Tuesday, May 29, 2012

Wanita Mengandung Berbaju Polka Dot Merah Jambu


Perut makin sarat. Fetus. Bukan busung. Tidak diketahui jantina, sama ada lelaki atau pun perempuan. Capaian teknologi membataskan. Tetapi kata orang tua-tua, kedudukan kandungan mampu membezakan. Ah, apa yang nak dipusingkan sangat. Ini bukan zaman jahiliyyah masyarakat Semenanjung Tanah Arab. Tiap-tiap anak Adam yang lahir ke muka bumi membawa rezeki masing-masing kepada seisi alam. Jangan dicaci pasangan berzuriat ramai.

Kerja belum tetap lagi. Walaupun kakitangan kerajaan. Mahu makan tiga tahun juga untuk berstatus tetap. Gaji seorang jurutrengkas berapalah sangat. RM500. Tahun 1989. Sewa rumah RM150. Tambah barang-barang dapur mahu juga cecah RM150. Sudah RM300. Baki RM200 lagi harus dibelanja dengan cermat. Lagi-lagi mahu menyambut orang baru. Suami yang masih melanjutkan pelajaran dalam ‘bookkeeping’ di Institut Teknologi MARA, Jalan Othman berhenti kerja sementara. Untuk lebih fokus. Jangan fikir yang bukan-bukan.

Hari ini baju wanita mengandung berpolka dot merah jambu dikenakan. Tampak comel. Tetapi beliau memang seorang yang anggun. Itu tak dinafikan. Menjadi rebutan ramai jejaka dari kampung membawa ke bandar. Penangan seorang gadis kampung. Bertuah suami beliau. Pandangan pertama bertaut di keraian kampung lama dahulu. Apa lagi, tanpa berlengah, rombongan merisik dihantar. Bunga di taman belum dipetik orang. Molek. Sebab jatuh haram merisik tunangan orang.

Sebelah pagi, pasangan suami isteri menyewa sebuah teksi. Senang. Si isteri jurutrengkas di Angkasapuri. Si suami pelajar sepenuh masa di Institut Teknologi MARA, Jalan Othman. Berdikit-dikit pasangan suami isteri. Belum lagi mampu memiliki transportasi sendiri. Kan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit? Tidak mengapa, adat pasangan baru berumah tangga. Biar dikongsi bersama derita. Itu tujuan diciptakan berpasangan, untuk berkongsi rasa hati lalu berkurang beban yang terpikul di pundak.

Bas mini merah jambu dari Lebuh Ampang menuju ke Taman Tasik. Waktu puncak. Berpusu-pusu orang. Semua mahu segera pulang. Ada yang perlu segera pulang memasak untuk seisi rumah. Yang mahu meneman isteri yang sarat mengandung di rumah. Atau pun yang membawa sepaket coklat Cadbury untuk anak-anak. Cergas yang bersebab. Rata-rata golongan kelas pekerja yang mahu segera tiba ke rumah dengan selamat bertemu insan tersayang.

Wanita mengandung berbaju polka dot merah jambu malangnya tidak mendapat tempat duduk. Terdetik di benak yang paling dalam, alangkah baiknya jika ada yang sudi bangun lalu menawarkan sedikit keselesaan. Tidak tertanggung rasanya berdiri, berhimpit, berpanas, meredah kesibukan kota dari Lebuh Ampang ke Taman Tasik. Terbit jelujuran peluh dingin di dahi luas wanita mengandung berbaju polka dot merah jambu. Kebas kedua-dua belah kaki. Kurang sebulan lagi dijangka lahir fetus yang dikandung.

Tidak semena-mena loceng pada dinding bas mini merah jambu ditekan. Bersusah payah wanita mengandung berbaju polka dot merah jambu meloloskan diri dari perut bas mini merah jambu. Hah, nafas seribu satu kelegaan. Stesen bas kecil beratap plastik berwarna kuning. Perlahan-lahan beliau melabuhkan punggung pada tempat duduk besi berjalur dua. Kaki dilunjurkan. Perut diusap perlahan. Duduk beliau berehat sambil memerhati ragam warga kota yang senantiasa sibuk tidak berpenghujung.

Dari kejauhan terlihat sebuah bas mini merah jambu. Tangan kiri diisyarat meminta bas berhenti. Perjalanan pulang perlu diteruskan. Destinasi yang dituju bukanlah stesen bas kecil beratap plastik berwarna kuning. Persinggahan seketika cuma buat melepas penat dan lelah menggendong ke hulu ke hilir seorang bayi yang bakal megisi kekosongan pasangan suami isteri.

Tuesday, 29 May, 2012, 2:55 AM

Monday, May 28, 2012

We Need No Money


We need no money to be happy.
- a dear friend of mine years ago


Monday, 28 May, 2012, 1:16 AM

Thursday, May 24, 2012

Muhibbah


Jujur saya katakan saya bukanlah peminat tegar filem Melayu. Saya akui, kekadang ada juga saya meluangkan masa menonton filem humor garapan pengkarya tanah air. Sebab munasabah utama adalah kerana saya berasakan bahan ringan yang disadur dengan jenaka perlu, tetapi dalam kuantiti yang berpatutan dan kesukaan saya adalah humor yang tidak terlalu memperbodohkan penonton, lebih-lebih lagi penonton cilik.

Obsesi saya pada karya Arwah Yasmin Ahmad bermula menerusi filem Gubra dan koleksi video komersial yang beliau hasilkan untuk PETRONAS. Mungkin bagi sesetengah individu, karya Arwah agak berat dan tema utama yang beliau ketengahkan iaitu muhibbah dalam kalangan Kebanyakan tidak merefleksikan realiti sebenar pada hari ini.

Tetapi suka untuk saya katakan di sini bahawa muhibbah yang diketengahkan Arwah bukan hanya sekadar fantasi tetapi wujud dalam kata sebenar. Kalau pun tidak begitu jelas di mata generasi hari ini, palitan racial polarization oleh partisan politik yang berorientasikan bangsa dan agama, muhibbah ini bukanlah sesuatu yang asing pada era 50-an membawa ke 70-an.

Pandangan personal ini saya sandarkan pada tulisan Adibah Amin menerusi 3 kompilasi kolum beliau di New Straits Times lewat 70-an; As I was Passing, As I was Passing II dan Glimpses. Kepada generasi seangkatan dengan saya, kompilasi oleh MPH Publication ini bagi saya merupakan kitab wajib milik dalam melihat-lihat era yang dilalui oleh rata-rata ibu dan ayah kita.




Muhibbah itu sebenarnya ada. Pada pandangan personal saya, pengkarya genius seperti Arwah Yasmin Ahmad dan Adibah Amin bukanlah berkarya dengan bertemakan muhibbah kerana dakyah politikus untuk mengaburi Kebanyakan. Tetapi untuk meraikan muhibbah sebenar yang senantiasa bergaul mesra dalam kehidupan sehari-hari mereka.

Thursday, 24 May, 2012, 12:04 PM

Monday, May 21, 2012

Adore


For the one that I adore
I present to you
The Wondermilk Cupcakes
featuring
Oh My Choc!
Very Very Very Chocolate
Chocolate Strawberry
and
Rocky Road

Monday, 21 May, 2012, 1:39 AM

Saturday, May 19, 2012

Burger Bakar Wangsa Maju


Sebelum gerak, gua tala frekuensi radio mobil Abah gua pada 89.9. BFM. Layan beb. Lu kasik tahu sama gua stesen radio mana ada beran putar All I Need is Love dengan Baby I Love You by The Beatles dalam selang waktu kurang tiga jam? Tu belum tempoh hari lagi yang gua layan Stairway to Heaven by Led Zeppelin dengan Sweet Child O’ Mine by Guns N’ Roses. Kena Kashmir dengan November Rain, mahu meroyan gua, haha. Kalau lu jenis kutu malam macam gua, lu try tala jam 4 pagi, seleksi pilihan jazz torbayek dari negara Chairil Anwar. Padu.

Nawaitu gua sebenarnya hendak menziarah Puan (paternal grandmother) gua, Hajah Kamariah di kediaman Achek ‘Ain gua di Taman Setiawangsa. Usai gua berbasa-basi dengan adik Abah gua, cergas gua menuju ke destinasi seterusnya, Wangsa Maju. Seorang member gua yang baru berhijrah ke Persiaran Gurney menyeru gua untuk menemankan beliau serta bonda beliau menikmati penangan Burger Bakar Wangsa Maju yang belakangan ni menjadi satu kultus di telivisyon (sebut macam orang Filipina sebut), media cetak mahu pun laman sosial.

Gua dengar cakap-cakap orang kalau nak layan Burger Bakar Wangsa Maju ni mahu cecah sejam jugak kalau nak queue. Pergh. Ini harus gua coba. Obsesi teragung gua memang burger torbayek stall tepi jalan. Lokasi strategik terletak berdekatan dengan Restoran BRJ. Tapi ni bukan BRJ yang dekat Alam Damai tu, lu jangan silap, ni yang dekat dengan Stesen Putra Wangsa Maju. Betul-betul berhadapan dengan Cyber Café Tbun, gua tahu, memang situ banyak cyber café, Orange lagi, tapi ni confirm depan Tbun.

Cergas gua queue di belakang sorang mamat Tionghua. Sambil gua menunggu, sorang brader menghulurkan cebisan kertas bernombor 224. Siap nombor beb, dah lah 224. Setiba ke kaunter order dan pembayaran, gua perhati senarai menu. Jenis burger, ada normal, cheese, bacon dan ada banyak lagi lah, haha. Gua lupa. Lepas tu, pilih sama ada lu mahu single, double, triple, sampai lah sepuluh patty, lu kalau ada beran kasik try. Lepas tu ikut selera lu nak pilih beef atau chicken. Dan sama ada lu mahu ala carte’ atau set (dengan seleksi air berperisa soda dan dua batang sosej dicaj RM2.50).

Gua kalau first time try, kesukaan gua cukup sekadar layan hidangan basic. Jadi gua laju-laju pilih normal, single, beef, set. Kiranya, burger saja dah RM7.50 campur Sarsi Soda dan dua batang sosej RM2.50, cecah RM10 jugak lah. Okay lah, takde lah mahal macam Carl’s Jr., haha. Settle ambil air, gua dengan member gua tuju ke meja yang dicop terlebih dahulu oleh bonda dan adik-adik beliau. Brader kaunter cakap, dalam 2 minit sampai lah hidangan, takde lah cecah sejam pun. Dalam sepuluh minit beratur order, amik air, tunggu dua minit, Burger Bakar Wangsa Maju dah sampai.

Pergh, patty dia gua cakap lu, bapak besar. The best part, patty homemade. Gua memang ada obsesi lebih sikit kat homemade patty ni, macam Burger Cina (Jackson’s Burger) gua. Di sisi pinggan polisterin, terhidang sekali dua batang sosej dengan sos cili. Gua tanpa segan silu, Bismillah laju-laju, dengan dua telapak tangan gua yang Wallahhu’alam bersih ke tidak, cergas gua menikmati kunyahan pertama Burger Bakar Wangsa Maju gua. Pergh, sensasi dia bhai, sensasi dia, pergh je lah yang gua mampu.

Secara personal, beef yang dibakar gua rasa memang tiada cacat cela. Walaupun ada ketika, kunyahan gua terganggu dengan tekstur beef yang agak liat. Mungkin faktor pemilihan gua jugak lah kan, beef. Tetapi roti dia satu hal. Sebab time gua makan, roti tu hancur. Ujar bonda member gua, mungkin sebab roti tu terlalu kering. Gua fikir, ada logik jugak. Sebab patty dibakar, bila udara panas terdedah pada suhu ambians yang lebih sejuk, maka terhasil reaksi kimia yang membawa kegagalan pada tekstur roti. Tu teori memandai gua je lah, haha. Tapi apa-apa pun, two thumbs up!

Buat pedoman takut-takut fulus tak cukup

Gua cerita pun tak guna, lu orang kasik try sepam. Kultus ni.

Saturday, 19 May, 2012, 12:47 AM

Friday, May 18, 2012

Jodoh


Jam 5 petang. Awal lagi. Tapi perut sudah mula berkeroncong keras. Petanda perlu diisi. Makan tidak tepat pada waktu atau tidak makan ketika perut minta diisi jatuh hukum zalim. Kerana tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam kes ini, makanan yang disuap ke rongga mulut lalu terus plup jatuh ke dasar perut yang paling dalam. Pinta sang perut perlu dipenuhi.

Kunci kereta ber-key chain kain berilustrasi gadis berpayudara besar digapai. Jejari runcing cergas menekan-nekan butang pada telefon bimbit sambil menuju ke arah kereta. Pesanan dihantar. Enjin dihidupkan dan dibiar panas selama 5 minit. Pedal klac ditekan, gear neutral ditukar ke gear satu. Pedal klac dilepas perlahan diimbang pedal minyak yang ditekan perlahan memacu kereta laju-laju ke hadapan.

Sebelum terus ke destinasi dituju, kereta diberhentikan di bawah pohon besar berhadapan sebuah rumah. Panggilan yang terlepas. Cukup sebagai pemberitahuan ketibaan kehormat di hadapan rumah menjemput. Keluar seorang gadis tersenyum sambil tangan kanan dilambai mesra. Tersenyum membalas si pemandu kereta berpalit cat hitam solid. Pintu kereta bahagian penumpang dibuka, menerobos masuk si gadis ke dalam kereta berpintu dua.

Nasi Kerabu. Penangan hidangan dari negeri Cik Siti Wan Kembang yang lain macam. Sebuah restoran Patani 2 minit menekan pedal minyak pada kelajuan 100 kilometer sejam dituju. Kereta diberhentikan betul-betul berhadapan restoran. Pintu dibuka dan ditutup. Cergas si pemandu dan si gadis menuju ke arah stall kecil menjual Nasi Kerabu di sisi kanan restoran. Tersenyum besar mak cik penjual menyambut kedatangan.

Mak cik, Nasi Kerabu tak nak sayur makan satu ye mak cik. Lada nak lebih sikit.
Adik, mak cik nak tanya sikit boleh? Dalam telor Kelantan yang agak pekat.
Eh, bolek mak cik, apa tak boleh pulak.
Adik dua orang ni adik-beradik ke? ‘Adek duo oghe ni adek-bghadik ko (o halus)?’
Eh, tak lah mak cik. Kawan je. Kenapa mak cik cakap macam tu?
‘Muko adek berduo ighah. Oghe dulu-dulu cakak (k halus), kalu muko ighah, panjang jodoh.’ Muka adik berdua iras. Orang dulu-dulu cakap, kalau muka iras, panjang jodoh.

Tersenyum kerang busuk si pemandu. Tersipu segan si gadis di sebelah. Si pemandu dengan hati kembang kuncung kembang kuncup pantas mengambil Nasi Kerabu Tak Nak Sayur, Lada Nak Lebih Sikit dari mak cik penjual dengan ucapan Terima Kaseh sebiji macam David Arumugam dari Kucing-kucing Jalanan. Minta-minta masin mulut mak cik penjual Nasi Kerabu, amin!

Thursday, 17 May, 2012, 8:24 PM

Thursday, May 17, 2012

Station 21 Jalan Telawi

Kalau daun penyeri tu tak habis, memang macam ni lah hidangan Black Pepper Steak Station 21

Semalam malam gua ke Jalan Telawi, teman adik kecik gua. Apish nama beliau. Timangan manja yang gua beri, Juj, haha. Ada kesah di sebalik. Tapi itu lain kali. Tuju kami ke Jalan Telawi disebabkan kempunan beliau pada western (cuisine). Pesan Abah, tak elok kempunan. Jadi, sempena ada ruang dan kesempatan, gua dengan bermurah hatinya bersetuju.

Food court Bangsar. Betul-betul bersebelahan dengan Masjid Bangsar dan Bangsar Village. Usah kalut, confirm jumpa punya. Memang banyak lot-lot kecil kat food court ni. Tapi lot yang kami tuju adalah the best lot ever, Station 21 yang bersebelahan dengan lot air, Banana. Kalau susah sangat nak cari, kiblatkan Bangsar Village, dan tuju ke arah papan iklan Celebrity Fitness yang terpampang besar-besar.

Cinta kunyahan pertama kami pada western (cuisine) Station 21 bermula lama dulu. Ketika itu, Abah masih lagi berkerja di Jalan Telawi. Jadi, beliau yang bernama Ariff memang arif ya amat dengan port makan sekitar. Salah satunya, Station 21 yang berkonsepkan makanan barat. Dulu, food court asal tak berapa nak sedap mata memandang sebenarnya, jenis indoor food court segi petak empat sama ber-tile-kan tile kecil empat petak sama juga.

Dan dulu, kalau layan sini, akan ada sorang brader tempang datang meja ambil order makan minum. Brader tu memang sampai sekarang ada lagi ambil order makan minum, tapi kelibat beliau gagal gua jejak semalam malam. Cuti bersalin agaknya. Sebelum rage DBKL dulu juga, ada hamparan warung makan murah dari penjuru sini ke penjuru sana antara Bangsar Village dengan food court baharu sekarang.

Berbalik kepada Station 21, dulu rata-rata harga makanan sekitar RM8 membawa ke RM9, tapi sekarang dah naik sikit, RM13 satu hidangan. Macam-macam ada, fave gua dan Mak gua dan Abah gua, Black Pepper Steak. Adik kecik gua tetap setia dengan Chicken Chop beliau. Kalau perasan, yang ambil order, buat air, masak, serve semua golongan brader. Gua tak pernah tanya, tapi firasat gua kuat menyatakan mereka ni dulu-dulu chef atau pun assistant chef hotel, restoran ternama.

Gua suka ambians Station 21. Jujur. Gua dapat lihat Kebanyakan di tengah pusat kapitalis masih mampu menikmati hidangan makanan barat dengan harga yang agak berpatutan dan taste yang tak pernah-pernah berubah. Dengan brader-brader gym yang selalu lepak di satu penjuru open air. Abang bertubuh besar buta mata zahiriyah tapi bukan mata batiniyah yang selalu dipedajal oleh gua dan sorang member gua mengaji di Kanada, tahan nafas dalam-dalam time beliau lalu meminta sedekah.

Tetapi paling penting bagi gua, hidangan yang pasti dan harus sedap. Gua kat port ni dah kena banyak kali dah, sampai dah lali dah lu tahu. ‘Dik, ni kalau steak kena tunggu sampai sejam jugak. Karang dalam sejam lagi, adik datang balik.’ Tapi apa ada hal, nak layan Station 21 punya pasal, puluh-puluh kali jugak lah gua dengan member gua tercongok depan Maybank bersebelah McDonald’s sambil menikmati panorama malam hutan konkrit Kuala Lumpur nak genapkan sejam.

Padu tak padu gua cakap lu?


Thursday, 17 May, 2012, 1:40 PM

Tuesday, May 15, 2012

Chinta Agung adalah Chinta yang Gagal

Kitab wajib silibus pendidikan tertiary Malaysia

Chinta Agung adalah Chinta yang Gagal
- Hishamuddin Rais


Kuala Lumpur, Tuesday, 15 May, 2012, 11:20 PM

Wednesday, May 9, 2012

Nikotina & Kafeina


Sejak dua menjak ni, cuba-cuba gua kurangkan ambilan Nikotina & Kafeina. Payah ya amat nak lelapkan mata. Teori gua bikin sendiri, ambilan Nikotina & Kafeina mampu merangsang otak pada kadar optimum. Gua harus, karena perjuangan gua yang belum selesai.

Ahad petang, Kuala Lumpur bakal gua gegarkan. Daerah paling mengasyikkan. Banyak material boleh gua perhati dan cerna. Boleh gua tulis. Seorang awek pernah berkata, menulis mampu kurangkan serabut di kepala. Cakap-cakap akak kawan lama gua sebenarnya.

Mood belakangan ni, seleksi pilihan hati dari P. Ramlee, Widuri oleh Broery Marantika dan instrumental dari the Top 100 Masterpieces of Classical Music 1685-1928. Lama benar rasanya gua tak pekena The S.I.G.I.T. Ini sudah bikin qalbu gua kacau, haha. Ah, video-video lama Butterfingers ada jugak gua layan sekali dua, amek feel.

Ringan kaki, IRC kekadang gua tuju. Dedulu berteman, catalyst di sebelah, tak nak kalah beb. Malas anjing mana pun, maintain rajin. Bapak hipokrit, gua tahu, haha. Gua kesah apa. Penting sebenarnya lu tahu. Bebosan sikit, ada teman bicara buat reduce tensi. Ah, ni kesah dulu. Selingan.

Banyak kitab terbengkalai belum sempat gua usaikan. Kacau. Dalam 3, 4 hari lagi, gua nak khatamkan kesemua. Mana-mana yang gua nak ulang cerna, harus gua settle-kan dalam masa seminggu. Itu janji.

Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu

Seorang member ke negara kangaroo beronggeng. Insya-Allah tuan hamba, bakal hamba menyusul. Sekembali tuan hamba ke Tanah Melayu, akan hamba tuntut ceritera bawaan dari negeri nun jauh merentas laut lepas. Tuan hamba jangan kedek pulak berkongsi ceritera dengan hamba ya, haha.

Gua excited sebenarnya. Nak kutip kesah. Lelagi dari member yang nun jauh beronggeng di negara kangaroo. Ada kesempatan, gua kesahkan. Nikotina & Kafeina, kalian nanti. Gua pasti kembali menikmati. Karena kalian yang meresap laju ke dalam sesalur darah merah gua.

Lalu kalian renjatkan cas-cas, kencang mengepam jantung gua.

Dub dab, dub dab.

Wednesday, 9 May, 2012, 11:16 PM

Saturday, May 5, 2012

ikhlast - old automatic garbage

The very first time that I saw you
It was during last semester study leave
The futsal tournament
Well
That was the second one
Owh
We’re taking the same coQ course – third
And then
Right before my tutorial class
I saw you in the very same class
That I thought I was late for
I was asking you
‘Prob Stat?’
‘Prob Stat?’
But I figured out
You had no idea what I was saying
Then I went with ‘It’s ok’
So HYE
I’m a kismet believer. \m/

August 14, 2010

Friday, May 4, 2012

Di Kala Patah Hati


Di kala patah hati. Syawal, genap sebulan lebih 2 Ramdhan 2009M. Pertemuan tak terduga dengan Kak Maya. Bicara tentang rusuh hati dan kesah lepas dari tengah malam membawa ke pagi. Turun kami menuju ke tingkat bawah duplex apartment beliau. Lampu sebuah bilik kecil dihidupkan. Sebuah kotak besar beliau selongkar beberapa ketika. Jumpa. Kompilasi ceritera chinta beliau yang diabadikan dalam bentuk buku. Diberikan ikhlas sebagai tanda terima kaseh yang abadi atas perkongsian rasa hati yang penuh duka dan lara. Muka pertama beliau nurkilkan:

Wan,

If all the guys and the girls in this world are just the same, life won’t be so interesting.

Love,
Kak Maya

Terima kaseh yang abadi Kak Maya. Atas perkongsian rasa hati dan ceritera chinta yang agung. Agung, kerana dipisahkan suratan takdir yang tidak dapat dielakkan.

Friday, 4 May, 2012, 2:56 AM

Tuesday, May 1, 2012

Wajah yang Menenangkan Itu


Dari kejauhan aku memerhatikan kau. Pada kau ada suatu keindahan yang tidak dapat aku tafsirkan. Apatah lagi untuk aku ungkapkan. Lalu keindahan itu perlahan-lahan menjadi suatu keinginan yang tidak terbendung. Keinginan, untuk memahami apa keindahan yang ada pada diri kau.

Pada wajah kau, aku berasakan suatu ketenangan. Bukan pada aku sahaja, pasti, yang lain juga akan turut menyetujui. Ah, wajah kau sungguh menenangkan. Mahu aku menyelami rasa kau. Sudi kau kongsikan rahasia tersembunyi di sebalik ketenangan itu? Sudikah?

Seorang perempuan itu dinikahi kerana Perkara yang Empat. Kurniaan Illahi hanya kepada segelintir perempuan; bersifat menenangkan kepada seorang lelaki.

Terima kasih kepada kau yang menenangkan. Kerana kau telah menginjakkan sebuah pencarian panjang dalam menggapai suatu ketenangan hakiki.

Monday, 30 April, 2012, 3:21 PM