi. Walaupun kakitangan kerajaan. Mahu makan tiga tahun juga untuk berstatus tetap. Gaji seorang jurutrengkas berapalah sangat. RM500. Tahun 1989. Sewa rumah RM150. Tambah barang-barang dapur mahu juga cecah RM150. Sudah RM300. Baki RM200 lagi harus dibelanja dengan cermat. Lagi-lagi mahu menyambut orang baru. Suami yang masih melanjutkan pelajaran dalam ‘bookkeeping’ di Institut Teknologi MARA, Jalan Othman berhenti kerja sementara. Untuk lebih fokus. Jangan fikir yang bukan-bukan.

Hari ini baju wanita mengandung berpolka dot merah jambu dikenakan. Tampak comel. Tetapi beliau memang seorang yang anggun. Itu tak dinafikan. Menjadi rebutan ramai jejaka dari kampung membawa ke bandar. Penangan seorang gadis kampung. Bertuah suami beliau. Pandangan pertama bertaut di keraian kampung lama dahulu. Apa lagi, tanpa berlengah, rombongan merisik dihantar. Bunga di taman belum dipetik orang. Molek. Sebab jatuh haram merisik tunangan orang.

Sebelah pagi, pasangan suami isteri menyewa sebuah teksi. Senang. Si isteri jurutrengkas di Angkasapuri. Si suami pelajar sepenuh masa di Institut Teknologi MARA, Jalan Othman. Berdikit-dikit pasangan suami isteri. Belum lagi mampu memiliki transportasi sendiri. Kan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit? Tidak mengapa, adat pasangan baru berumah tangga. Biar dikongsi bersama derita. Itu tujuan diciptakan berpasangan, untuk berkongsi rasa hati lalu berkurang beban yang terpikul di pundak.

Bas mini merah jambu dari Lebuh Ampang menuju ke Taman Tasik. Waktu puncak. Berpusu-pusu orang. Semua mahu segera pulang. Ada yang perlu segera pulang memasak untuk seisi rumah. Yang mahu meneman isteri yang sarat mengandung di rumah. Atau pun yang membawa sepaket coklat Cadbury untuk anak-anak. Cergas yang bersebab. Rata-rata golongan kelas pekerja yang mahu segera tiba ke rumah dengan selamat bertemu insan tersayang.

Wanita mengandung berbaju polka dot merah jambu malangnya tidak mendapat tempat duduk. Terdetik di benak yang paling dalam, alangkah baiknya jika ada yang sudi bangun lalu menawarkan sedikit keselesaan. Tidak tertanggung rasanya berdiri, berhimpit, berpanas, meredah kesibukan kota dari Lebuh Ampang ke Taman Tasik. Terbit jelujuran peluh dingin di dahi luas wanita mengandung berbaju polka dot merah jambu. Kebas kedua-dua belah kaki. Kurang sebulan lagi dijangka lahir fetus yang dikandung.

Tidak semena-mena loceng pada dinding bas mini merah jambu ditekan. Bersusah payah wanita mengandung berbaju polka dot merah jambu meloloskan diri dari perut bas mini merah jambu. Hah, nafas seribu satu kelegaan. Stesen bas kecil beratap plastik berwarna kuning. Perlahan-lahan beliau melabuhkan punggung pada tempat duduk besi berjalur dua. Kaki dilunjurkan. Perut diusap perlahan. Duduk beliau berehat sambil memerhati ragam warga kota yang senantiasa sibuk tidak berpenghujung.

Dari kejauhan terlihat sebuah bas mini merah jambu. Tangan kiri diisyarat meminta bas berhenti. Perjalanan pulang perlu diteruskan. Destinasi yang dituju bukanlah stesen bas kecil beratap plastik berwarna kuning. Persinggahan seketika cuma buat melepas penat dan lelah menggendong ke hulu ke hilir seorang bayi yang bakal megisi kekosongan pasangan suami isteri.

Tuesday, 29 May, 2012, 2:55 AM

No comments:

Post a Comment