Aku dan beberapa teman ke Kampar
tempoh hari. Nawaitu kami untuk melawat seorang teman. Perkhabaran mengenai
teman ini aku bawa dari Pelita Bangsar minggu sebelum. Dan aku sampaikan kepada
teman yang lain.
Dalam perjalanan, banyak aku berfikir.
Apa yang perlu aku katakan. Kata aku pasti tiada bawa perbezaan. Perlukah kau simpati
aku. Atau perlu aku berlaku seperti tiada apa yang berbeza. Aku sendiri tak pasti. Tapi janji aku, tak kan
aku berlaku seperti aku memahami. Sebab aku tahu, walaupun sejauh mana cuba aku, memang tak kan aku faham rasa kau. Itu janji
aku. Itu sekelumit penghormatan yang boleh aku beri untuk rasa kau.
Kau sambut dengan senyuman. Tabah kau
di situ. Pilih aku, untuk tidak bertanya apa. Datang aku hari ini untuk
mendengar, rasa kau. Bukan untuk berlaku seperti aku faham, rasa kau. Omel kau, makin berkurang rambut kau. Jujur aku katakan, kau masih seperti yang aku
ingat. Tidak berubah sejak kali yang terakhir, 4 tahun dulu.
Kata kau, lama masa kau ambil untuk
bangkit kembali. Tabah kau di situ. Kagum aku dengan gelak tawa dan senyum kau.
Tak kan aku bertanya apa ada duka yang cuba kau sembunyikan. Atau pilih kau untuk
tidak ambil pusing dengan tuntutan suratan. Ah, cemburu aku. Cemburu aku dengan
kekuatan kau. Dengan ketabahan kau. Semoga kau tabah teman.
(P/S: Teman ini kenalan di Shah
Alam suatu ketika dulu. Didiagnos dengan kanser nodus limfa peringkat empat Februari
yang lepas selepas 4 bulan menderita penyakit yang tidak diketahui. Gurau ibu
beliau, dunia hari ini sudah terbalik, orang muda pula berteman orang tua untuk
rawatan chemo. Moga datang kami menceriakan sedikit sebanyak hari kau. Terima
kaseh atas kesudian pengkongsian rasa kau teman.)
Monday, 16 April, 2012, 4:45 AM
No comments:
Post a Comment