Monday, August 27, 2012

Raya


Usai menziarah pusara selepas tertunainya solat sunat Aidil Fitri, MyVI SE hitam berplat pangkal W itu dipacu cermat menghala ke pekan kecil Gemencheh. Harus berhati-hati. Ada ketika, melulu keluar famili babi dari semak-samun di bahu jalan melintas tanpa memandang ke kanan dan ke kiri terlebih dahulu. Begitu fitrah babi. Menyondol tidak kira apa dan siapa yang menghalang di hadapan. Terus maju dan maju. Bagus juga babi ini.

15 minit kemudian, tiba di Pekan Gemencheh. Kereta terus dihalakan ke kedai serbaneka 24/7, 7 Eleven. Kelihatan jelas deretan laki-laki dan perempuan segak lengkap berbaju melayu sepersalinan dan anggun mengenakan baju kurung/baju kebaya/jubah beratur secara tertib menunggu giliran membayar di kaunter. Sebotol Kickapoo sejuk yang luar biasa mahal harganya berbanding caj yang dikenakan di kedai-kedai lain dicapai dari peti menyimpan minuman.

Mencari, mencari dan mencari. Ah, jumpa.

Segera kaunter dituju. Gadis kaunter comel tampak berbaju kurung tergesa-gesa memasukkan produk-produk yang dibeli oleh seorang pelanggan ke dalam plastik disposable. Apa agaknya rasa hati gadis kaunter comel ini perlu melunaskan tanggungjawab di pagi satu Syawal, di kala Muslimin Muslimat yang lain sibuk menikmati juadah lomang, rendang maman ayam/daging dan sirap ais bersama sanak-saudara sambil menyaksi rancangan magis di kaca tivi.

Tika baki wang bertukar tangan dalam bentuk kepingan syiling baharu, laki-laki Melayu berjubah tidur Arab dengan potongan lengan tee perempuan itu menguntumkan senyum yang paling macho di pagi raya dengan ucapan, “Selamat Hari Raya.” Tersengih kesukaan menampakkan susunan gigi putih bersih pastinya gadis kaunter comel itu. Terubat sedikit kedukaan terpaksa berpagi raya di 7 Eleven menanti shif yang bakal berganti dua, tiga jam lagi.

Ya, di pagi raya  laki-laki Melayu berjubah tidur Arab dengan potongan lengan tee perempuan  itu mencari kuaci Chacheer serupa hamster.

Thursday, 23 August, 2012, 2:29 PM

No comments:

Post a Comment