Dari kejauhan,
aku berderap perlahan ke arah duduk Joned. Aku lihat, sinar matanya kini kian
malap. Umpama hari-hari esok itu seakan tiada lagi. Punah impian, tanpa punya
secebis pengharapan. Mungkin, dari mata yang pernah sekali ria dengan kehidupan
itu akan gelita suatu hari nanti, menjadi sejenis kebutaan. Sesungguhnya indah
insan itu pada pengharapan, kepada Tuhan dan kepada mortal lain. Tanpa impian, masa
yang berlalu itu terasa seakan-akan merangkak terlalu perlahan. Minit yang
berdetik itu seperti sejenis kerugian, suatu yang sia-sia. Ketika yang menyisih
itu menghapuskan garis imaginari antara kehidupan dan sebuah kematian.
‘Hai kawan, apa
yang menyelubungi hatimu? Engkau yang suatu ketika dahulu seorang yang meraikan
kehidupan, kini berwajah cengkung dan kelihatan kurus sekali.’
‘Aku masih seperti
dahulu kawan, tiada apa-apa yang merubah dan berubah. Cuma jalan aku meraikan kini
berbeza barangkali. Apa khabar kau kawan? Lama sungguh kita tidak ketemu. Mari,
duduk di sebelahku. Ayuh kita mengenang kisah lalu, kau dan aku.’
Pasang mata itu mencuba
dengan kerah menyelindung sejenis kedukaan. Joned yang aku kenal masih seperti
dahulu. Tidak berubah walau sedikit. Kehadiran teman menceriakan hari-harinya.
Kunjung sahabat lama akan disambut hangat dengan senyum tulusnya. Sungguh, dia
pernah katakan padaku lama dahulu, kawan-kawan adalah segala-galanya.
Berlalu sebuah cinta pergi memunahkan impi seorang lelaki, pasti akan ada senda
gurau dan dengar kawan yang menyambut. Ibarat terapi yang paling mujarab. Joned
menjunjung letak sahabat itu lebih daripada bidadari kurungan syurga atau
puteri kayangan larangan yang didambanya di malam-malam sepi kami di
bumi asing yang jauh.
Tetapi kali ini,
di balik senyum itu, mata kuyu itu tidak lagi mampu membendung kepahitan yang cuba diempangnya. Ilusi dengan senyum itu gagal untuk
menghasilkan sebuah persembahan sempurna oleh seorang ahli magis seperti
lazimnya. Duka itu seakan-akan memamahnya perlahan-lahan dari teras yang paling
dalam. Pada luarannya mungkin kelihatan seperti dia merayakan kehidupan, tetapi
kebenarannya, jiwanya sedikit demi sedikit mati. Seperti Joned yang aku
kenal, dengan sisa pinjaman Tuhan yang masih berbaki
sedikit itu, tidak sekelumit pun deritanya mahu dikongsi.
‘Apa mahu kau
kongsikan bersamaku cita dan impi kau kawan?’
‘Jika diizin
Tuhan, sebelum aku sebati mati dengan tanah, aku mahu ke bumi Kashmir. Aku mahu
mata aku menjamah sedikit keindahan syurga duniawi. Jika aku dihumban ke dalam
jurang neraka yang paling dalam kerana hilang upaya aku untuk mensyukuri hembus
nafas yang dikurnia Tuhan di bumi ini, aku berharap aku punya memori yang bisa
diulang tayang di dasar sana. Aku mahu momen-momen terakhir aku itu disaluti
penghargaan aku kepada Sang Pencipta kerana menemukan aku dengan cinta sejati.
Walaupun gagal untuk aku gapai dan kecapi manis madunya, aku tahu aku akan mati
dengan lukiran sebuah senyuman pada wajahku seperti mana hadir aku ke dunia ini.’
Sisa malam itu
kami isi dengan sepi bicara dan keheningan malam. Sebelum mengucapkan
selamat tinggal, aku selami mata Joned yang pernah dahulu gemilang. Kewujudan
cahaya itu tiada dan seakan-akan tidak pernah langsung menerobos masuk ke dunianya
selama ini. Dari sudut benak yang paling dalam, aku akur pada hakikat
pengakhiran sebuah persahabatan. Kali yang seterusnya yang bakal menjadi
persimpangan sebuah suratan antara kami, adalah apabila aku kembali memberi
penghormatan dan ucap selamat kepada seorang pencinta yang begitu merindui penyatuan
abadinya dengan Yang Maha Pengasih. Aku peluk kejap tubuh tidak bermaya itu
seraya air mata aku mula mengalir perlahan membasahi pipi.
‘Selamat jalan
kawanku. Kisah cinta kau ini akan aku bawa dan perdengarkan ke seluruh pelusok
dunia. Moga apa yang kau cari selama ini bakal kau temui dan kecapi di Taman
Firdausi nanti.’
Sunday, 3
November, 2013, 2:18 PM
No comments:
Post a Comment