Sunday, September 21, 2014

Hidup Umpama Drama Tivi Tiga

Hidup umpama Drama Tivi Tiga. Dulu aku selalu tertanya2, mana penulis skrip drama dapat idea menulis. Pengalaman sendiri, perkongsian isi hati dari seorang yang asing, realiti mahu pun sekadar imaginari nakal sang penulis. Banyak drama, berpuluh2 episod dan kekadang mencecah ratusan, dah macam telenovela Betty La Fea. Pergh, kreatif seh. Tahun berganti tahun, usia makin bertambah, dan aku mula sedar. Di persimpangan hidup yang turun naik, banyak sosok aku ketemu. Ada yang dengan rela hati berkongsi kisah, cerita. Ada yang di kala sepi menemani malam, di dalam Satria cabuk aku menuju destinasi yang belum pasti, membuka hijab, kisah sisi gelap mahu pun terang. Dan aku jumpa jawapan yang aku cari. Yes, drama Tivi Tiga bukan seratus peratus imaginari, tetapi pentas kehidupan yang real. Sebangang-bangang cerita yang tak mampu dihadam dek akal, kisah cinta ala2 hopeless romantic mahu pun kalimah2 geli-gelaman yang tak mampu dicerna telinga manusia2 berakal sihat. Ianya memang betul2 berlaku dalam kehidupan sehari2. Dan aku tak sedih. Dan aku tak rasa geli dah. Aku terima, terima dan terima. Aku terima kehidupan tak selalunya seperti apa yang kita rancangkan. Aku tahu yang itu. Aku terima pabila kita meningkat dewasa, realitinya memang palat. Yes, aku terima. Aku terima yang hidup tak seindah fairy tale. Dan dengan menulis, kita mampu mereka hidup, meninta impian dan cita2 kita di atas kertas mahu pun di skrin monitor. Kerana itu cerita kita. Lantak apa lah apa benda yang kita nak tulis. And I don't give a damn anymore. Aku meraikan segala cerita dalam versi dan bentuk apa sekali pun. Dan mungkin selama ni, pabila kita mengutuk2 drama Tivi Tiga, mempersoalkan tingkat kewarasan sang penulis, cuba satu nawaitu kita. Kita menafikan yang pa yang dipaparkan di skrin televisyon. Kita pujuk hati kita dan berkata, 'ya, hidup aku tak se-pathetic itu'. Mungkin ya, mungkin tidak. Atau sebenar-benarnya, kita menutup hijab, hati dan naluri kita pada kenyataan sebenar yang sememangnya palat!

Sunday, 21 September, 2014, 7:54 PM

Thursday, June 19, 2014

Tanya Bilang

Aku tanya pada hati, 'Apa rasa kau, kawan?'
Bilang hati sama aku, 'Mana rasa apa2, kawan.'

Aku tanya pada mata, 'Apa lihat kau, kawan?'
Bilang mata sama aku, 'Bidadari kayangan mencemar duli ke muka bumi, kawan.'

Aku tanya pada hidung, 'Apa bau kau, kawan?'
Bilang hidung sama aku, 'Bauan syurga harum menerpa laju reseptor, kawan.'

Aku tanya pada bibir, 'Apa bicara kau, kawan?'
Bilang bibir sama aku, 'Luah bicara yang cantiknya tak pernah tertutur, kawan.'

Aku tanya pada telinga, 'Apa dengar kau, kawan?'
Bilang telinga sama aku, 'Kidung yang menjadi bunyian yang penuh mengasyikkan, kawan.'

Aku tanya pada jemari, 'Apa sentuh kau, kawan?'
Bilang jemari sama aku, 'Mulus lepak kulit yang bisa menghangatkan sukma, kawan.'

Aku tanya pada kaki, 'Apa pijak kau, kawan?'
Bilang kaki sama aku, 'Tidak terjejak pijak pada bumi nyata, mahu terbang bersamanya, kawan.'

Aku tanya pada akal, 'Apa fikir kau kawan?'
Bilang akal sama aku, 'Tanyakan terus pada hati, usah diambil pusing telah ku.'

Aku tanya pada hati (kembali), 'Apa rasa kau, kawan?'
Bilang hati (buat kesekian kali) sama aku, 'Bidadari kayangan itu bukan yang tertinta untuk kau, kawan.'

Peristiwa di medan selera aras dua KLCC.
Setelah tiada khabar berita buat sedetik yang lama.

Thursday, 19 June, 2014, 9:27 PM

Friday, May 23, 2014

Peringat

Ada ketika, aku ulit potret2 lama di dalam cakera keras mahu pun laman sosial.
Bukan mengenang, tidak, tidak.
Cuma melihat2 sisi silam yang tak kan mungkin hilang.
Membawa seukir senyuman di bibir.
Dan buat hapus segala serabut yang mengusut cepu fikiran.
Juga lelah membanting tulang demi sesuap nasi.

Bukan mengenang, cuma bernostalgia.
Buat peringat dan penguat semangat.
Agar maju dan senantiasa terus.
Aku menjadi aku yang sekarang.
Kerana aku, aku dan aku yang sebelum ini.

Indah masa lepas untuk dikenang.
Misteri lagi masa hadapan yang akan ditentang.
Mudah2an terbuka pintu langit.
Untuk aku berlapang dada menelaah rahsia segala rahsia.

Friday, 23 May, 2014, 12:45 AM

Monday, May 5, 2014

Selisih

Selisih
Pada sebuah ketentuan
Yang dicanang Tuhan
Yang sudah lama tertinta di langit syurga
Sebelum tercipta 
Ceritera Adam dan Hawa

Selisih
Di kaki lima
Tanpa sapa
Dan penuh pura2

Yang kita tidak pernah bermadu asmara
Bergurau senda
Bercanda, suka dan duka
Kongsi bersama
Janji mahu menulis ceritera
Tentang kisah kita dan kita

Kau berlalu
Dan aku seru
Pada hatiku yang tidak lagi pilu
Dan tidak merasa
Hembus, ligat
Cumbu asmara
Dan cinta

Apa jiwaku telah mati?

Raut halus, mulus, manis wajahmu
Tidak bisa lagi
Membikin sukmaku bergetar seirama
Dengan hembus nafasmu
Dan deru darahmu yang memalu
Jantungmu dengan semangat cintaku

Monday, 5 May, 2014, 11:35 PM

Friday, April 25, 2014

Mimpi Buruk

"Kau mimpi buruk aku yang paling indah."

Friday, 25April, 2014, 7:49 AM

Tuesday, April 22, 2014

Palat

Haha, macam2 benda palat aku jumpa dalam 3 minggu ni.
Harrraammmm.

Tuesday, 22April, 2014, 8:26 PM

Friday, April 18, 2014

Sharifah

Jujur aku cakap aku memang suka Sharifah.

Friday, 18 April, 2014, 9:35 PM

Tuesday, April 15, 2014

Hatiku Tertinggal di Kuala Terengganu

Sekeping hatiku,
Tertinggal di Kuala Terengganu.

Kuntum ros itu kembang,
Mekar, mengharum dan mewangi,
Tetapi malangnya, 
Kembang, mekar, mengharum dan mewanginya,
Kuntum ros itu bukan untuk aku.

Indah pada mata, pada hati,
Pada zahir dan juga batin,
Tetapi bukan apa yang sudah tertitip di dada langit,
Cuma hanya menjadi puja-pujaan di rusuk bumi,

Umpama mengimpi bidadari yang mengepak sayap,
Melambai-lambai dari kejauhan,
Tetapi kau tidak mampu datang mendekat,
Dan menyambut jemari halusnya.

Monday, 14 April, 2014, 11:57 PM

Monday, March 24, 2014

Celik

Celik. Aku terjaga dari lena yang panjang. Dingin unit penghawa dingin terasa sekali menggigit. Aku alih gebar dan duduk di birai katil. Aku lepaskan pandangan ke luar. Gelap. Legap. Yang terlihat cuma refleksi diriku memandang diri sendiri. Sang purnama tidak mengambang. Bebutir bintang tidak berkerlipan. Sepi dan sendiri aku cuma ditemani bunyi deru unit penghawa dingin. Jiwa aku terasa kosong. Aku buka set lampu meja dan remang cahaya kejingga-jinggaan meronai kelam dinihari. Di luar masih tetap gelita. Sukma aku masih tetap lompong. Angka di telefon pintar pegun pada 5:26 AM. Dikau tanpa silu mengetuk pintu mimpi yang sudah lama tidak kau singgahi. Aku capai paket rokok dan aku nyalakan sebatang. Hangat rokok sedikit mendamaikan. Kepul-kepul rokok mengisi ruang unit apartment. Nikotin yang setia menemani masa-masa yang berlalu tanpa kehadiran dikau. Lama sekali engkau tidak menjengah ruang mimpi dan layar kehidupanku. Dan malam ini dikau singgah sekali lagi. Ruang mimpi yamg kita pernah berjanji untuk bertemu. Cukup hanya dengan ulit senyum tanpa ucap kata yang terluah, membicarakan hati dan rindu. Terus memori-memori yang jauh-jauh aku pendamkan, cuba aku kuburkan dan aku padamkan memenuhi kamar ingatan. Ah, aku dalam ketahuan yang aku tidak sesekali mampu untuk lari dari seribu satu kenangan. Kau akan tetap menghantui diriku walau sejauh mana pun aku memilih untuk terus berlari dan berlari. Tinggalkan aku, Sayang. Lupakan aku, Sayang. Usah dikau hantui diriku lagi, Sayang. Jangan sesekali kau lewati ruang mimpiku lagi, Sayang. Atau aku yang tidak pernah sesaat melupakanmu. Bagai nafas udara yang tidak mungkin terpisah. Sebati. Tanpa yang lagi satu, mati. Atau kerana mahu hati yang menentang dan terus menentang ketentuan dan takdir yang sudah tertulis lama di kaki arasy Tuhan.

Miri, Monday, 24 March, 2014, 06:11 AM

Wednesday, March 12, 2014

Syukur

Kekadang, keputusan dan apa yang kita lakukan bukan untuk diri kita sangat sebenarnya.
Untuk memuaskan cita-cita, impi dan hati yang tidak kesampaian.
Kiranya itu bisa membibitkan rasa bahagia,
Salahkah?

Syukur, Alhamdulillah.

Wednesday, 12 March, 2014, 11:20 AM

Monday, March 10, 2014

Teori I

Jawe berketurunan Jawa. Bukan Minang, Banjar, proto-Malay, Negrito, Kadazan-Dusun, Aborigine, Red Indian mahu pun Maori melainkan Jawa. Disebabkan itu beliau digelar Jawe with an e. E yang dibunyikan e bukan e’ seperti yang diajar di dalam kelas mengeja Tahun Satu di sekolah rendah.

Jawe merupakan satu-satunya manusia yang hidup dan mendiami Bumi sejak bermulanya masa sehinggalah Hari Kiamat. Beliau mempunyai daya imaginasi yang kuat, usia yang panjang, masa terluang yang dihabiskan dengan menyawit kelapa sawit dan perwatakannya tidaklah terlalu hensem. Perlu diingatkan beliau bukanlah Dajjal al-Masikh, Ratu Adil mahu Anti-Christ yang popular di dalam naratif agama-agama samawi seperti Islam, Yahudi mahu pun Nasrani.

Hobi beliau di masa-masa senggang adalah berkhayal dengan bantuan racik halus kanabis dari dapur homemade. Dapur ini sungguh bermutu tinggi dan unik buatannya. Sebuah labu sayung Sarawak yang diimport ke Malaysia Barat di-drill secara D.I.Y. serupa penyediaan dapur bermutu rendah yang dikitar semula dari botol minuman air mineral dengan sesaran 500 ml.

Pada suatu petang yang damai, setelah berjam-jam menyawit tanpa mengenal erti penat dan lelah, Jawe melabuhkan punggung pada batang kelapa sawit yang tumbang dibalun seekor khinzir bersaiz anak gajah tempoh hari. Usai Gudang Garam sebatang, beliau berasakan dunianya terlalu bosan, tanpa teman untuk dibawa berborak dan berjenaka. Hidupnya tidak tepu, terasa mendatar tanpa sebarang dugaan, cabaran dan rintangan. Dan tanpa sebab-munasabab yang mampu dihadam logik akal, beliau obes walaupun beliau tidak perlu makan.

Beliau lantas tanpa teragak-agak medapatkan dapur labu sayung Sarawak dari dalam raga kapcai C70 nya. Okay, ni Wan. Kacak penampilannya, berbudi bahasa, pandai bodek mak-mak, cerah masa depannya dan menjadi pujaan amoi-amoi Subang Jaya dan Mutiara Damansara. Kanabis yang sudah diracik siap-siap di studio aparmentnya disumbat dengan penuh cermat. Tidak pula terlalu padat.

Yang hitam manis rupa mamak ni Thi. Gila Dota, muka nampak macam baru mandi, cakap slang Sabah, gila-gila, pantang kena cabar, suka tegur awek tepi jalan sambil keluar kepala bila dalam kereta. Lighter pada tangan kanan menyalakan kanabis tadi dan dia sedut panjang. Pergh, power. Hembus. Asap yang berbau harum menderu keluar bersatu dengan alam. Tinggi, tinggi dan meninggi.

Ni Zack. Budak Kelantan. Suka makan dan cakap-cakap politik. Pandai, tapi ni yang jenis suka tidur, ponteng kelas, tapi score dalam final exam. Pakai spek, nampak well-educated dan suka rembat bola sampai keluar court futsal. Mata Jawa kuyu dan mula memerah. Terkulai layu dan tertawa kecil lucu pada karekter-karekter yang dijana khayalnya.

Dan begitu lah terciptanya aku, kau, kau dan kau. Imaginasi seorang Jawe berketurunan Jawa, tiada kawan yang menemani sepinya, penyawit kelapa sawit yang berjaya dalam lapangannya, tak berapa nak hensem dan memiliki dapur labu sayung Sarawak yang di-drill D.I.Y. Oh ya, dan hobinya berkhayal mencipta karekter-kerekter untuk mengisi masa dan kebosanannya yang memang macam haram.


Monday, 10 March, 2014

Sunday, March 9, 2014

JB

Weekend minggu lepas saya ke Johor Bahru bersama dengan dua orang member. Menghadiri majlis perkahwinan seorang teman rapat. Seorang didatangkan nun jauh dari negeri Kelantan dan seorang lagi dari pekan Tronoh. Sabtu pagi, kami tergesa-gesa bergerak meninggalkan hiruk-pikuk, catu bekalan air dan jerebu kota raya Kuala Lumpur. Di R&R Seremban, kami konvoi dengan sebuah lagi kereta dari Klang.

Dalam perjalanan, perbualan kami berkisar topik semasa perihal diri dan geng kecil kami. Dicampur adukkan sekali dengan isu politik tanah air sedikit di sana-sini, kami tune kemudiannya ke bab-bab agama, ‘rahsia umum’ ketika premiership Jeneral Suharto oleh seorang mahasiswa Indonesia yang mengaji di sini dan tidak ketinggalan topik paling hangat (bila kita nak kahwin ni bhai?)

Sejujurnya saya teramat suka melihat-lihat negeri orang. Memahami keadaan dan masyarakat setempat. Merasa air tangan dan masakan tempatan walaupun saya teramat cerewet dalam soal makanan. Prinsip saya mudah. Saya laburkan masa dan wang untuk makanan yang dipesan, dan saya berharap investment itu berbaloi-baloi. Makanan yang terhidang itu sedap sehingga menjilat jari-jemari jika boleh. Rahsianya teramat lah mudah. Cuma perlu ikhlas dalam penyediaan makanan. Itu saya berani potong kuku.

Dengan wang BR1M sumbangan pelunas-pelunas cukai yang berjumlah RM300 itu saya berjalan. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada rakyat Malaysia yang sudi membiayai pengembaraan kami yang penuh mendebarkan ke selatan tanah air. Berbekalkan RM300 yang dibank-in, RM100 kami kongsi setiap seorang buat biaya kunyah-kunyah, minyak dan tol. Biaya penginapan dan makanan, jutaan terima kasih kami ucapkan kepada member kami yang sudi payung.

2 hari di Johor Bahru memberikan rejuvenasi kepada jiwa saya untuk mengembara. Kali terakhir saya melihat-lihat negeri orang adalah sekitar September 2012. Kami berenam/bertujuh belas berjalan-jalan di negeri Sabah di Bawah Bayu selama 6 hari. More precisely, cuma berkitar di Kota Kinabalu, kepulauan sekitar, Kundasang, kaki Gunung Kinabalu dan Ranau. Dan beberapa siri road trip ke Penang dari penghujung 2012 sehinggalah ke penghujung 2013.

Saya perhatikan majlis perkahwinan di Johor punya sedikit kelainan. Saya cuma terdaya memandang dari kejauhan bersama teman-teman universiti, berteduh dari terik mentari tengah hari. Slot pengantin lelaki di-pow sebanyak dua kali oleh wakil belah pengatin perempuan sebelum dibenarkan masuk agak menggelikan hati. Lain seperti yang kebiasanya dilakukan di Kuala Lumpur mahu pun Negeri Sembilan. But it was a lot of fun. Saya sukakan adat resam, budaya dan kelainan.

Pada belah melamnya, dengan bantuan seorang anak jati Johor Bahru, kami ketemu sebuah tempat lepak dan makan-makan di Dataran Bandaraya Johor Bahru. Bagi saya, apabila kita ke tempat orang, wajib untuk kita cuba kenal gaya, budaya dan makanan di tempat tersebut. Jangan cari apa yang sudah ada di tempat asal kita. Cuba dan raikan kelainan dan kepelbagaian di tempat orang.

Rojak Tauhu Goreng di Dataran Bandaraya Johor Bahru memang terbaik. Saya bukan peminat tauhu, tetapi Tauhu Goreng yang dijual dari sebuah warung-lori di situ memang terbaik. Saya tidak dapat memberikan lokasi spesifik, tetapi saya amati memang ramai yang beratur untuk membeli dari warung-lori itu. Untuk malam Ahad (hujung minggu negeri Johor jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu), saya kira agak ramai warga JB yang melepak di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Saki-baki malam yang tersisa itu kami habiskan dengan melepak di Dataran sambil memerhatikan gelagat rakyat marhaen selatan tanah air, geng remote control car test power, berborak-borak, bergelak ketawa dan bermain buih air dengan penuh kegirangan. Dan yang paling layan, menghadap seberang Tebrau, menikmati bayu laut yang bertiup dari tanah Singapura sambil menikmati sebatang rokok dan sebotol ais krim soda, petang sebelumnya.


Sunday, 9 March, 2014, 11:12 PM

Thursday, March 6, 2014

Beri

Beri sedikit waktu
Biar cinta datang
Kerna telah terbiasa

Thursday, 6 March, 2014, 3:25 AM

Monday, February 24, 2014

Dia - Sheila Majid

Pergh, kalau dapat awek sorang pandai nyanyi lagu Sheila Majid.
Boleh bikin sawan beb, sawan!

Monday, 24 February, 2014, 10:53 PM

Sunday, February 9, 2014

Memori

Malam ini kasih teringat aku padamu
Seakan kau masih di sisi menemaniku
Ku yakinkan diri agar tiada sepi
Ku lewat kau hadir di dalam mimpiku

Gemersik halus kidung Hetty Koes Endang mengalun asyik Kasih menyeri malam Kuala Lumpur. Pada kanvas langit yang kelam, kerlip gemilau jutaan bintang meneman sepi sirna rembulan penuh. Kepung kepul awan jelas terlihat mengapung bebas di awangan. Halwa bayu malam yang menderu menghamburkan bibit-bibit romantis yang paling seni ke dalam sukma.

Mini Cooper klasik rona biru laut gah menyelusuri perlahan lengang Jalan Tun Razak. Cepu kepala Amir sarat dengan seribu satu perihal. Dua, tiga jam menongkah arus tanpa tuju yang pasti, mengitar tingkat demi tingkat syurga dunia Suria KLCC. Leka dalam khayal, terbuai alpa dalam lalu masa yang berlalu tanpa nanti. Tercari-cari perca memori yang merasuki mimpi.

Cinta pertama mengasyikkan, mengkhayalkan dan alangkah memabukkan. ‘Percintaan pertama itu adiktif bagai nikotion, indah bagai mimpi dan satu ilusi untuk semua manusia anuti’, komentar seorang pengkritik filem perihal Mukhsin garapan mendiang Yasmin Ahmad. Amir kulum senyum sendiri dalam keramaian. Tiap-tiap orang punya cinta pertama yang ingin dikisahkan.

Kinokuniya. Toko buku ini menjadi saksi sebuah lembaran cinta agung pernah tersingkap antara dua peroman. Di celahan rak dan ribuan buku ini menyimpan rahsia di sebalik rahsia antara pencinta dan yang tercinta. Gurau senda, hilai tawa mahu pun ceritera. Dua insan dari dunia yang pastinya berbeda tetapi disatukan dua jiwa pada simpul lembaran benang asmara.

Sunday, 9 February, 2014, 2:40 AM

Thursday, February 6, 2014

Dear Diary

Dear Diary,

Hari ini dua kali aku dipanah cinta si Cupid nakal.

Wednesday, 5 February, 2014, 11:21 PM

Sunday, February 2, 2014

Penang 2014

jalan pintas

the lion sleeps tonight

arsitektur

malam ini kaseh teringat aku padamu

kayuh-bonceng


we had been raised to trust the God and to the kings

akta universiti dan kolej universiti

words of wisdom

arsitektur

the least favorite place

alley cat

alley cat

mat mot

pacu

the kid

alley cat

alley cat

di kaki bayi berposisi terbalik tumbuh subur sepohon pokok mati

ad

gadis!

pasar chowrasta

Sunday, 2 February, 2014, 4:32 PM

Monday, January 6, 2014

Awangan

Moga ketemu bahgia di awangan sana.
Terbang bebaslah dikau si burung kayangan!

Monday, 6 January, 2014, 7:35 PM

Thursday, January 2, 2014

Tak Perlu

Tak perlu jadi yang terbaik untuk sesiapa.
Cukup hanya dengan jadi yang terbaik untuk diri sendiri.

Thursday, 2 January, 2014, 9:23 PM

Biar

Biar dicampak di tengah lautan samudera
Benih kontang bercambah subur menjadi pulau

Biar bermusafir ke bumi jauh yang asing
Akan ku junjung langit 
Dan ku sembah bumi
Seperti tanah asalku

Thursday, 2 Janury, 2014, 3:34 PM

Wednesday, January 1, 2014

Satu Lagi Tahun

Satu lagi tahun
Untuk ditinta segala; 
Rasa, resah dan gelisah
Suka, duka dan hampa
Perihal impi dan cita2

Satu lagi tahun
Untuk dikau;
Bersenandung hikayat semalam
Atau ceritera dari bumi asing yang jauh
Di kala kita menilik biji bintang
Di bawah sorot rembulan
Dan hamparan rerumput empuk

Satu lagi tahun
Untuk aku;
Khayal dan asyik
Dalam arak fantasi
Lari dari pijak realiti
Yang memenatkan
Dan melelahkan

Satu lagi tahun

Wednesday, 1 January, 2014, 10:50 PM