Monday, March 24, 2014

Celik

Celik. Aku terjaga dari lena yang panjang. Dingin unit penghawa dingin terasa sekali menggigit. Aku alih gebar dan duduk di birai katil. Aku lepaskan pandangan ke luar. Gelap. Legap. Yang terlihat cuma refleksi diriku memandang diri sendiri. Sang purnama tidak mengambang. Bebutir bintang tidak berkerlipan. Sepi dan sendiri aku cuma ditemani bunyi deru unit penghawa dingin. Jiwa aku terasa kosong. Aku buka set lampu meja dan remang cahaya kejingga-jinggaan meronai kelam dinihari. Di luar masih tetap gelita. Sukma aku masih tetap lompong. Angka di telefon pintar pegun pada 5:26 AM. Dikau tanpa silu mengetuk pintu mimpi yang sudah lama tidak kau singgahi. Aku capai paket rokok dan aku nyalakan sebatang. Hangat rokok sedikit mendamaikan. Kepul-kepul rokok mengisi ruang unit apartment. Nikotin yang setia menemani masa-masa yang berlalu tanpa kehadiran dikau. Lama sekali engkau tidak menjengah ruang mimpi dan layar kehidupanku. Dan malam ini dikau singgah sekali lagi. Ruang mimpi yamg kita pernah berjanji untuk bertemu. Cukup hanya dengan ulit senyum tanpa ucap kata yang terluah, membicarakan hati dan rindu. Terus memori-memori yang jauh-jauh aku pendamkan, cuba aku kuburkan dan aku padamkan memenuhi kamar ingatan. Ah, aku dalam ketahuan yang aku tidak sesekali mampu untuk lari dari seribu satu kenangan. Kau akan tetap menghantui diriku walau sejauh mana pun aku memilih untuk terus berlari dan berlari. Tinggalkan aku, Sayang. Lupakan aku, Sayang. Usah dikau hantui diriku lagi, Sayang. Jangan sesekali kau lewati ruang mimpiku lagi, Sayang. Atau aku yang tidak pernah sesaat melupakanmu. Bagai nafas udara yang tidak mungkin terpisah. Sebati. Tanpa yang lagi satu, mati. Atau kerana mahu hati yang menentang dan terus menentang ketentuan dan takdir yang sudah tertulis lama di kaki arasy Tuhan.

Miri, Monday, 24 March, 2014, 06:11 AM

Wednesday, March 12, 2014

Syukur

Kekadang, keputusan dan apa yang kita lakukan bukan untuk diri kita sangat sebenarnya.
Untuk memuaskan cita-cita, impi dan hati yang tidak kesampaian.
Kiranya itu bisa membibitkan rasa bahagia,
Salahkah?

Syukur, Alhamdulillah.

Wednesday, 12 March, 2014, 11:20 AM

Monday, March 10, 2014

Teori I

Jawe berketurunan Jawa. Bukan Minang, Banjar, proto-Malay, Negrito, Kadazan-Dusun, Aborigine, Red Indian mahu pun Maori melainkan Jawa. Disebabkan itu beliau digelar Jawe with an e. E yang dibunyikan e bukan e’ seperti yang diajar di dalam kelas mengeja Tahun Satu di sekolah rendah.

Jawe merupakan satu-satunya manusia yang hidup dan mendiami Bumi sejak bermulanya masa sehinggalah Hari Kiamat. Beliau mempunyai daya imaginasi yang kuat, usia yang panjang, masa terluang yang dihabiskan dengan menyawit kelapa sawit dan perwatakannya tidaklah terlalu hensem. Perlu diingatkan beliau bukanlah Dajjal al-Masikh, Ratu Adil mahu Anti-Christ yang popular di dalam naratif agama-agama samawi seperti Islam, Yahudi mahu pun Nasrani.

Hobi beliau di masa-masa senggang adalah berkhayal dengan bantuan racik halus kanabis dari dapur homemade. Dapur ini sungguh bermutu tinggi dan unik buatannya. Sebuah labu sayung Sarawak yang diimport ke Malaysia Barat di-drill secara D.I.Y. serupa penyediaan dapur bermutu rendah yang dikitar semula dari botol minuman air mineral dengan sesaran 500 ml.

Pada suatu petang yang damai, setelah berjam-jam menyawit tanpa mengenal erti penat dan lelah, Jawe melabuhkan punggung pada batang kelapa sawit yang tumbang dibalun seekor khinzir bersaiz anak gajah tempoh hari. Usai Gudang Garam sebatang, beliau berasakan dunianya terlalu bosan, tanpa teman untuk dibawa berborak dan berjenaka. Hidupnya tidak tepu, terasa mendatar tanpa sebarang dugaan, cabaran dan rintangan. Dan tanpa sebab-munasabab yang mampu dihadam logik akal, beliau obes walaupun beliau tidak perlu makan.

Beliau lantas tanpa teragak-agak medapatkan dapur labu sayung Sarawak dari dalam raga kapcai C70 nya. Okay, ni Wan. Kacak penampilannya, berbudi bahasa, pandai bodek mak-mak, cerah masa depannya dan menjadi pujaan amoi-amoi Subang Jaya dan Mutiara Damansara. Kanabis yang sudah diracik siap-siap di studio aparmentnya disumbat dengan penuh cermat. Tidak pula terlalu padat.

Yang hitam manis rupa mamak ni Thi. Gila Dota, muka nampak macam baru mandi, cakap slang Sabah, gila-gila, pantang kena cabar, suka tegur awek tepi jalan sambil keluar kepala bila dalam kereta. Lighter pada tangan kanan menyalakan kanabis tadi dan dia sedut panjang. Pergh, power. Hembus. Asap yang berbau harum menderu keluar bersatu dengan alam. Tinggi, tinggi dan meninggi.

Ni Zack. Budak Kelantan. Suka makan dan cakap-cakap politik. Pandai, tapi ni yang jenis suka tidur, ponteng kelas, tapi score dalam final exam. Pakai spek, nampak well-educated dan suka rembat bola sampai keluar court futsal. Mata Jawa kuyu dan mula memerah. Terkulai layu dan tertawa kecil lucu pada karekter-karekter yang dijana khayalnya.

Dan begitu lah terciptanya aku, kau, kau dan kau. Imaginasi seorang Jawe berketurunan Jawa, tiada kawan yang menemani sepinya, penyawit kelapa sawit yang berjaya dalam lapangannya, tak berapa nak hensem dan memiliki dapur labu sayung Sarawak yang di-drill D.I.Y. Oh ya, dan hobinya berkhayal mencipta karekter-kerekter untuk mengisi masa dan kebosanannya yang memang macam haram.


Monday, 10 March, 2014

Sunday, March 9, 2014

JB

Weekend minggu lepas saya ke Johor Bahru bersama dengan dua orang member. Menghadiri majlis perkahwinan seorang teman rapat. Seorang didatangkan nun jauh dari negeri Kelantan dan seorang lagi dari pekan Tronoh. Sabtu pagi, kami tergesa-gesa bergerak meninggalkan hiruk-pikuk, catu bekalan air dan jerebu kota raya Kuala Lumpur. Di R&R Seremban, kami konvoi dengan sebuah lagi kereta dari Klang.

Dalam perjalanan, perbualan kami berkisar topik semasa perihal diri dan geng kecil kami. Dicampur adukkan sekali dengan isu politik tanah air sedikit di sana-sini, kami tune kemudiannya ke bab-bab agama, ‘rahsia umum’ ketika premiership Jeneral Suharto oleh seorang mahasiswa Indonesia yang mengaji di sini dan tidak ketinggalan topik paling hangat (bila kita nak kahwin ni bhai?)

Sejujurnya saya teramat suka melihat-lihat negeri orang. Memahami keadaan dan masyarakat setempat. Merasa air tangan dan masakan tempatan walaupun saya teramat cerewet dalam soal makanan. Prinsip saya mudah. Saya laburkan masa dan wang untuk makanan yang dipesan, dan saya berharap investment itu berbaloi-baloi. Makanan yang terhidang itu sedap sehingga menjilat jari-jemari jika boleh. Rahsianya teramat lah mudah. Cuma perlu ikhlas dalam penyediaan makanan. Itu saya berani potong kuku.

Dengan wang BR1M sumbangan pelunas-pelunas cukai yang berjumlah RM300 itu saya berjalan. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada rakyat Malaysia yang sudi membiayai pengembaraan kami yang penuh mendebarkan ke selatan tanah air. Berbekalkan RM300 yang dibank-in, RM100 kami kongsi setiap seorang buat biaya kunyah-kunyah, minyak dan tol. Biaya penginapan dan makanan, jutaan terima kasih kami ucapkan kepada member kami yang sudi payung.

2 hari di Johor Bahru memberikan rejuvenasi kepada jiwa saya untuk mengembara. Kali terakhir saya melihat-lihat negeri orang adalah sekitar September 2012. Kami berenam/bertujuh belas berjalan-jalan di negeri Sabah di Bawah Bayu selama 6 hari. More precisely, cuma berkitar di Kota Kinabalu, kepulauan sekitar, Kundasang, kaki Gunung Kinabalu dan Ranau. Dan beberapa siri road trip ke Penang dari penghujung 2012 sehinggalah ke penghujung 2013.

Saya perhatikan majlis perkahwinan di Johor punya sedikit kelainan. Saya cuma terdaya memandang dari kejauhan bersama teman-teman universiti, berteduh dari terik mentari tengah hari. Slot pengantin lelaki di-pow sebanyak dua kali oleh wakil belah pengatin perempuan sebelum dibenarkan masuk agak menggelikan hati. Lain seperti yang kebiasanya dilakukan di Kuala Lumpur mahu pun Negeri Sembilan. But it was a lot of fun. Saya sukakan adat resam, budaya dan kelainan.

Pada belah melamnya, dengan bantuan seorang anak jati Johor Bahru, kami ketemu sebuah tempat lepak dan makan-makan di Dataran Bandaraya Johor Bahru. Bagi saya, apabila kita ke tempat orang, wajib untuk kita cuba kenal gaya, budaya dan makanan di tempat tersebut. Jangan cari apa yang sudah ada di tempat asal kita. Cuba dan raikan kelainan dan kepelbagaian di tempat orang.

Rojak Tauhu Goreng di Dataran Bandaraya Johor Bahru memang terbaik. Saya bukan peminat tauhu, tetapi Tauhu Goreng yang dijual dari sebuah warung-lori di situ memang terbaik. Saya tidak dapat memberikan lokasi spesifik, tetapi saya amati memang ramai yang beratur untuk membeli dari warung-lori itu. Untuk malam Ahad (hujung minggu negeri Johor jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu), saya kira agak ramai warga JB yang melepak di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Saki-baki malam yang tersisa itu kami habiskan dengan melepak di Dataran sambil memerhatikan gelagat rakyat marhaen selatan tanah air, geng remote control car test power, berborak-borak, bergelak ketawa dan bermain buih air dengan penuh kegirangan. Dan yang paling layan, menghadap seberang Tebrau, menikmati bayu laut yang bertiup dari tanah Singapura sambil menikmati sebatang rokok dan sebotol ais krim soda, petang sebelumnya.


Sunday, 9 March, 2014, 11:12 PM

Thursday, March 6, 2014

Beri

Beri sedikit waktu
Biar cinta datang
Kerna telah terbiasa

Thursday, 6 March, 2014, 3:25 AM