Dari poket beg kulit bimbit
vintaj itu, aku keluarkan sebuah booklet yang aku curi-curi cetak di pejabat beberapa
minggu lepas. The Prophet oleh Khalil Gibran. Koleksi puisi yang memperihalkan
The Coming of The Ship, Love, Marriage, Children, Giving, Eating and Drinking,
Work, Joy and Sorrow, Houses, Clothes, Buying and Selling, Crime and
Punishment, Laws, Freedom, Reason and Passion, Pain, Self-Knowledge, Teaching,
Friendship, Talking, Time, Good and Evil, Prayer, Pleasure, Beauty, Religion,
Death dan The Farewell.
Aku pernah membuat carian untuk pembelian naskah The Prophet di laman sesawang. Tetapi aku kira barangkali harganya
terlalu mahal dan mungkin sekali mencapai ratusan ringgit. Suatu ketika dahulu, untuk mendapatkan
sebuah buku sekitar harga RM30 ke RM40, kekadang aku perlu berdikit-dikit
menabung dua hingga ke tiga bulan. Walaupun kini aku mampu untuk mendapatkan
sebuah buku pada variasi harga itu setiap minggu, tetapi untuk membuat
pelaburan mendapatkan buku dengan tag harga ratusan ringgit di Kinokuniya, aku
kira aku masih perlu berdikit-dikit menabung seperti lazimnya dahulu.
Jadi apa yang aku lakukan ialah
aku membuat carian sekali lagi di laman sesawang. Tetapi aku mencari The
Prophet oleh Khalil Gibran dalam format PDF. (Pernah suatu ketika dahulu aku
terkeliru antara penggunaan PDF dan PDA yang merujuk public display of
affection, aku masih geli hati memikirkan perihal itu sehingga sekarang.) Aku
muat turun dan aku buka fail itu dan aku berpuas hati. Akhirnya. Pada suatu
pagi yang hening pasti sepi, selepas memastikan tiada seorang pun rakan sekerja
di pejabat, aku curi-curi cetak fail PDF tadi. Untuk memudahkan di bawa ke hulu
ke hilir, aku cetak dalam bentuk booklet.
Dan kini, aku sedang membaca
puisi Khalil Gibran, "Love" yang bertemakan cinta atau mungkin sayang. Terpulang kepada
pendefinisian kau. Jika kau merujuk kepada penggunaan perkataan ‘love’ dalam
Bahasa Inggeris (UK), ianya boleh digunakan untuk ditujukan kepada Tuhan,
Nabi, famili, sahabat handai, individu yang dicintai atau seorang asing. Tetapi
dalam alam Melayu, ‘cinta’ itu kebiasaanya khas ditujukan kepada individu yang
dicintai, Tuhan atau Nabi dan ‘sayang’ itu lazimnya ditujukan kepada yang
selain itu (kurang romantis sedikit tetapi boleh juga digunakan untuk merujuk
kepada individu yang dicintai).
Tali beg bimbit kulit vintaj itu
aku sangkutkan pada bahu kanan aku. Aku bersandar pada belah pintu LRT yang
hanya akan dibuka di satu stesyen sahaja, iaitu Stesyen Chan Sow Lin. Tangan kanan
dan kiri aku memegang booklet The Prophet oleh Khalil Gibran. Telinga aku
dikedap bunyi dengan fon telinga. Lagu yang berkumandang ini sengaja aku pilih
supaya cocok dengan tema “Cinta di Udara”. Ikhlust/Ikhlast versi akustik oleh
Radhi OAG atau kumpulan gitar rancak OAG. Aku tidak ambil pusing sebenarnya. Aku
percaya bahawa Radhi itu adalah OAG dan OAG itu adalah Radhi. Atau line-up asal
itu sebenar-benarnya OAG.
Lagu Ikhlust/Ikhlast dihasilkan
dalam dua versi, versi yang bukan akustik dan versi akustik. Aku kurang pasti ejaannya Ikhlust/Ikhlast. Dan aku kurang pasti
versi mana yang terdahulu dan yang terkemudian. Mungkin versi bukan akustik yang
terdahulu. Atau mungkin versi akustik yang terdahulu. Atau pun mungkin kedua-dua
versi dihasilkan pada masa yang sama. Okay, itu mustahil. Pasti ada yang terdahulu dan yang terkemudian. Apa-apa pun, aku sukakan kedua-dua versi. Tetapi sejujur-jujurnya,
aku lebih sukakan versi akustik. Lebih “feel” bagi aku. Dan tajuk lagu ini
sebenarnya agak menarik bagi aku. Perkataan ‘ikh’ dalam Bahasa Melayu
dikacukkan dengan ‘lust/last’ dalam Bahasa Inggeris (UK). ‘Lust’ yang merujuk
kepada nafsu dan ‘last’ yang merujuk kepada akhir. Sebutan ‘ikhlust’ mahu pun ‘ikhlast’
menghasilkan sebutan yang sama iaitu ikhlas dalam Bahasa Melayu.
Tetapi aku tidak rasa ‘ikhlust/ikhlast’
ini benar-benar merujuk kepada perkataan ‘ikhlas’ atau ‘sincere’ dalam Bahasa
Inggeris (UK). Mungkin. Sama ada lagu ini berkisar perihal ikhlas sincere,
ikhlust nafsu atau ikhlast akhir, aku berasakan bahawa lagu ini boleh
diinterpretasi dalam gaya yang pelbagai. Ya, ikhlas itu elemen penting dalam percintaan.
Ya, ikhlust itu mustahil sekali untuk dielakkan antara dua merpati sejoli yang
bercinta. Ya, ikhlast itu suatu pendefinisian yang membawa pengharapan kepada
sebuah percintaan yang eternal, sehingga ke syurga hendaknya. Atau juga mungkin membawa
ke neraka jika elemen kedua itu tidak menerusi saluran mengikut garis
panduan Tuhan. Mungkin.
Berbalik kepada lagu Ikhlust/Ikhlast
versi akustik tadi, aku sukakan petikan gitar akustik dari permulaan sehingga
ke pengakhiran lagu. Kedengaran bersahaja dan santai dan elemen ikhlas (bukan
ikhlust/ikhlast) dalam menyampaikan ‘sesuatu’ itu sampai ke jiwa aku. Projeksion
suara Radhi menerusi versi akustik ini merupakan campur aduk suatu yang teknikal
dan tidak teknikal. Kedengaran bercelaru dan tidak menentu mungkin. Tetapi, ya.
Cinta itu sejenis kegilaan. Suatu fasa yang begitu cliché dan acap kali
dikaitkan dengan ‘makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah’.
Kebiasaannya, rutin ini aku
raikan pada hari-hari tententu. Dari tika aku menaiki LRT STAR dari Bandar
Tasik Selatan jam 7 pagi sehingga di eskalator aras bawah tanah di LRT Putra
Masjid Jamek. Dalam sela masa lebih kurang 30 minit itu, itu sahaja masa yang
aku luangkan dalam rutin 24/7 aku. Mungkin ini bukan perihal cinta, sayang dan
lain-lain. Perihal ‘crush’ (aku kurang pasti apa alih bahasa perkataan Bahasa
Inggeris (UK) ini dalam Bahasa Melayu) secara lebih tepatnya. Aku sukakan
perasaan ini. Walaupun aku hanya luangkan masa lebih kurang 30 minit. Cuma jika
aku bernasib baik pada hari itu.
Ya, ini perihal crush aku pada
seorang gadis muda, kawan.
Tuesday, 22 January, 2013, 11:33
AM
No comments:
Post a Comment