Friday, April 20, 2012

Sentimental yang Tercuit


Belakangan ini ada momen dan ketika saya akan terkenang pada insan-insan yang pernah mewarnai masa lepas saya. Mereka ini adalah yang saya istilahkan sebagai “benda-benda lepas” menerusi beberapa entry saya sebelum ini. Saya akui, mereka memainkan peranan penting dan meninggalkan impak yang amat besar dalam pembawakan, pemikiran dan personaliti saya pada hari ini. Begitu terkesan sekali. Syukur saya, walaupun mereka tidak lagi berada dalam lingkungan sekitar saya, sedikit sebanyak, apa yang saya pelajari sepanjang bersama dengan mereka masih relevan untuk saya gunapakai dalam kehidupan sehari-hari.

Paling menjadi keutamaan, kepentingan dalam melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan. Dalam erti kata lain, “do it because you feel like you want to, and not because you need to”. Antara sebab saya menulis adalah kerana saya berasakan ada sesuatu yang boleh saya kongsikan bersama. Dan ramuan terahsia yang saya temukan untuk memastikan sesebuah perceritaan tercapai matlamat dan intipatinya adalah dengan menulis menggunakan rasa hati yang juga turut diadun dengan keikhlasan dalam penyampaian. Inspirasi saya secara personal, 4 keping poskad yang ditulis pada Hari Kekasih di Paris beberapa tahun lepas (ditujukan kepada saya), terasa semangatnya yang masih terus hidup, kerana ramuannya yang begitu tepat dalam penyampaian. Nah, itu bukti menerusi penulisan, rasa dan ingatan seseorang individu tidak akan luput dek peredaran masa dan mamahan ulat kertas.

Pelajaran yang turut saya cuba dan cuba untuk praktikkan dalam kehidupan saya sehari-hari sehinggalah momen dan ketika saya menulis entry ini adalah untuk sentiasa bersangka baik terhadap semua. Dalam bahasa mudah, “don’t judge a book by its cover”, “don’t be judgemental” dan yang seumpama dengannya. Saya akui, bukan suatu perkara yang mudah. Tetapi barang diingat bahawa setiap individu mempunyai hak untuk berlaku begitu dan begini. Dan jika kita mampu untuk menghormati hak ini, pasti akan terlahir suatu sensasi kepuasan yang terbibit dari hati kecil kita. Khatamnya saya sebuah kitab yang bertajuk Punk Rock Di Sebalik Fesyen dan Muzik Bising baru-baru ini, saya begitu tertarik dengan intipati yang cuba disampaikan sehabis baik kepada khalayak umum mengenai persepsi negatif masyarakat terhadap Punk Rock oleh beberapa Punk Rockers tanah air.

Suka untuk saya tuliskan di sini bahawa ingatan ikhlas pada seseorang individu juga mampu untuk mencuit sentimental dan meninggalkan kesan yang begitu mendalam terhadap seseorang individu yang lain. Sempena ulang tahun kelahiran saya tempoh hari, tanpa disangka-sangka seorang insan yang pernah hadir dalam masa lepas saya telah sudi untuk menghubungi saya. Kesudian insan yang boleh dikatakan tidak lagi berada dalam lingkungan sekitar saya ini saya rasakan sebagai suatu penghormatan teragung untuk momen dan ketika yang pernah kami kongsi bersama. Jujur saya katakan, walaupun masa yang diluangkan sekelumit cuma, tetapi ingatan dan pengharapan seorang individu kepada seseorang individu yang lain, lebih-lebih lagi yang tidak ada langsung hubung kait dengan kehidupan kita pada hari-hari mendatang, membuatkan terdetik suatu perasaan untuk lebih menghargai momen dan ketika dalam kehidupan dan menjadi lebih baik bukan pada hari esok, tetapi, detik yang mendatang.

Hidup saya dengan beberapa pegangan dan perspektif yang mampu berubah tanpa mengenal momen dan ketika bergantung kepada pengalaman yang pernah saya lalui. Obsesi saya pada penceritaan. Kerana penceritaan seseorang individu berlainan dengan penceritaan seseorang individu yang lain. Dan dari penceritaan seseorang individu, banyak perkara yang boleh kita gunapakai selain penceritaan yang kita alami sendiri. Tiada salah untuk kadang kala mengenang momen-momen dan ketika-ketika yang meninggalkan kesan dalam cara kita memandang kehidupan. Kerana momen-momen dan ketika-ketika ini juga merupakan sebuah penceritaan. Dan boleh menjadi perkongsian dengan individu asing di sebelah kita ketika di dalam LRT misalannya, atau sesuatu yang boleh dikongsikan bersama teman-teman atau menjadi sebuah ceritera kepada anak cucu cicit kita kelak.

Ada keindahan pada sebuah senyuman

Terima kaseh saya yang tidak terhingga kepada kalian yang menjadi inspirasi dan semangat untuk saya terus menulis tentang sebuah penceritaan yang meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan saya pada masa lepas mahu pun hari-hari mendatang.

Mohd. Hazwan bin Mohd. Ariff

Friday, 20 April, 2012, 10:51 PM 


No comments:

Post a Comment