Dia terjaga dari
lenanya yang panjang. Di bahu katil itu lama dia pegun dengan fikirannya yang kosong.
Pandangannya tertancap dengan penuh kelembutan pada sebuah potret kusam yang
diam di atas meja kecil di sebelah perbaringan. Palitan remang cahaya kekuningan
lampu meja yang tersimbah pada potret kusam itu membibitkan momen-momen
romantis hari-hari semalam.
Potret kusam itu
menjadi saksi tunggal sebuah cerita cinta agung pernah tertulis. Pabila mana
dua jiwa menjadi satu. Pabila mana peroman menjadi pencinta dan tercinta.
Pabila mana kesempurnaan itu terzahir di dalam ketidaksempurnaan. Pabila mana
dalam diam bicara sukma itu mampu berkata-kata. Pabila mana mata mampu
menterjemahkan segala. Menjadi sesuatu yang sakti.
Ne Me Quitte Pas
dendangan Nina Simone mula berkumandang mengisi keheningan unit apartment
duplex. Di atas meja kecil itu juga, terlihat kitab The Broken Wings karya
garapan Kahlil Gibran dan naskhah Puisi-puisi Rendra oleh Willibordus Surendra.
Paket merah rokok digapai sebelum dia melangkah malas ke ruang balkoni. Kepul asap
rokok menghidupkan kanvas panorama KLCC.
Nun jauh di ufuk
timur, jemari matari mula menyapa segan ungu horizon. Memberi nafas kehidupan.
Membawa seribu satu pengertian. Semacam menyorakkan sejenis pengharapan. Hari
ini yang pasti lebih baik dari hari-hari semalam. Hipokrit manusia pada
kata-kata yang mendamaikan jiwa. Walaupun dalam ketahuan yang sabda itu bohong,
bagai seru dakwah Nabi palsu.
Rehat di kerusi
rotan, matanya masih pada potret kusam itu. Di sisi belakang potret kusam itu,
tercoret seuntai tulisan kemas digaya italik. Bibir
keringnya mengungkap perlahan ‘Let’s cherish the moment’ dalam sendu pagi. Bait-bait
itu baginya merupakan sesuatu yang begitu suci. Umpama rintihan pilu bidadari
kurungan syurga yang menjadi nyanyian jiwa yang menggetarkan.
Puntung rokok itu
ditonyoh pada bekas penyimpan pewangi. Dia kemudian berlalu mendapatkan baju
melayu hitam berbutang satu dari almari dinding. Potret kusam itu disemat ke
dalam poket di belah hati. Pendengarannya disumbat kedap dengan fon telinga
memainkan Belaian Jiwa dendangan Innuendo. Usai mengikat but Doctor Martens,
dia sarungkan topi keledar Evo.
Jeritan ekzos
vespa bergema mengisi sepi pagi Kuala Lumpur. Haruman Pure Seduction oleh
Victoria’s Secret menjadi mainan stimulasi minda bawah sedar. Kehadirannya
masih terasa. Perawan berbusana kebaya nyonya rona putih dengan padanan kain
songket hitam manis duduk mengiring di tempat duduk belakang. Jemari halus
gadis itu lembut menyentuh kemas bahunya.
Di hadapan pintu
kecil kawasan berpagar dawai hijau itu dia matikan enjin. Dengan kerah dia
menongkat vespa seraya menempatkan topi keledar pada tempat duduk hitam dengan
kemasan benang rona merah. Bunyian burung yang seakan-akan mengalukan kedatangannya
menenteramkan jiwa. Lambaian pepohon rendang yang menghijau menjadi halwa mata yang
menenangkan.
Dalam lafaz
perlahan, ‘Assalammualaikum Ya Ahli Kubur’. Perlahan-lahan dia memijak dedaun yang
layu memayungi bumi. Pusara yang diredupi pohon melebat itu dia singgahi. Dia
mencangkung seraya menyentuh dengan penuh kelembutan nisan yang mencengkam
bumi. Bagai menyambut jemari bidadari kurungan syurga yang meminta belas. Lalu
terjelopok dia terduduk dalam tangis teresak-esak meratapi potret kusam itu disaksi
sunyi tanah perkuburan.
Hari ini, esok,
lusa, tulat mahu pun hari-hari yang mendatang, pasti tidak akan lebih baik dari
hari-hari semalam.
Monday, 11
February, 2013, 3:13 PM
No comments:
Post a Comment