Monday, July 16, 2012

Di Mana Kan Ku Cari Ganti - Sheila Majid


(Sebuah tulisan yang dialih bahasa dari karya asal saya dalam Bahasa Inggeris beberapa tahun lepas)

Semua orang punya kisah. Punya cerita. Begitu juga dengan saya. Tetapi ini bukan cerita saya. Ini sebuah kisah duka yang tetap menjadi inspirasi saya sehingga ke hari ini. Cinta sejati memang tidak boleh dibeli. Sungguh, wang ringgit tidak akan pernah mampu membeli cinta. Cuba hayati sebuah karya agung bertajuk “Money Just Can’t Buy Me Love”, dendangan The Beatles yang ditulis puluhan tahun lepas oleh duo terulung sepanjang zaman, John Lennon & Paul McCartney, anda pasti akan faham maksud saya. =)

Ceritera cinta antara Marwan dan Maureen. Bagaimana salam perkenalan kami? Itu saya kisahkan kemudian. =) Al-Kesah bermula 11 tahun lepas. Tika itu, mereka bagaikan dua merpati sejoli yang lain; sering bertemu, meluangkan masa bersama, menaut janji dan sebagainya. Pada usia 21 tahun, dua merpati sejoli yang saling menyintai ini memilih untuk mengikat tali pertunangan. Agak awal, tetapi inilah yang dikatakan kismet (takdir dalam Bahasa Turki), ianya sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Meromantiskan lagi cerita cinta mereka, Marwan adalah cinta pertama Maureen, begitu juga dengan Maureen yang merupakan cinta pertama Marwan. Orang kata, kita akan sentiasa ingat pada cinta pertama kita hingga hembusan nafas yang terakhir. Orang juga kata, walaupun kita sudah ketemu dengan cinta sejati kita, cinta pertama kita akan tetap punya tempat teristimewa dalam hati kita. Haha, saya kurang arif perihal ini, saya tinggalkan pada anda untuk menilai.

Oh, terlupa pula. Mereka mengikat tali pertunangan sekitar bulan Februari atau Mac pada tahun yang sama Marwan didiagnos dengan leukimia. Marwan cinta pertama Maureen, dan beliau tidak tergamak sesekali untuk membiarkan Marwan terbaring tidak berdaya tanpa ada yang meneman di sisi. Biasa dengan ungkapan “Saya akan tetap di sisi awak?” Ramai yang akan berbuat apa sahaja untuk merasai kemanisan cinta, ada juga yang terus menunggu dan menunggu, dan ada juga tanpa mengenal penat dan lelah tetap terus mencari dan mencari. Tetapi untuk melihat seorang yang dicintai menunggu mati tanpa mampu untuk melakukan apa-apa, pasti, itulah penyeksaan yang paling tidak tertanggung.

Keadaan Marwan semakin buruk dari hari ke hari. Tiada apa-apa yang dapat dilakukan. Kata doktor, segalanya sudah terlambat, leukimia yang dihidapi oleh Marwan sudah pada fasa terakhir. Maureen tidak putus-putus berdoa pada Tuhan dikurniakan ketabahan hati dan diberikan kekuatan untuk tersenyum di kala Marwan terjaga dari lena. Bukan Maureen sahaja, Marwan juga pada tika yang sama terpaksa menabahkan hati beliau mengenangkan ada insan yang turut sama berkongsi derita yang dilalui.

Perancangan awalnya, mereka akan diijabkabulkan pada awal tahun berkenaan. Atas suratan yang tidak dapat dielakkan, Marwan pergi dalam lena pada November setelah berbulan-bulan menderita leukimia. Pemergian Marwan buat selama-lamanya pasti meninggalkan duka yang paling dalam pada sisi Maureen. Melihat yang tersayang menunggu mati merupakan suatu penyeksaan yang tersangat perlahan. Untuk bersedia menerima takdir bahawa yang tersayang sudah pergi menyahut seruan Illahi merupakan suatu perkara yang pasti sukar sekali untuk dilakukan. Dan ketidaksampaian untuk bernikah dengan seorang yang dicintai sepenuh hati kerana dipisahkan ajal, pasti, meruntun sukma ke teras yang paling dalam. Dalam suatu tika yang sama, Maureen terpaksa menghadapi kesemuanya. Anda dan saya. Kita tidak akan sesekali faham rasa hati Maureen. Kerana bukan letak duduknya kita untuk berkata apa-apa.

Tiga tahun Marwan tetap ada dalam hati Maureen. Tiga tahun. Lama. Boleh anda bayangkan tiap saat dan ketika insan yang tersayang dikenang, dirindui, walhal insan itu sudah pergi buat selama-lamanya? Tiga tahun diperlukan sebelum Maureen terbuka hati untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidup beliau kembali. Empat tahun lagi sebelum beliau bertemu dengan Haikal. Ada kala dan ketika, jodoh itu tidak kekal sifatnya. Maureen akhirnya menamatkan penantian yang terlalu lama untuk sebuah cinta abadi sebelum menamatkan zaman bujang beliau dengan Haikal. Pada ketika ini, pasangan ini sedang menantikan kehadiran orang baru (sudah lahir ketika tulisan ini dihasilkan kembali). Penantian Maureen sudah berakhir. Dan Maureen memilih untuk terus ke hadapan dengan meninggalkan kenangan-kenangan lepas, yang tentunya penuh dengan momen yang tidak mungkin dilupakan dan saat yang terindah yang terlipat kemas dalam catatan lepas kehidupan beliau.

Kisah ini disampaikan sendiri oleh Maureen ketika saya bermalam di duplex apartment beliau di Damansara Damai beberapa tahun lepas. Ketika itu, saya merupakan krew tunang beliau, Haikal, yang memberikan saya peluang keemasan untuk bertugas di beberapa buah negeri di Semenanjung tanah air. Pertemuan kami yang singkat itu saya kira kena tepat pada ketika saya memerlukan seseorang untuk berkongsi cerita. Saya begitu tersentuh sekali dengan perkongsian beliau dan derita yang beliau lalui.

Patah hati. Putus cinta. Namakan. Mungkin kita rasa kita lah orang yang paling berpatah hati dalam dunia ini. Tetapi kita perlu selalu ingat, “Tuhan takkan menguji hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak tertanggung.” Hidup penuh cubaan, dugaan, pastinya. Tetapi semua ini buat kan kita kuat, tabah. Supaya kita tahu, ini adalah persediaan sebelum kita ketemu yang terbaik untuk diri kita. Kita kena senantiasa percaya, mungkin benda yang terjadi ada hikmah di sebalik, kita pun tidak tahu, tiada siapa pun yang tahu. Tetapi pasti ada suratan yang sudah tertulis untuk kita. Patah tumbuh yang hilang kan berganti. Usah gundah gulana, heh?

Jika ada kesempatan, akan saya kisahkan pemberian Maureen sempena perkenalan singkat kami. Dedikasikan khas untuk anda, “Di Mana Kan Ku Cari Ganti”, dendangan Sheila Majid dari karya asal Allahyarham P. Ramlee. Nikmati rasa hati yang cuba disampaikan menerusi bait liriknya, keindahkan susunan melodinya dan kemerduan lenggok suara Sheila Majid. Pastikan tiada air mata, pastikan. \m/

Monday, 16 July, 2012, 5:15 PM

No comments:

Post a Comment