Tuesday, January 29, 2013

Poskad


Aku pulas bilah kunci dua, tiga kali. Mini Cooper tahun ’69 ini lazimnya agak liat untuk dihidupkan. Tambahan, malam tadi hujan turun mencurah-curah sehingga ke Subuh. Dalam dakapan dingin malam, aku mengulang tayang filem Talentime buat kesekalian kalinya. Koko panas dan gebar tebal menjadi peneman setia dalam sepi malam. Sambil menghadam karya garapan Yasmin Ahmad, aku cuba mengingat-ingat tulisan Amir Muhammad menerusi naskhah Yasmin Ahmad’s Films yang aku dapatkan di toko buku Kinokuniya tempoh hari.

Aku meminati filem-filem yang ditulis dan diarah oleh Yasmin Ahmad, sungguh. Ketika aku bersekolah di sebuah Sekolah Berasrama Penuh Kesemua Lelaki di Seremban dahulu, aku pernah meluangkan sehari outing Sabtu dengan menyaksikan filem Gubra di panggung wayang gambar Terminal One. Cakera padat filem Mukhsin aku beli daripada seorang lanun cetak rompak di kaki lima kedai serbaneka 7 Eleven SS15 Subang Jaya ketika aku mengaji di Taylor’s College dahulu. Filem-filem selebihnya, Sepet, Muallaf dan Talentime aku muat turun dari laman sesawang. Sehingga kini, aku masih belum berkesempatan menonton dan masih tercari-cari filem Rabun.

Jika aku sedang menduduki sebuah peperiksaan dan salah satu soalan meminta aku untuk menyatakan sebuah filem Yasmin Ahmad yang paling aku minati, dengan senang hatinya aku pasti akan menghitamkan abjad untuk pilihan jawapan filem Talentime pada borang OMR dengan pensil mata karbon 2B Noris. Secara jujurnya, ceritera chinta antara Melur lakonan Pamela Chong dan Mahesh lakonan Mahesh comel sekali bagi aku. Lari jauh dari norma kebiasaan. Babak-babak perchintaan antara watak seorang gadis Melayu yang dilakonkan oleh seorang gadis Cina dengan karektor seorang pemuda India terasa seakan-akan begitu harmoni, begitu blend.

Lebih menghuru-harakan lagi plot filem Talentime, komunikasi antara seorang yang bertutur secara lisan dan sebelah pihak lagi hanya mampu untuk berbicara dengan bahasa isyarat. Sejujurnya, sehingga kini, aku hanya dapat mengagak-agak tanpa kepastian yang jitu apa yang cuba disampaikan oleh watak Mahesh kerana tiada sari kata dan aku tidak tahu berbahasa isyarat sebenar-benarnya. Realitinya, butir bicara antara dua individu yang mampu berkomunikasi secara lisan ada ketika disalahertikan dan tidak sampai maksud malahan. Menerusi filem Talentime, mesej sebenarnya jelas, cakupan elemen chemistry luas walaupun berbeda metode penyampaian dan penerimaan.

Selepas enjin dibiarkan suam kira-kira sepuluh minit, aku meloloskan badan ke dalam kokpit kecil mobil. Aku tekan butang ‘Power’ pemain cakera padat bercap Bose. Frekuensi radio telah aku tetapkan pada talaan BFM 89.9. Lagu yang berkumandang menerusi pembesar suara adalah Sunday Morning oleh kumpulan gitar rancak Maroon 5. Seleksi yang begitu cocok sekali aku kira pada pagi Ahad. Mobil mula bergerak perlahan dari aras basement ke aras tanah. Aku sentuhkan kad akses pada mesin pengesan. Palang automatis bergerak naik seraya aku mengangkat tangan kanan dengan anggukan kecil dan senyuman nipis pada mamat Bangla di pos pengawal.

Dari Persiaran Hampshire, aku susur keluar ke jalan utama, Jalan Ampang. Kemudian, aku menghala ke Jalan Istana melalui Jalan Tun Razak. Kipas kecil pada papan pemuka sengaja tidak aku hidupkan. Pagi ini cuaca begitu baik sekali. Deru dan tiup angin pada kelajuan mobil 50 km/j mengibar-ngibarkan rambut ikal aku yang ditocang gaya Samurai. Aku kenakan shades yang sinonim sekali dengan John Lennon. Cahaya matari tidak begitu terik, tetapi aku sukakan perspektif di balik lensa shades yang sedikit perang ini. Kelihatan begitu nostalgik seperti menyelak foto-foto kusam dari album lama.

Aku berlagu bersama Martin Luther McCoy menerusi lagu While My Guitar Gently Weeps sambil menikmati lengang jalan raya pagi minggu Kuala Lumpur. Secara personal, versi ini kedengaran lebih soul jika hendak dibandingkan dengan versi asal dendangan kugiran The Beatles dari Liverpool. Pilihan aku hari ini ringkas. Aku kenakan baju tee berkolar Fred Perry rona violet yang dipasangkan bersama jeans Levi’s 501 biru pekat kepala kain dari Nippon. Tali pinggang kulit aku pasangkan dengan but potongan tinggi Doctor Martens rona maroon yang agak rare. Amanat Emak lama dahulu, aku betul-betul pegang. Penampilan, kena kemas.

Rutin hari Ahad aku adalah menghabiskan sehari suntuk di Amcorp Mall. Dari Jalan Bangsar, aku melalui Lebuhraya Persekutuan sebelum susur keluar di Hotel Hilton, Petaling Jaya. Jika bernasib baik, aku akan dapat parkir percuma di tempat letak kereta A&W berdekatan dengan Amcorp Mall. Jika tidak, aku terpaksa parkir mobil comel aku di ruang tempat letak kereta berbayar di dalam bangunan Amcorp Mall. Fakta menarik, A&W Petaling Jaya merupakan antara outlet terawal A&W di Malaysia selain A&W Lake Garden, Seremban. Fakta menarik tambahan, A&W Petaling Jaya juga menyediakan perkhidmatan istimewa yang mana pengunjung boleh menempah makanan dari dalam kereta dan alas makanan yang dihantar akan disangkut pada tingkap kereta.

Hari ini aku bernasib baik. Paparan digital pada telefon pintar menunjukkan 10:35 pagi, ruang tempat letak kereta di A&W masih banyak kosong. Sebelum aku melangkah pergi meninggalkan mobil kesayangan aku, aku pastikan kedua-dua sisi pintu telah dikunci. Aku berjalan menyulusuri bahu jalan sebelum berhati-hati menyeberangi jalan berhadapan Amcorp Mall. Lazimnya, aras yang akan aku tujui terlebih dahulu adalah aras Lower Ground (LG). Di aras ini, pelbagai jenis barang yang boleh ditemukan, terutamanya yang mempunyai nilai estetika yang tinggi kerana keantikkannya.

Tetapi hari ini aku mahu lari dari kebiasaan. Aku memilih untuk memacu eskalator ke aras atas terlebih dahulu. Di aras Satu, aku terpandang sebuah gitar akustik Yamaha yang disandarkan pada pendiri gitar. Di sebelah gitar akustik itu, sebuah bangku tinggi dengan tampalan sebuah nota bertulisan marker merah berbunyi, ‘anda dipersilakan untuk memetik gitar ini’. Tanpa teragak-agak, aku gapai leher gitar akustik itu dengan berhati-hati sebelum melabuhkan punggung pada bangku tinggi. Jari-jari aku mula memetik tali-temali gitar akustik itu memainkan intro lagu Stairway to Heaven oleh Led Zeppelin dari Britain.

Setelah puas, aku letakkan kembali gitar akustik itu pada pendiri gitar. Aku berlalu dari satu meja kecil ke satu meja kecil yang lain. Pada suatu meja kecil di aras Dua, aku berhenti. Di meja kecil ini terlambak poskad-poskad lama yang makin mengusam dengan rona kuning keperang-perangan. Aku mula membelek satu persatu poskad-poskad lama itu sambil diperhatikan oleh peniaga perempuan sekitar 50-an itu. Kebanyakkan poskad lama ini tidak aku fahami kerana bukan ditulis dalam Bahasa Inggeris.  Aku pilih empat poskad lama yang ditulis dalam Bahasa Inggeris. Tulisannya begitu kemas digaya italik. Peniaga perempuan itu tidak mahu menerima not jingga Ringgit Malaysia yang aku hulurkan. Peniaga perempuan itu mahu aku memilikinya dengan percuma. Aku hairan. Aku berlalu setelah mengucapkan terima kasih.

Aku tidak sempat untuk menjamah sarapan pagi tadi. Aku berkira-kira mahu ke SS15 Subang Jaya untuk menikmati Rojak Telur dan Cendol Pulut Extra Manis di bawah teduhan rendang pokok. Tetapi pada masa yang sama aku kepinginkan kelazatan Jackson’s Burger. Aku langsung memacu mobil dari susur keluar Hotel Hilton, Petaling Jaya menembusi Lebuhraya Persekutuan mengarah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman. Sambil menikmati keenakan Beef Burger Extra Chilli Sauce dengan bilasan minuman tin Kickapoo, aku mula memahami inti pati poskad-poskad lama yang makin dimamah masa itu.

Poskad Lama Satu

To: Love
February 6th 2006
Paris, France.
dear love,
heyya. it’s 9.20 pm and i’m doing some last minute practises for joget tomorrow’s performace. In 3 days, we went to the eiffel tower, arch de triomphe, notre dame, and river seine. It’s so cold, thought of you. And when I was on the eiffel tower, i wished you were there too. Seriouly miss you. The notre dame was nice. Evertything is beautiful but it’d be greater if you were here with me. anyway, I’ll write later =)
p/s: miss you & wished you were here!
p/s: the portrait of Mona Lisa, saw this dkt Lourve
lotsa love,
love

Poskad Lama Dua

February 10th 2006
Colmar, France.
dear love,
heyya. i’m in the hotel room and dora’s sleeping beside me. Tomorrow we’re going to Switzerland, leaving france already. The last few days, best ahh gak. Yesterday I played with snow =) best sangat!! Cold sangat, the temperature: -7C. Went to this international school, best sangat coz org kat that school respect all religious. Orang Islam bley pakai tudung and bulan puasa diorang sediakan food for buka puasa. Buat that dance, hehhe and ajar diorang main congkak. Susah sangat nak explain in French hehhe. but last2 diorang bley maen ahh. The school visit tu 7th february. And on the 9th of february, baru played with snow =). cay then, next ->
p/s: Went up the eiffel tower =)
lotsa love,
love

Poskad Lama Tiga

To: Love
10th February 2006, Colmar, France
dear love, heyya. 2 days ago was my birthday, thanks for messaging me =). Can’t wait to open the card you gave me when dah balik coll. so how are you? miss you loads and i guess you’re busy heh? Hehhe, xpe2, study hard =) The snow is FREEZING cold. but i’ve been sleeping a lot dowh, mesti mama marah sangat. I bought some stuff for you. We went to the science museum yesterday, the wine & cheese factory gak. I’m darn sleepy dowh now ni, nak tido already. More snow outside. Miss you, wish you were here, good night =)
p/s: lourve, a museum, famous sangat.
lotsa love,
love

Poskad Lama Empat

To: Love
Zurich, Switzerland 12/2/2006
dear love, heyya. actually i’m in the plane already. Nak balek Malaysia =). This is my last postcard to you. 4 je, sowwy. So anyway, yesterday i tried calling your phone but it was off, tido hehhe 3:30 am, Malaysian time. Kitorang ada snowball fight yest, sejuk SANGAT. i’m gonna miss France & Switzerland sangat, hehhe, but best ahh gak balek Malaysia. I got your msg, but xde cred laa, xbley reply. And you know what? When i got your msg, i tgh miss you sangat gak.. a few hours lg sampai Malaysia, nak msg you, neway, 1 conclusion, nak sangat gi Paris with you 1 day =). Miss you loads.
lotsa love,
love

Aku termenung. Aku terasa seakan-akan mahu menyanyi secara tiba-tiba. Jadi aku menyanyi.

Ne me quitte pas | Il faut oublier | Tout peut s'oublier | Qui s'enfuit déjà | Oublier le temps | Des malentendus | Et le temps perdu | A savoir comment | Oublier ces heures | Qui tuaient parfois | A coups de pourquoi | Le coeur du bonheur | Ne me quitte pas | Ne me quitte pas | Ne me quitte pas | Ne me quitte pas

Tuesday, 29 January, 2013, 1:12 AM

No comments:

Post a Comment