Dialog:
Kak, ros satu.
Nak satu kuntum ke satu bouquet?
Aaaaa, satu kuntum je lah kak.
Nak wrap?
Aa.
Nak yang mana satu?
Akak pilih yang paling lawa lah.
Okay.
Si floris itu memilih sekuntum ros yang
paling merah dan yang paling kembang dari peti berpenghawa dingin. Daun-daun
hijau yang berlebihan dipotong di sana sini dengan menggunakan gunting kain. Sedikit batang
di bahagian akar dikerat senget dengan menggunakan pisau buah. Bahagian yang dikerat
tadi kemudiannya dibalut dengan sejemput kapas lembap. Sehelai plastik pembalut
bunga menutupi figura seksi ros yang bogel. Dikemas rapi dengan sentuhan selembar
riben kain rona merah. Rintik halus air disembur pada ros memberi sejenis
kesegaran.
Dialog:
Berapa ni kak?
8 Ringgit je.
Okay. Terima kasih.
Terima kasih.
Aku galas sebuah beg kertas
Kinokuniya pada bahu kiri aku. Isinya; senaskhah kitab bertajuk Sayap-sayap Patah
oleh Kahlil Gibran. Adaptasi oleh Sufian Abas. Karya yang perlu dihadam cerna
oleh setiap jiwa peroman. Cakera padat berjudul The Best of Innuendo oleh Innuendo.
Halwa telinga dengan bunyian romantis. Bar coklat Carbury original yang paling
besar aku boleh dapatkan di Cold Storage. Memberi sejenis sensasi kepada libido
dua merpati sejoli. Sehelai selendang pashmina Kashmir. Sebab si gadis itu kelihatan
paling anggun dengan lilitan selendang. Empat biji kek cawan Oh! My Choc dari
Wondermilk. Kerana sedap. Sekeping kad saiz sederhana dari Memory Lane. Dekorasinya ringkas
dan lawa. Oh, sehelai pembalut hadiah dengan variasi rona merah.
Bauan harum Roti Boy mula merasuk
reseptor bau. Perut aku secara tiba-tiba berkeroncong rancak. Aku beratur dan
dapatkan Mocha Boy pada harga RM2.50. Sambil berjalan menongkah arus keramaian
pulang dari pejabat, aku getis lembut Mocha Boy. Wap-wap panas kelihatan mengawang
di dalam dingin Suria KLCC. Semacam berkonspirasi nakal dengan jiwa aku yang
hangat pada hari ini. Pilihan aku hari ini ringkas. Kemeja berkolar dengan
corak papan catur merah dan hitam dari Topman. Sepasang seluar khakis dengan
jenama Dockers. Pasangan tali pinggang kulit dan but Doctor Martens potongan
tinggi rona perang.
Dari Suria KLCC, aku mengarah ke
Kuala Lumpur Convention Centre melalui laluan yang seakan-akan terowong bawah tanah yang panjang. Kelihatan pasangan yang bergebang riang dengan si gadis memegang sejambak ros merah di hadapan Maybank. Di kaunter Memory Lane,
seorang lelaki memegang sekeping kad bersaiz gergasi sedang mengeluarkan
dompet. My Valentine dendangan Sir Paul McCartney berkumandang menerusi corong
fon telinga. Telefon pintar Samsung S-III aku keluarkan dari kocek kiri seluar.
Aku membuat carian.
SMS 1:
Korang lama lagi?
We’re nearly done dah ni. Where r
u?
I’m on my way dah. Korang lepak
dulu heh? I nak setting sikit.
Yep2 sure.
SMS 2:
Heyya Beautiful!
Hey Rockstar! =) Where u at?
Ada lah. Mana boleh bagitau.
Alaa. Mana ni?
Ala, nanti u tau jugak. Nanti if I
dah ready, I’ll let u know. Okay?
Okie dokie hun!
Aku seluk masuk kembali Samsung
S-III. Ros merah di tangan kanan aku hidu. Kata orang, ros merah mengeluarkan
bauan harum yang mampu menjentik romantis jiwa. Tiada bau. Hidung aku
tersumbat mungkin. Sambil berjalan, aku melihat-lihat isi beg kertas Kinokuniya.
Bimbang jika ada yang tertinggal. Dari aras bawah tanah, aku memacu
eskalator ke ruang tanah berdekatan dengan kedai cenderahati Aquaria. Kemudian aku
melewati dewan-dewan pameran Kuala Lumpur Convention Centre langsung ke ruang legar
Traders Hotel. Dari ruang legar, aku memacu elevator ke aras SkyBar.
SMS 3:
Hello, hello. Bz bz ke?
Not really. Diorang dah nak balik
dah.
Owh okay. I’m ready dah.
Really? Where r u ni?
At traders.
Skybar?
Hehe, yep2.
Awww, u read me like a book.
Mesti lah, hehe.
So I have to go there la ni?
A’a. Boleh ke? I tunggu here. Dah sampai
nanti u lemme know. Okay?
Yeah sure. C u there hon! Miss u
badly!
Aku pilih sebuah meja dengan bangku
tinggi menghadap hutan konkrit. Di luar, kelihatan sang rembulan dipagari
kerlipan bintang menerangi langit malam. Lagu di telefon pintar aku setkan pada Belaian Jiwa oleh Carefree. Dari beg kertas Kinokuniya, aku keluarkan gulungan
kertas pembalut hadiah. Kemudian aku susun kitab Sayap-sayap Patah, cakera
padat The Best of Innuendo, bar coklat Cadbury, selendang pashmina Kashmir dan
kotak Wondermilk di atas hamparan variasi merah kertas pembalut hadiah. Sebuah
potret kusam aku keluarkan dari poket belah hati kemeja berkolar dan aku
tempatkan di atas meja berhadapan bangku tinggi yang satu lagi.
SMS 4:
I kat lobby dah ni. I’m waiting for
the elevator.
Sure2. I tunggu sini. Jalan baik2.
Haha.
Aku tergesa-gesa menuju ke pintu
masuk SkyBar berhadapan dengan ruang elevator. Aku berdiri dengan kedua-dua
tangan memegang ros. Pembalut ros itu kemudiannya aku koyakkan. Kapas lembap
itu aku tanggalkan. Aku buang kedua-duanya ke dalam tong sampah. Aku memilih
untuk menggigit sahaja batang ros itu. Degupan jantung aku mula
bercelaru dengan rentak sumbang. Aku mula berasa tidak sedap badan. Aku mula berpeluh. Bila-bila
masa sahaja elevator yang dipacu si gadis itu akan tiba di aras SkyBar. Ting.
Dialog:
Good evening Gorgeous. (Dengan aksi
seperti seorang lelaki budiman mempersilakan seorang perawan menari di pentas
dansa)
Evening Handsome. Wah, finally.
This lovely rose for you. (Kuntum
ros mula beralih dari gigitan ke genggaman)
Awww, thank you. Wangi!
Shall we?
Jom!
Aku mempersilakan si gadis itu
duduk di bangku tinggi dengan sekeping potret kusam di hadapannya. Belaian Jiwa menjadi bunyian latar yang mengasyikkan. Dengan
tangannya yang mulus, gadis itu capai potret kusam itu. Riak mukanya kelihatan begitu
bahagia. Segala gundah aku terhapus melihatkan itu. Hari ini si gadis itu
kelihatan anggun sekali dengan sepersalinan jubah hitam dipasangkan dengan
selendang hitam. Kami mula bergebang riang perihal hari ini. Pada masa yang
sama, aku mula memperincikan signifikan setiap hadiah yang aku dapatkan untuk
dipersembahkan hari ini. Dari tas tangannya, gadis itu keluarkan sekeping kad
rona hati dan dihulurkan pada aku.
Dialog:
Don’t read it now.
Eh, kenapa?
I segan okay.
Ala. I nak baca depan you.
Please?
Okay, okay. Thanks by the way!
Hehe, no biggie Rockstar.
Hey Sayang?
Yea?
Will you be my V?
Okay, I’m confused. V for Violet or
V for Valentine?
V for both. You sudi?
Dari kocek kiri seluar khakis
Dockers, aku keluarkan kotak cincin. Aku buka kotak itu mempersembahkan sebuah jiwa tulus dalam bentuk cincin emas dari Tiffany & Co. Dengan kedua-dua tangannya yang kini
menutup mulutnya, aku lihat air matanya mula berlinang membasahi pipi gebunya. Aku
fikir dia gembira. Dan aku fikir. Aku bahagia. Ya, aku bahagia.
Thursday, 14 February, 2013, 11:09
AM
No comments:
Post a Comment