Wednesday, March 27, 2013

Pujangga


“Ai, nak exam baru nak gi masjid?”

Aku pamer senyum besar menyeringai menampakkan baris susun gigi yang teratur. Berhati-hati aku melangkah menuruni anak tangga berselisih dengan member-member yang lencun dengan peluh jantan. Jersi yang dikenakan dengan shoe bag di tangan memberi indikasi bahawa mereka baru pulang dari beriadah petang seperti mengusha awek-awek di taman sambil berjogging, futsal mahu pun bola padang. Kumandang azan yang memenuhi ambians senja rona jingga membibitkan halwa romantis di dalam taman jiwa yang kusut lagi serabut.

“Aa bhai. Mencari rahmat dari Yang Maha Pemurah,” falsafah aku pendek sambil tertawa comel.

Rambut panjang yang basah aku biar bebas bernafas tanpa songkok mahu pun kopiah. Jubah tidur lengan baby tee dari Semenanjung Arab yang Ache’ Ain hadiahkan beberapa tahun sudah aku kenakan. Perlahan-lahan aku melangkah ke arah surau dengan harapan moga-moga bilas wudhuk dan langkah-langkah kecil ini melayakkan diri hina ini ke syurga Tuhan. Dalam sela masa yang sama, cepu kepala aku berkitar memikirkan sapaan member aku sebentar tadi.

Seminggu yang seterusnya berlalu tersangat perlahan. Aku masih memikirkan perihal yang sama dalam gelumang berjuang mengejar gred bodoh A dalam setiap subjek kritikal. Sesungguhnya subjek Variations terlalu lahanat. Kepayahan subjek ini membuatkan seorang itu mati akal dan putus harap dan lebih cenderung untuk ponteng lecture dan tutorial melayan series di hostel sambil bergolek santai di atas empuk katil. Sesal itu betul-betul terasa pabila bahana menimpa dalam kerah memahami solution untuk soalan-soalan tutorial mahu pun assignment dua hari sebelum paper.

Bunyi bingit vespa mengisi lompong sunyi jalan raya. Di dewan masjid, kelihatan jemaah sudah mula bersolat Jumaat. Dalam kocoh dan geleng kepala, kami berlari deras mengejar saf di belakang. Hairan, solat Jumaat hari ini mulanya agak awal. Atau kami yang lena dalam pelukan dosa. Lemas dalam lalu masa yang mengkhayalkan. Solat fardhu dua rakaat berkesudahan empat rakaat tanpa khutbah. Aku dan Polan memandang satu sama lain penuh makna menzahirkan keinsafan yang sementara sifatnya.

“Jom blah weh,” ajak Polan dalam gesa.

“Lek dulu bhai. Haha, kita baru je sampai kot. Balik kang tidur petang je pun,” pujuk aku dengan sisa-sisa keinsafan yang masih berbaki.

Di ruang belakang dewan solat yang terbuka pengudaraannya, deru sejuk penghawa dingin terasa dimuntahkan pintu automatis yang kejap terbuka kejap tertutup. Repek dan tawa kami teratur dan agak moderate, luar biasa daripada kebiasaan, semacam penghormatan kepada keberadaan kami di dalam rumah ibadah. Dalam asyik kami bergebang perihal-perihal yang tak berapa nak patut dibualkan di dalam rumah Tuhan, kami didekati sopan oleh seorang lelaki 30-an yang berjambang lebat.

Lelaki Pakistan itu memperkenalkan diri sebagai seorang pelajar ambilan baru yang melanjutkan pengajian dalam kedoktoran falsafah. Interaksi kami dalam bahasa kedua iaitu Bahasa Inggeris yang agak fluent. Intipati diskusi kami menyentuh perihal keTuhanan, Islam, usaha dakwah, makanan dan cuaca di Malaysia dan pengkursusan kami di universiti. Berperwatakan dan berpakaian serupa seorang tabligh, kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu lancar dengan sentuhan hadis dan petikan potongan kitab suci di sana sini.

Jiwa aku dalam masa yang sama bergolak bagaikan bahtera yang dilanda badai di tengah laut yang bergelora ganas. Kata-kata dari member aku seminggu sebelum terngiang-ngiang dengan kekerapan yang agak menjengkelkan seakan-akan ada syaitan yang membisikkan nista itu ke lubang telinga aku. Dalam kapai, aku mencari-cari petunjuk dan hidayah dari yang Maha Esa untuk membunuh kalimah-kalimah yang mengganggu tenteram dan damai hati. Seakan-akan dapat menilik rintih naluri aku, lelaki Pakistan itu tiba-tiba membuahkan pujangga,

“It is fine when you only start going to the mosque when the examination is approaching. At least you are seeking for him, depending on Him. He knows when you are in difficulties; you are still going to look for Him. You pray and you pray. And He will listen to your prayers. Not because you forgot Him most of the time, but when you face difficulties, you pray, and you are sincerely looking for His forgiveness and His blessing.”

Bayu tasik yang berlalu tenang mengerbangkan rambut aku semacam merefleksikan tenteram hati aku tika kalimah itu terzahir dalam bentuk kata-kata.

Walaupun hati aku acap kali disentuh cinta gadis-gadis berparas arab (mata bundar, hidung sedikit mancung, lemparan senyum yang besar dan menawan yang menghangatkan jiwa dan berperwatakan lampai) panahan syaitonnirrajim, hati aku juga pernah disentuh cinta Tuhan.

Wednesday, 27 March, 2013, 11:10 AM

1 comment: