Mana kau nak tahu benda yang kau percaya tu betul? |
Hari ini saya
muat naik sekeping gambar koleksi buku Faisal Tehrani yang berada di dalam
simpanan saya di laman sosial Facebook. Untai kata yang tertulis mendeskripsi
di bawah gambar itu mungkin kedengaran sedikit provokatif, “Mana kau nak tahu
benda yang kau percaya tu betul?” Sejujurnya, bukan itu niat asal saya. Nawaitu
saya sejernih kristal. Saya mahu mengajak dan mengajak lebih ramai sekalian
umat yang tertulis pada kad pengenalannya, Warganegara Islam, yang lebih mesra
dengan julukan Islam Keturunan atau pun bahasa kasarnya Islam pada IC untuk
menyelak-nyelak sendiri karya garapan Faisal Tehrani.
Masuk tahun ini,
genap tujuh tahun saya meladeni segala idea mahu pun ideologi yang dicurah dan
dikongsi menerusi puluhan karya oleh Faisal Tehrani. Selepas tamat pengajian di
sebuah Sekolah Berasrama Penuh di Seremban, saya mula menyelongkar isi rak di toko
buku MPH Mid Valley dan Kinokuniya KLCC dalam sebuah pencarian panjang dalam menemukan
material-material yang tidak hanya mengetengahkan tema-tema cinta mahu pun
picisan. Kerana realitinya, terlalu banyak lagi perkara yang perlu
dititikberatkan jika hendak dibandingkan dengan dilema remeh-temeh mudi-mudi yang
terlalu menyesakkan.
Kontroversi yang
dicanang-canang media arus perdana sudah tentunya berkenaan tulisan beliau yang
berbau fahaman Syiah. Naskhah Karbala sudah terang lagi kan bersuluh
berkisar perihal Saidina Hussein putera kepada Saidina Ali Kamarallahuwajhah. Pada
permukaannya, pada dasarnya mungkin bukan begitu. Melalui karya terbaru beliau
terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Perempuan Nan Bercinta,
secara personal saya begitu gemarkan dialog Dr. Siti Fatimah di laman 409, “Saya
seorang Muslim. Mazhab sama sekali tidak penting lagi buat saya. Mungkin dapat
dikatakan saya Muslim generasi baharu. Saya generasi supramazhab. Bapa saya
seorang Sunni. Ibu saya seorang Syiah. Nah, sekarang beritahu… di mana salahnya
kami?”
Berbalik kepada
sebab munasabab saya mencoret tulisan ini. Buat masa ini, saya menerima satu
‘Like’ dan satu ‘Comment’ untuk foto koleksi buku saya itu. ‘Like’ saya ambil
mudah sebagai rasa kagum individu tersebut pada skill saya memacu lensa,
intensiti pencahayaan, pemilihan sudut, susun letak dan sebagainya. Atau pun
rasa takjub pada jumlah karya Faisal Tehrani yang berada dalam posesi saya. Mungkin
juga pada hiris tajam kata-kata saya berkenaan sensitiviti pada perkataan
‘percaya’. Tiada siapa yang mahu ambil pusing kerana basically ‘Like’ itu begitu positif sifatnya.
Yang menarik hati saya untuk menulis adalah komen dari seorang teman yang berada jauh di perantauan,
di benua Eropah sana. Saya akan frasakan kembali komen beliau. Dan ianya
kedengaran lebih kurang begini, “Jangan baca Faisal Tehrani.” Saya tipu, ini
adalah sebenar-benarnya apa yang beliau amanatkan pada saya beribu-ribu
kilometer jaraknya menerusi laman maya. Tiada masalah bagi saya. Setiap individu
punya hak untuk menyatakan pendapat. Setiap individu wajib memberi ruang untuk
mendengar. Setiap individu punya hak untuk bersetuju atau tidak bersetuju pada
pendapat tadi. Debat sihat sangat-sangat dialukan tanpa penglibatan kata kaya
cacian dan makian. Tetapi sedikit kelakar, maaf.
Saya percaya
bahawa bait-bait yang ditaip deras di atas papan kekunci memberi konotasi bahawa
cakap-cakap yang Faisal Tehrani seorang Syiah dan gemar menyelit subliminal
message sampai ke pengetahuan beliau. Saya bukanlah seorang yang mahir
selok-belok Islam. Lepak-lepak mamak saya dipenuhi dengan persoalan saya pada
member-member perihal mengapa dan mengapa seorang anak kecil yang diajar sedari
kecil (kekadang sebelum usia tujuh tahun); tertib mengambil wuduk, tata cara
dalam solat, pada umur 18 tahun dan ke atas tanpa sekelumit rasa bersalah
meninggalkan solat lima waktu dan ponteng solat Jumaat. Pendekatan itu kurang
kena mungkin, konklusi kami di kala embun pagi mula membasahi bumi.
Saya menentang
lembut dengan kata-kata kerana tegah teman saya itu penyataannya tanpa
sebab, tidak kedengaran rasional, pendekatannya kurang kena dan kedengaran
seakan-akan memerintah. Fitrah pada kejadian manusia, kita kebiasannya kurang
dapat menerima teguran yang memenuhi kriteria seperti yang saya nyatakan di
atas. Sisi gelap kita akan timbul dan kemungkinan besar kita mahu membalas
kembali penyataan itu dengan kalimah-kalimah provokatif. Jadi saya matikan
dengan menekan butang ‘Like’ pada komen teman saya itu tadi. Dan saya matikan
cadang asal saya untuk membalas hujah dengan potongan ayat dari kitab suci
Al-Quran (Kerana untuk idea-idea yang tidak boleh diterima dan dibalas bidas oleh
sesetengah individu, idea-idea itu dikuburkan dengan ayat ini atau hadis itu.
Anggapan lapuk bahawa jika orang membalas dengan ayat ini atau hadis itu
perkara yang sebaik-baiknya dilakukan oleh orang yang dibidas adalah dengan berdiam
diri, tunduk dan pasrah sahaja).
Selain itu,
mungkin kerana ego saya sedikit tercalar. Semacam saya tidak mempunyai akal dan jujur alang menurut sahaja apa yang tertinta di dalam setiap bahan bacaan yang
saya tatapi. Itu alasan bodoh, mungkin. Bagi saya, agama ini sifatnya peribadi.
Jika di sesetengah negara Barat misalnya, melontar tanya perihal kepercayaan
(agama) seseorang dianggap ofensif dan rude (kurang ajar). Di dalam culture
kita (budaya setempat), ianya normal. Saya cenderung pada pegangan bahawa
kepercayaan itu antara individu dan Tuhan. Tiada penglibatan entiti ketiga,
keempat mahu pun seterusnya. Bak lirik kugiran kegemaran sepanjang masa saya,
Butterfingers menerusi lagu Tentang Tentang, ‘Dosa dan pahalaku, Tuhan saja,
Tuhan saja yang tahu.’
Saya tidak berapa
pasti sama ada teman saya mahu pun anda pernah menyelak apatah lagi meghadam
cerna buku-buku Faisal Tehrani. Apa yang saya boleh pinta dari anda adalah
untuk berlaku adil. Adil itu sebahagian dari anjuran Islam (cubaan nakal saya
menyuntik dogma dan doktrin agama). Berikan diri anda peluang untuk menilai
sendiri. Tak kenal maka tak cinta. Tak baca maka tak tahu. Elakkan dari mendengar kenyataan-kenyataan media (kita tahu dan sedar media
arus perdana cekap sekali dalam memutar belit dan memanipulasi fakta) dan
cakap-cakap individu tertentu kerana mungkin mereka punya kepentingan dan
agenda tersendiri (hadis Rasulullah ada menyentuh perihal golongan yang paling
korup di akhir zaman adalah agamawan. Saya pasti paling kurang anda pernah
mendengar dan berasa hairan dengan hadis ini paling tidak sekali dalam hidup
anda). Anda tekun sendiri. Penerbit buku segah ITBM tidak akan mengambil sebuah karya untuk diketengahkan jika tiada elemen unik pada seseorang penulis dan materialnya untuk dikapitaliskan (harga buku ini sedikit mahal tetapi berbaloi-baloi).
Apa yang mungkin
saya boleh nampak dari kaca mata saya dari apa yang cuba disampaikan oleh
Faisal Tehrani mungkin ini; sejauh mana kita percaya bahawa apa yang kita
percaya ini adalah yang sebenar-benarnya, yang paling lurus, tiada yang paling
benar selain daripada apa yang kita percaya. Sejauh mana keyakinan kita bahawa di antara
72 pecahan Islam itu, hanya satu yang paling benar, dan
71 yang lainnya tidak diterima Tuhan, dan kita tergolong di dalan pecahan yang
berbaki satu itu. Untuk memahami tema-tema itu dan selainnya, saya persilakan
anda untuk mendapatkan naskhah Perempuan Nan Bercinta kerana isinya padat
dengan muatan falsafah, agama dan idea.
Dan jika saya
seorang Ustaz bertauliah yang sedang menyampaikan ceramah agama mahu pun tazkirah
pasca solat Maghrib dengan rata-rata jemaahnya lebih gemar memilih untuk duduk
menjauh di belakang berbanding memenuhi saf-saf di hadapan, saya akan lontarkan
bait-bait pujangga ini sebagai penutup, “Tepuk dada tanyalah iman” kepada anda
sekalian.
Sunday, 24 March,
2013, 1:31 AM
nak gambar langkawi weyh
ReplyDeletefaisal tehrani besttt.. ketupat cinta :D
ReplyDelete