Saturday, April 27, 2013

Speaking

Gadis itu matanya sedikit bundar. Gemilau irisnya gemilang sekali. Bulu matanya agak lebat dan melentik di hujung. Hidungnya mancung seludang. Dua ulas bibirnya nipis di bahagian atas dan sedikit tebal di bahagian bawah. Dan pabila dia tersenyum, lesung pipitnya jelas di sisi kanan pipi, menambah keindahan pada wajah. Dan pabila kata-kata itu terbit menerusi projeksi suara, getarnya mencelarukankan sukma di dalam deru penghawa dingin.

"Kau speaking ni pehal Wan? Kau kat umah cakap nogoghi gak."

Ah, memang member aku ni boleh diharap.

Macam haram, gampang.

Lokasi kejadian: Kaunter box office di Cathay Cineplexes, Cineleisure Damansara.

Saturday, 27 April, 2013, 12:04 AM


Sunday, April 14, 2013

Bilang

Bilang teman;

Katakan dalam satu hari kau ketemu 10 orang puspa,

10 kali jua lah kau akan disentuh jemari cinta.


Bilang aku;

Katakan jiwa aku ini dipanah cinta,

Itu pada ketentuan dan mahu Yang Maha Esa.


Bilangkan padaku;

Apa dosaku mengagumi keindahan si  puspa,

Pabila jiwaku meratib ucap puji-pujian,

Yang sebenar-benarnya pada cintaku Yang Satu?


Sunday, 14 April, 2013, 7:59 PM

Saturday, April 13, 2013

Andai (Pengharapan pada Sebuah Ketentuan)

Andai bisa aku berikan sekalian kebahagian dunia, akan aku usahakan sedaya mampu.

Mak, Selamat Hari Jadi.

Andai aku seorang doktor pakar barah, akan aku endah segala sumpah pada etika profesion. 

Indok Azah, bertahanlah.

(Tulisan ini saya tujukan kepada emak saya, Puan Shamiah binti Kassim sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-51 hari ini dan ucap selamat untuk adik perempuan abah saya, yang saya mesrai dengan panggilan Indok (Mak Cik) Bank ketika saya kecil dahulu, yang sedang kritikal bertarung dengan barah peparu fasa empat di Prince Court Medical Centre.)

Saturday, 13 April, 2013, 7:19 AM

Monday, April 8, 2013

Pada Sebuah Ketentuan


Oh angin
Sampaikan laguku padanya
Yang sedih pilu
Terimalah
Laguku jadi
Teman hidupmu
Untuk selamanya

Gemersik halus alunan Reymee yang menggetarkan meresap perap ke dalam jiwa menerusi corong-corong fon telinga. Projeksi suara dengan perincian teknikal yang sofistikated dan lenggok ad lib yang mengasyikkan berpadu satu dengan ketulusan pada bait-bait lirik lagu Belaian Jiwa. Lantas jiwa menjadi sayu, menjadi lara. Menjiwai bukan hanya pada kesempurnaan sentuhan komposisi muzik, tata susun vokal nan harmonis, tetapi pada penjiwaan romantis; Pot, Reymee, Taj dan Sam. Curah hati yang tidak mungkin dimamah masa dan ketika yang berlalu dan menjadi sesuatu yang abadi. Belaian Jiwa menzahirkan dambaan kasih, rintihan sayang dan raungan cinta pada seorang perawan yang diumpamakan seperti seorang bidadari kurungan syurga.

Platform LRT Putra Masjid Jamek sedikit lengang, luar biasa daripada kebiasaan. Normanya, platform aras bawah tanah ini akan dipenuhi umat kelas pekerja yang tergesa-gesa mengejar masa. Umpama keberadaan kita di dalam koc LRT Putra yang paling belakang, dengan menghalakan pandangan pada tingkap yang melatarkan ruang kosong terowong, dan apabila LRT Putra melaju meninggalkan stesen, kita sekan-akan melalui 'terowong masa' yang berlalu mengendahkan yang alpa. Fikiran mula melayang jauh bersama detik masa dan ketika yang berlalu, pada mitos Penjejak Masa yang menongkah sebuah ketentuan, dilaknat Tuhan kerana mempersendakan ruang masa dan ketika yang sakred.

Aku beratur dengan tertib pada pintu automatis yang memisahkan ruang platform dan ‘terowong masa’. Ruang tertutup itu sedikit gelap dan hanya disimbah  lampu-lampu dari ruang platform dan remang cahaya lampu siap bina pada papan-papan iklan. Aku terlihatkan sebuah figura menerusi pantulan refleksi pada pintu kaca. Di dalam pantulan refleksi itu kelihatan; susuk figura yang kurus, dengan rambut panjang yang kusut mengurai mencecah kolar uniform, muka yang sedikit cengkung dengan garis-garis hitam di bawah kelopak mata, kelihatan lesu dan tidak bermaya. Figura itu pada zahirnya kelihatan semacam terperangkap di antara ruang platform, pintu kaca dan ‘terowong masa’.

Pandangan mengitar ruang platform yang makin penuh diisi umat kelas pekerja. Mata  kemudiannya tertancap dengan penuh kelembutan pada figura seorang bidadari. Ringkas berjubah dengan lilitan selendang tanpa sentuhan mekap yang menyelindungi keindahannya. Aku kenal bidadari itu. Seraya memori-memori lama yang dikebumikan dalam-dalam mula menjengah ruang fikir yang digelumangi kesayuan. Aku halakan pandangan kembali pada pantulan refleksi di dalam pintu kaca yang semacam membalas pandangan, terus sehingga ke dasar jiwa yang paling dalam, yang paling seni. Aku pejamkan mata. Panahan mata itu terlalu menghukum.

Empat tahun berlalu. Merangkak terlalu perlahan. Masa berubah. Kita berubah. Selari dengan masa. Sama ada kita berlari seiring dengan masa. Atau dengan penuh lelah dan keringat, kita cuba mengejar dan mengejar, tetapi malangnya, kita tidak terdaya dan ketinggalan jauh di belakang. Atau kita pegun. Pegun pada titik yang sama dengan lalu masa yang menjauh dan makin menjauh meninggalkan kita. Tanpa toleh. Tanpa belas. Kita ketinggalan. Dalam ketahuan kita tidak akan sesekali mampu mengejar masa. Apatah lagi melangkaui masa. Ini bukan sebuah mitos, sebuah legenda mahu pun sebuah hikayat. Ini sebuah ketentuan. Ketentuan yang tidak mungkin merubah dan berubah, sejak pencipataan Adam yang disingkir dari syurga Tuhan. Ketentuan yang sakti.

Umat kelas pekerja mula berpusu-pusu masuk mengisi ruang koc LRT Putra yang sendat. Aku bersandar pada sisi keluar-masuk pintu automatis melepaskan pandangan ke luar 'keretapi masa'. Ekor mata kejap-kejap mencari kelibat bidadari itu yang berdiri berpaut pada pemaut tangan tidak berapa jauh dari keberadaan aku. 3 stesen ke destinasi masa. Dang Wangi, Kampung Baru dan KLCC. Dalam sela masa 10 minit yang berlalu, imbau masa lepas itu mengawang-awang mengisi cepu kepala yang memikirkan sebuah ketentuan. Pada Tuhan. Pada suratan takdir. Pada sisi kepercayaan yang hilang. Pada lalu masa yang merubah dan berubah. Pada seorang bidadari. Pada seorang aku.

Aku keluar dari koc LRT Putra tanpa menoleh, seakan-akan kali ini aku yang berlalu melangkaui dan meninggalkan masa. Dengan ruang fikir yang akur pada sebuah ketentuan. Pada Tuhan yang acap kali menyentuh jiwa. Yang Maha Mendengar dan Memahami. Pada rintih. Pada doa. Moga-moga ruang masa bidadari itu dan aku berpadu satu pada pada titik yang sama. Pegun. Menjadi sesuatu yang abadi. Sebuah tinggalan puing-puing masa dan ketika yang akan disemat dekat dengan jiwa yang lara. Yang mengindikasi pada dua kemungkinan sebuah ketentuan, pada jalur kebahagian dan kepercayaan, atau pada lembar kekecewaan dan penafian.

Pada sebuah ketentuan, aku  dalam ketahuan, di platform LRT Putra Masjid Jamek, bidadari itu terlihatkan aku. Dan dalam kepastian, dalam matanya dia melihat aku seperti mana pantulan refleksi pada pintu kaca yang memisahkan ruang platform dan ‘terowong masa’. Pada sebuah ketentuan yang kami kini menyelusuri ruang masa yang sama. Pada sebuah ketentuan yang hakikatnya sama sekali berbeza. Pada sebuah ketentuan yang tidak mungkin dan tidak akan, merubah dan berubah.

Monday, 8 April, 2013, 11.00 AM

Saturday, April 6, 2013

Ipoh 2013

Yong Suan, Ipoh

Nasi Ganja

Caramel Custard

Drive thru soya bean & tau fu fah

Saturday, 6 April, 2013, 10:25 AM

Friday, April 5, 2013

Percaya


Di sisi Tuhan, kita setara, kita sama.

Di mata kau, kita berbeza.

Kau mulia, aku hina.



Di sisi Tuhan, kau dan aku. Kita setara, kita sama.

Di mata aku, 

Kau mulia, 

Kau mulia 

Dan kau pun mulia.




Sedalam mana kepercayaan kau kepada firman Tuhan?

Atau kau dalam ketidaktahuan

Yang kau sebenarnya lebih tuhan daripada Tuhan?



Friday, 5 April, 2013, 9:37 AM

Thursday, April 4, 2013

Preference


Ziarah ke Tronoh tempoh hari terlalu singkat dan melelahkan. Khamis malam Jumaat, di kala Muslimin dan Muslimat menyurahkan Yassin, saya dan seorang teman leka bercanda girang diselang seli dengan tidur-tidur ayam dan alunan muzik bertempo perlahan dalam perjalanan dari Sentral Pudu ke Tronoh. Setiba di Tronoh, kami disambut hangat oleh dua orang lagi teman, seorang India dan seorang Melayu berparas Cina/Jepun. Kepingin saya pada Nasi Goreng Ayam Madu dan Milo Suam Gelas Kecil Farouk dan Sithick saya lempiaskan. Yang kemudiannya dibilas dengan batang-batang rokok sambil bahan-membahan mesra sesama teman-teman lama.

Sabtu pagi. Sesi lepak-lepak bersama teman-teman lama berlarutan sehingga ke angka 4. Rencananya, saya akan menumpang seorang teman lama sehingga ke ERL Salak Tinggi untuk kembali ke Kuala Lumpur. Masalahnya, badan saya terlalu capek dan hasut kantuk sudah membelenggu usai pesta hedonisme. Akhirnya saya tewas. Mujur teman yang sudi menumpangkan saya itu menelefon saya seawal jam 7.30 pagi, membunuh mimpi sweet saya dalam pelukan bidadari syurga. Kami singgah sebentar di Ipoh, heavy breakfast dengan Nasi Ganja, Sirap Ais dan Caramel Custard di Yong Suan dan kami tapau sebotol soya dan semangkuk tau fu fah untuk dinikmati bersama dalam perjalanan.

Sepanjang perjalanan, dengan penuh kerah saya menahan kantuk menemani teman saya, ya seorang perempuan, bergebang perihal perkara yang berlaku sejak kali terakhir kami ketemu di KLCC. Keterujaan saya membuak-buak apabila teman saya dengan matanya yang berkilau-kilau mengkhabarkan perihal rencananya mahu menamatkan zaman bujang selewat-lewatnya tahun hadapan. Imbau lampau kami mengulang tayang tahun 2011, ketika malam-malam kami diisi dengan luah rasa yang berkisar perihal cita-cita, harapan dan masa hadapan (baca: sekarang). Dalam keghairahan teman saya bergebang, saya hanyut dalam lamunan mengenangkan saya masih di takuk lama, seperti garis graf eksponensial negatif.

Teman-teman rapat lama mahu pun baharu sedia maklum saya begitu cerewet orangnya. Preference. Such a big deal. Pernah saya lalui satu fasa yang mana saya sanggup  menanti ribuan tahun hanya untuk menemukan yang satu (baca: the one). Jika tidak bernasib baik, siang malam saya masih boleh mengharap pada kasih bidadari syurga di dunia abadi kelak. Mencari-cari kesempurnaan di dalam ketidaksempurnaan. Seolah-olah saya punya list dengan kotak yang bisa ditanda tick pada bahagian kirinya. Metafora yang melampau mungkin. Tetapi saya akur pada kejadian saya sebagai seorang kerdil yang gemar mengimpi yang indah-indah. Seakan-akan saya mendambakan separuh lagi bahagian diri saya yang paling sempurna di mata saya atau pun salinan seratus peratus seorang saya tetapi dalam versi seorang perempuan.

Teman saya seorang talented entertainer (baca: pengibur genius). Dengan petikan temali gitar pada key tertentu, teman saya mampu melaraskan projeksi suaranya pada key yang sama. Tanpa didikan formal, dendangan lagu-lagu Melayu mahu pun diction (baca: sebutan) Inggerisnya begitu molek. Showmanship yang memukau bersama teman-teman kugirannya menjentik rindu pada saat-saat gemilangnya. Perubahan yang terzahir pada diri teman saya adalah pada pengisian ilmu bertunjangkan agama dan keTuhanan. Saya sedikit tersentuh. Kerana masih punya insan yang boleh duduk bersama saya, bergebang perihal yang pelbagai tanpa jeling mata yang menghukum. Saya betul-betul hargai.

Preference. Bilang teman saya, kejadian insan saling melengkapi. Hujahnya pada seorang perempuan yang diciptakan dari tulang rusuk kiri seorang lelaki dan hubung kaitnya dengan posisi seorang perempuan di kiri seorang lelaki di ranjang. Apa yang tidak ada pada diri kita diseimbangkan dengan apa yang ada pada diri yang seorang lagi. Menjadi satu. Kedengaran romantis, bukan? Saya setuju. Teman saya analogikan jika kita punya 10 preference pada sehelai kertas yang berkeronyok, yang punya list dengan kotak yang bisa ditanda tick pada bahagian kirinya, 3 preference itu kemungkinan ada pada diri kita dan selebihnya  (dengan bilangan tujuh) ada pada yang seorang lagi. Teori saling melengkapi itu menjadi valid.

Semua ini tidak penting bagi saya, ujar saya pada teman saya. Mungkin ceritera yang dikongsi antara kami dalam pertemuan singkat kami selama ini membuatkan teman saya mampu membaca saya seperti sebuah buku, dari halaman hadapan ke helai penghabisan. Sambung teman saya lagi, mencari seorang yang boleh menerima kita seadanya, baik mahu pun buruk, bukan sesuatu yang mudah, perjalanan yang begitu panjang. Saya tersangat bersetuju. Saya pernah terbaca, jika seseorang mahu merubah diri kita, sisi yang mana pada diri kita yang membuatkan seseorang itu terjatuh hati pada diri kita ketika awalnya? Perkara ini begitu subjektif dan mungkin, hanya hati imaginari yang mampu menterjemah.

Apa-apa pun, saya tumpang ‘yay’ atas perkhabaran teman saya itu.

Preference. Preference.

Thursday, 4 April, 2013, 11:01 AM

Wednesday, April 3, 2013

Redha


Kekadang, ada orang bergebang perihal agama macam baru kenal agama semalam.

Kau redha je lah.

Wednesday, 3 April, 2013, 4:08 PM

Rahsia Nenas

"Nampak penat je muka."

"Tu lah bang. Ni nak turun amek angin kejap."

"Rokok?"

"Aa."

"Kalau nak hilangkan hitam paru tu, makan nenas. Amek sekali seminggu."


"Oh. Terima kasih bang."

Gila random brader dalam lif tadi.

Wednesday, 3 April, 2013, 4:04 PM