Thursday, March 7, 2013

Nostalgia: Prep


“Wan, buatkan aku sekali,” dengan kuasa veto seorang senior Padil mengarah.

“Air kau nak sekali?” penuh sopan santun aku bertanya.

“Sekali ah. Duit kau amek dalam loker aku nanti,” Padil pura-pura baik macam nabi. 

Dorm kitorang dorm besar. 14 katil double decker. Dalam satu-satu masa boleh muat 28 student, atas bawah. Sebab besar, dorm ni pecah 2. 7 double decker Side A, 7 double decker Side B. Macam Side A, Side B kaset. Pembahagi 2 side ni, deretan loker yang disusun sebelah-menyebelah. Laluan menghubungkan kedua-dua belah side ni, muat-muat seorang bersaiz gempal lalu. Aku dan Padil belah Side A. Aku double decker belah bawah sebelah pintu masuk Side A. Padil double decker belah bawah sebelah double decker aku. Belah atas double decker kitorang kosong.

Ketak.

Bunyi water heater. Aku jalan slow-slow pergi Side B. Dalam dorm kitorang ada satu suiz, buat charge henset dengan jerang air. Water heater aku ambil letak antara double decker aku dengan Padil.

“Awek Katak kau amacam?” aku berbasa basi sambil carek dua pek Mi Sedap. Time ni Mi Sedap memang tengah naik.

“Okay je lah. Apsal kau tanya?” Padil baring-baring malas atas katil aku sambil selak-selak Buku Teks Sejarah Tingkatan Lima.

“Saje je. Apsal, tak boleh?” air panas aku curah berhati-hati dalam dua mangkuk memang khas untuk buat Maggi.

“Boleh lah. Apsal tak boleh pulak,” Padil balas gaya tak puas hati.

Dorm kosong. Budak-budak lain turun prep. Biasanya, lepas Solat Maghrib, kitorang gerak prep terus. Solat Isyak lepas prep. Tapi malam ni malam Jumaat, kena baca Yassin. Tapi Solat Isyak tetap lepas prep macam malam-malam sekolah lain. Jadi malam Jumaat biasanya turun prep lambat sikit. Aku dengan Padil suka lepak dorm time prep. Hobi.

“Mana kau letak Discman kau?” tanya Padil sambil mengarah ke loker aku di sebelah pintu masuk ke Side A.

“Dalam laci,” aku jawab pendek sambil bancuh minuman panas Cadbury dalam dua termos.

Aku keluar dorm mencangkung dekat salur air kaki lima depan pintu Side A. Mulut mangkuk Maggi aku tutup dengan bontot pinggan plastik. Sambil mengelak panas wap air, aku tos air dengan cermat. Mi kembang secukup rasa macam biasa.

“Gaul aku punya Maggi tu sekali,” sambil sumbat sebelah telinga dengan earphone.

“Yelah, yelah,” dengan tekun aku gaul perencah Mi Sedap sampai sebati.

“Ni esok nak balik bila?” tanya aku, lurus.

“Lepas habis sekolah. Kita call cab terus gerak Terminal One. Dalam pukul dua, sampai CM. Nanti mak aku pikap,” jawab Padil dengan selamba.

Dalam remang cahaya kalimantang di kaki lima Side A dan sahut cengkerik, kitorang makan Mi Sedap sambil hirup minuman panas Cadbury dekat bahu katil masing-masing.

Nota: Katak merujuk kepada KTK (Kolej Tunku Kurshiah).

Thursday, 7 March, 2013, 11:13 AM

No comments:

Post a Comment