Thursday, February 28, 2013

Kasih


Are you okay? You’re not getting any better pun.
Sikit je ni. Esok lusa baik lah.
I don’t think ubat from the clinic tu okay.
Eh, maksud you?
I’ll drive you to Pandai Medical je lah.
Eh, takpe-takpe. Lambat dah ni. Dah sepuluh lebih dah.
It’s okay. Jom?

Thursday, 28 February, 2013, 3:04 PM

Tuesday, February 26, 2013

Aliyah (Bahagian Pertama)


Jalan Tun Razak lengang. Jerit bingit ekzos vespa menghapus hening senja. Menjadi bunyian yang paling mengasyikkan. Menerbitkan sejenis sensasi. Nun jauh di ufuk barat, Sang Matari berlabuh perlahan. Jemari kejinggaan yang tersisa terpalit pada kanvas langit yang berbalam-balam keunguan. Dalam tiupan bayu senja, pandangan mengitar mencari kelibat nakal Sang Rembulan. Yang terlihat, hanyalah kawanan unggas berterbangan bebas menuju horizon.

Di balik lensa keperangan dibingkai rona hitam, segala-galanya kelihatan begitu nostalgik. Menjentik sentimen sukma pada subjek momen. Picisan momen ini akan menjadi memori. Kepingan memori ini kemudiannya akan disaring oleh neuron otak. Yang indah akan diulang tayang berulang kali sehingga ke hembusan nafas yang terakhir. Manakala memori yang semahu-mahunya dilupakan akan tercampak jauh nun ke lembah minda bawah sedar.

Otak. Kurniaan atau mungkin juga sumpahan kudus Tuhan pada homo sapien yang paling melucukan. Acap kali kita kecundang tanpa upaya untuk mengutip kembali kepingan memori. Malang sekali, ada ketika memori yang ingin kita kebumikan tanpa nisan melempiaskan hampa dan kecewa. Terzahir dalam jelmaan igauan di dalam alam mimpi dan realiti. Umpama penyeksaan keji pada jiwa di dalam jurang neraka yang paling dalam membawa ke infiniti.

Picisan memori yang teragung bisa sahaja belot pada sisi yang paling gelap. Tanpa kudrat, kita meratapi dan meratapi momen yang berlalu. Yang kini dibingkai di dalam potret memori. Menjadi sebuah memoir yang tidak mungkin lagi dilewati. Dalam pelukan hiba, kita kurung memoir di dalam sangkar emas. Semacam suatu bukti kekecewaan pernah meremuk redam hati. Dalam rangkak masa, hiris luka melarat menjadi parasit barah yang perlahan membunuh.

Dari Jalan Tun Razak, vespa ditunggang menyusur Persiaran Hampshire. Dengung ekzos vespa bergema mengisi ruangan bawah tanah B1. Di belakang sebuah Mini Cooper S dengan kemasan rona indigo, enjin vespa rona putih dimatikan. Topi keledar Evo diletak cermat di atas bumbung Mini dengan catan bendera Jack Union. Kaca mata hitam disemat kemas di dalam poket kemeja ungu Fred Perry. Jaket kulit hitam yang membaluti figura ditanggalkan.

Enjin Mini dihidupkan. Pemain cakera padat Bose memainkan Chinta oleh kugiran Monoloque. Topi keledar dan jaket kulit dilemparkan di bahagian penumpang belakang. Kemasan interior kokpit Mini dengan padanan rona hitam dan merah menghalwakan haruman kulit. Ambians romantis. Jemari ligat berdansa di atas skrin telefon pintar menyusun kata tanpa bicara. Jiwanya yang kembang dicumbu hangat si dewi cinta mencoretkan senyuman.

Mini dipandu perlahan mendaki ruang bawah tanah B1 menuju ke ruang lobi. Ruang lobi kosong tanpa isi. Dalam sela masa yang singkat, suatu figura melangkah anggun dari kejauhan. Rambut panjangnya yang hitam ikal mayang disanggul rapi. Kebaya nyonya rona putih dengan motif ringkas tampak cocok sekali dengan padanan kain songket rona hitam. Menghampiri Mini, perawan itu menyapa mesra dengan jeling mata yang memukau sukma.

Hye.
Hey. How are you?
I’m fine. You?
Macam ni je lah. You nampak lawa hari ni.
Thank you. You look sharp jugak.
Biasa-biasa je. Shall we?
Jom?

Mini mula meninggalkan Hamshire Residences mengarah ke Jalan Tun Razak. Pada langit malam, Sang Rembulan menjadi kejadianTuhan yang paling mempesonakan. Gemilangnya menyinari gelita malam memberi sejenis nafas kehidupan. Gemawan berarak memagari pesona purnama seakan-akan mengakui keindahan Sang Rembulan. Dihiasi simbahan neon hutan konkrit, Kuala Lumpur seakan-akan taman pesta yang penuh keriangan melenyapkan seribu satu kedukaan.

How’s work?
Boring as usual.
What do you mean?
It’s really boring. I’m getting bored dah.
You’ve been working for a few months baru je kan?
Yea. But I tak boleh imagine doing the same thing for the next 30 to 40 years.
Nape cakap macam tu. Tak baik tau.
Betul apa I cakap. I tak nak buat benda sama puluh-puluh tahun.
Then you nak buat apa?
I nak travel. I nak menulis.
If you wanna travel, you need a lot of money kan?
Yea I know.
That’s why you have to work.
But I pernah je dengar cerita orang. Diorang kerja. Cukup duit. Diorang travel. Then diorang kerja kat tempat tu. Save enough money. Just enough to travel to the next place. Cool what.
I guess so. But kita different. We’re not living a care free live kan. We have families, friends. You nak campak mana semua tu?
I tau. Damn. I guess I’ve got no options left kan?
Ada je. You kerja. Simpan. Then you travel lah. Boleh kan?
I think so.
Nape ni? Please tell me.
I’m not sure if this is what I wanna do with my life.
What do you mean?
Being an engineer.
Laa, nape?
It’s not that I’m not good ke apa. But macam. Entah.
Please. Try to explain dekat I.

Tuesday, 26 February, 2013, 10:57 PM

Thursday, February 21, 2013

Aliyah


Rupawan itu tampak ranggi dengan padanan sepasang but Doctor Martens potongan tinggi rona merah ceri. Anggun seorang puspa Melayu itu lazimnya terzahir pada busana baju kurung lepas dengan sentuhan rona lembut bermotif fauna.  Lipatan pada kedua-dua belah kepala lengan baju kurung hingga ke paras siku menyerlahkan sisi ayu seorang perawan metropolitan yang betah meladani kehidupan serba sederhana seorang gadis kampung. Selendang pashmina Kashmir yang digaya menutupi sebahagian rambut ikal mayang mengawang ditiup sepoi bayu  menampakkan leher jinjang seorang perempuan Melayu berdarah Arab.

Aliyah.

Dia dewi. Dia bidadari.  Dia puteri kayangan. Yang didamba di dalam sendu dan dingin malam di bumi asing yang jauh. Sepi malam diisi dengan ingatan pada tawanya yang girang. Yang menjadi jamahan halwa telinga bunyian dari syurga yang menggetarkan. Senyumnya yang menawan dihiasi dengan lesung-lesung pipit. Bagai sebuah catan pada kanvas malam dengan tebaran bintang yang berkerlip gemilang mengelilingi rembulan purnama yang mengambang. Menjadi sesuatu yang mengasyikkan. Yang menghapuskan sisi-sisi gelap seorang manusia. Menjadi puji-pujian kepada Sang Pencipta oleh si pacal hina yang memuja-muja seorang Aliyah.

Thursday, 21 February, 2013, 9:02 PM

Thursday, February 14, 2013

V


Dialog:
Kak, ros satu.
Nak satu kuntum ke satu bouquet?
Aaaaa, satu kuntum je lah kak.
Nak wrap?
Aa.
Nak yang mana satu?
Akak pilih yang paling lawa lah.
Okay.

Si floris itu memilih sekuntum ros yang paling merah dan yang paling kembang dari peti berpenghawa dingin. Daun-daun hijau yang berlebihan dipotong di sana sini dengan menggunakan gunting kain. Sedikit batang di bahagian akar dikerat senget dengan menggunakan pisau buah. Bahagian yang dikerat tadi kemudiannya dibalut dengan sejemput kapas lembap. Sehelai plastik pembalut bunga menutupi figura seksi ros yang bogel. Dikemas rapi dengan sentuhan selembar riben kain rona merah. Rintik halus air disembur pada ros memberi sejenis kesegaran.

Dialog:
Berapa ni kak?
8 Ringgit je.
Okay. Terima kasih.
Terima kasih.

Aku galas sebuah beg kertas Kinokuniya pada bahu kiri aku. Isinya; senaskhah kitab bertajuk Sayap-sayap Patah oleh Kahlil Gibran. Adaptasi oleh Sufian Abas. Karya yang perlu dihadam cerna oleh setiap jiwa peroman. Cakera padat berjudul The Best of Innuendo oleh Innuendo. Halwa telinga dengan bunyian romantis. Bar coklat Carbury original yang paling besar aku boleh dapatkan di Cold Storage. Memberi sejenis sensasi kepada libido dua merpati sejoli. Sehelai selendang pashmina Kashmir. Sebab si gadis itu kelihatan paling anggun dengan lilitan selendang. Empat biji kek cawan Oh! My Choc dari Wondermilk. Kerana sedap. Sekeping kad saiz sederhana dari Memory Lane. Dekorasinya ringkas dan lawa. Oh, sehelai pembalut hadiah dengan variasi rona merah.

Bauan harum Roti Boy mula merasuk reseptor bau. Perut aku secara tiba-tiba berkeroncong rancak. Aku beratur dan dapatkan Mocha Boy pada harga RM2.50. Sambil berjalan menongkah arus keramaian pulang dari pejabat, aku getis lembut Mocha Boy. Wap-wap panas kelihatan mengawang di dalam dingin Suria KLCC. Semacam berkonspirasi nakal dengan jiwa aku yang hangat pada hari ini. Pilihan aku hari ini ringkas. Kemeja berkolar dengan corak papan catur merah dan hitam dari Topman. Sepasang seluar khakis dengan jenama Dockers. Pasangan tali pinggang kulit dan but Doctor Martens potongan tinggi rona perang.

Dari Suria KLCC, aku mengarah ke Kuala Lumpur Convention Centre melalui laluan yang seakan-akan terowong bawah tanah yang panjang. Kelihatan pasangan yang bergebang riang dengan si gadis memegang sejambak ros merah di hadapan Maybank. Di kaunter Memory Lane, seorang lelaki memegang sekeping kad bersaiz gergasi sedang mengeluarkan dompet. My Valentine dendangan Sir Paul McCartney berkumandang menerusi corong fon telinga. Telefon pintar Samsung S-III aku keluarkan dari kocek kiri seluar. Aku membuat carian.

SMS 1:
Korang lama lagi?
We’re nearly done dah ni. Where r u?
I’m on my way dah. Korang lepak dulu heh? I nak setting sikit.
Yep2 sure.

SMS 2:
Heyya Beautiful!
Hey Rockstar! =) Where u at?
Ada lah. Mana boleh bagitau.
Alaa. Mana ni?
Ala, nanti u tau jugak. Nanti if I dah ready, I’ll let u know. Okay?
Okie dokie hun!

Aku seluk masuk kembali Samsung S-III. Ros merah di tangan kanan aku hidu. Kata orang, ros merah mengeluarkan bauan harum yang mampu menjentik romantis jiwa. Tiada bau. Hidung aku tersumbat mungkin. Sambil berjalan, aku melihat-lihat isi beg kertas Kinokuniya. Bimbang jika ada yang tertinggal. Dari aras bawah tanah, aku memacu eskalator ke ruang tanah berdekatan dengan kedai cenderahati Aquaria. Kemudian aku melewati dewan-dewan pameran Kuala Lumpur Convention Centre langsung ke ruang legar Traders Hotel. Dari ruang legar, aku memacu elevator ke aras SkyBar.

SMS 3:
Hello, hello. Bz bz ke?
Not really. Diorang dah nak balik dah.
Owh okay. I’m ready dah.
Really? Where r u ni?
At traders.
Skybar?
Hehe, yep2.
Awww, u read me like a book.
Mesti lah, hehe.
So I have to go there la ni?
A’a. Boleh ke? I tunggu here. Dah sampai nanti u lemme know. Okay?
Yeah sure. C u there hon! Miss u badly!

Aku pilih sebuah meja dengan bangku tinggi menghadap hutan konkrit. Di luar, kelihatan sang rembulan dipagari kerlipan bintang menerangi langit malam. Lagu di telefon pintar aku setkan pada Belaian Jiwa oleh Carefree. Dari beg kertas Kinokuniya, aku keluarkan gulungan kertas pembalut hadiah. Kemudian aku susun kitab Sayap-sayap Patah, cakera padat The Best of Innuendo, bar coklat Cadbury, selendang pashmina Kashmir dan kotak Wondermilk di atas hamparan variasi merah kertas pembalut hadiah. Sebuah potret kusam aku keluarkan dari poket belah hati kemeja berkolar dan aku tempatkan di atas meja berhadapan bangku tinggi yang satu lagi.

SMS 4:
I kat lobby dah ni. I’m waiting for the elevator.
Sure2. I tunggu sini. Jalan baik2.
Haha.

Aku tergesa-gesa menuju ke pintu masuk SkyBar berhadapan dengan ruang elevator. Aku berdiri dengan kedua-dua tangan memegang ros. Pembalut ros itu kemudiannya aku koyakkan. Kapas lembap itu aku tanggalkan. Aku buang kedua-duanya ke dalam tong sampah. Aku memilih untuk menggigit sahaja batang ros itu. Degupan jantung aku mula bercelaru dengan rentak sumbang. Aku mula berasa tidak sedap badan. Aku mula berpeluh. Bila-bila masa sahaja elevator yang dipacu si gadis itu akan tiba di aras SkyBar. Ting.

Dialog:
Good evening Gorgeous. (Dengan aksi seperti seorang lelaki budiman mempersilakan seorang perawan menari di pentas dansa)
Evening Handsome. Wah, finally.
This lovely rose for you. (Kuntum ros mula beralih dari gigitan ke genggaman)
Awww, thank you. Wangi!
Shall we?
Jom!

Aku mempersilakan si gadis itu duduk di bangku tinggi dengan sekeping potret kusam di hadapannya. Belaian Jiwa menjadi bunyian latar yang mengasyikkan. Dengan tangannya yang mulus, gadis itu capai potret kusam itu. Riak mukanya kelihatan begitu bahagia. Segala gundah aku terhapus melihatkan itu. Hari ini si gadis itu kelihatan anggun sekali dengan sepersalinan jubah hitam dipasangkan dengan selendang hitam. Kami mula bergebang riang perihal hari ini. Pada masa yang sama, aku mula memperincikan signifikan setiap hadiah yang aku dapatkan untuk dipersembahkan hari ini. Dari tas tangannya, gadis itu keluarkan sekeping kad rona hati dan dihulurkan pada aku.

Dialog:
Don’t read it now.
Eh, kenapa?
I segan okay.
Ala. I nak baca depan you.
Please?
Okay, okay. Thanks by the way!
Hehe, no biggie Rockstar.
Hey Sayang?
Yea?
Will you be my V?
Okay, I’m confused. V for Violet or V for Valentine?
V for both. You sudi?

Dari kocek kiri seluar khakis Dockers, aku keluarkan kotak cincin. Aku buka kotak itu mempersembahkan sebuah jiwa tulus dalam bentuk cincin emas dari Tiffany & Co. Dengan kedua-dua tangannya yang kini menutup mulutnya, aku lihat air matanya mula berlinang membasahi pipi gebunya. Aku fikir dia gembira. Dan aku fikir. Aku bahagia. Ya, aku bahagia.

Thursday, 14 February, 2013, 11:09 AM

Monday, February 11, 2013

Lara


Dia terjaga dari lenanya yang panjang. Di bahu katil itu lama dia pegun dengan fikirannya yang kosong. Pandangannya tertancap dengan penuh kelembutan pada sebuah potret kusam yang diam di atas meja kecil di sebelah perbaringan. Palitan remang cahaya kekuningan lampu meja yang tersimbah pada potret kusam itu membibitkan momen-momen romantis hari-hari semalam.

Potret kusam itu menjadi saksi tunggal sebuah cerita cinta agung pernah tertulis. Pabila mana dua jiwa menjadi satu. Pabila mana peroman menjadi pencinta dan tercinta. Pabila mana kesempurnaan itu terzahir di dalam ketidaksempurnaan. Pabila mana dalam diam bicara sukma itu mampu berkata-kata. Pabila mana mata mampu menterjemahkan segala. Menjadi sesuatu yang sakti.

Ne Me Quitte Pas dendangan Nina Simone mula berkumandang mengisi keheningan unit apartment duplex. Di atas meja kecil itu juga, terlihat kitab The Broken Wings karya garapan Kahlil Gibran dan naskhah Puisi-puisi Rendra oleh Willibordus Surendra. Paket merah rokok digapai sebelum dia melangkah malas ke ruang balkoni. Kepul asap rokok menghidupkan kanvas panorama KLCC.

Nun jauh di ufuk timur, jemari matari mula menyapa segan ungu horizon. Memberi nafas kehidupan. Membawa seribu satu pengertian. Semacam menyorakkan sejenis pengharapan. Hari ini yang pasti lebih baik dari hari-hari semalam. Hipokrit manusia pada kata-kata yang mendamaikan jiwa. Walaupun dalam ketahuan yang sabda itu bohong, bagai seru dakwah Nabi palsu.

Rehat di kerusi rotan, matanya masih pada potret kusam itu. Di sisi belakang potret kusam itu, tercoret seuntai tulisan kemas digaya italik. Bibir keringnya mengungkap perlahan ‘Let’s cherish the moment’ dalam sendu pagi. Bait-bait itu baginya merupakan sesuatu yang begitu suci. Umpama rintihan pilu bidadari kurungan syurga yang menjadi nyanyian jiwa yang menggetarkan.

Puntung rokok itu ditonyoh pada bekas penyimpan pewangi. Dia kemudian berlalu mendapatkan baju melayu hitam berbutang satu dari almari dinding. Potret kusam itu disemat ke dalam poket di belah hati. Pendengarannya disumbat kedap dengan fon telinga memainkan Belaian Jiwa dendangan Innuendo. Usai mengikat but Doctor Martens, dia sarungkan topi keledar Evo.

Jeritan ekzos vespa bergema mengisi sepi pagi Kuala Lumpur. Haruman Pure Seduction oleh Victoria’s Secret menjadi mainan stimulasi minda bawah sedar. Kehadirannya masih terasa. Perawan berbusana kebaya nyonya rona putih dengan padanan kain songket hitam manis duduk mengiring di tempat duduk belakang. Jemari halus gadis itu lembut menyentuh kemas bahunya.

Di hadapan pintu kecil kawasan berpagar dawai hijau itu dia matikan enjin. Dengan kerah dia menongkat vespa seraya menempatkan topi keledar pada tempat duduk hitam dengan kemasan benang rona merah. Bunyian burung yang seakan-akan mengalukan kedatangannya menenteramkan jiwa. Lambaian pepohon rendang yang menghijau menjadi halwa mata yang menenangkan.

Dalam lafaz perlahan, ‘Assalammualaikum Ya Ahli Kubur’. Perlahan-lahan dia memijak dedaun yang layu memayungi bumi. Pusara yang diredupi pohon melebat itu dia singgahi. Dia mencangkung seraya menyentuh dengan penuh kelembutan nisan yang mencengkam bumi. Bagai menyambut jemari bidadari kurungan syurga yang meminta belas. Lalu terjelopok dia terduduk dalam tangis teresak-esak meratapi potret kusam itu disaksi sunyi tanah perkuburan.

Hari ini, esok, lusa, tulat mahu pun hari-hari yang mendatang, pasti tidak akan lebih baik dari hari-hari semalam.

Monday, 11 February, 2013, 3:13 PM

Wednesday, February 6, 2013

Geologis


Seseorang mengetuk pintu mimpi aku.

Bangkit dari sofa empuk, aku berlari anak mendapatkan pintu.

Aku pulas tombol pintu dan daun pintu itu aku selak perlahan.

Kriuk.

Berbaju kurung dari material kapas dengan selendang pashmina Kashmir.

Si gadis geologis itu senyumnya besar dan menawan sekali.

Matanya umpama kerlipan bintang di malam rembulan berselindung segan.

Jari telunjuknya mengawang ke kanan dan kekiri berulang kali.

Batang rokok yang masih berbaki itu aku tonyoh pada bekas abu rokok yang aku pegang sedari tadi.

Aku balas dengan kuntum senyum.

‘Please come in’ mula bicara aku.

Si gadis geologis itu menggeleng dan menolak pelawaan sopan aku dengan senyuman.

Wednesday, 6 February, 2013, 2:03 PM

Tuesday, February 5, 2013

Pengharapan


‘Hai kawan, aku mahu ke bumi suci berteleku memohon doa di hadapan Kaabah Tuhan. Apa kau mahu aku membawa doa kau bersama?’

‘Katakan pada Tuhan, perkenankan rayu aku mahu ketemu Dajjal al-Masih sebelum nyawa aku dicabut Malaikat Kematian. Bilangkan juga pada-Nya, urusan antara aku dan Si Nabi Palsu itu usah diendah.’

‘Jika kau tidak keberatan, apa rasional mahu kau ketemu Sang Mata Satu?’

‘Kerana dia simbolik pengharapan aku. Rahsia menjejak masa itu tersimpan kemas padanya. Aku punya rencana mahu menulis kembali sejarah silam aku. Kerana jiwa aku kini sudah mati. Dengan bantuan Penjejak Masa, aku mahu merubah ceritera aku supaya aku bisa menghirup secangkir madu kehidupan duniawi walaupun sekali. Mengerti kau, kawan?’

Sunday, 3 February, 2013, 1:19 PM 

Monday, February 4, 2013

Mata


Dari kejauhan, aku berderap perlahan ke arah duduk Joned. Aku lihat, sinar matanya kini kian malap. Umpama hari-hari esok itu seakan tiada lagi. Punah impian, tanpa punya secebis pengharapan. Mungkin, dari mata yang pernah sekali ria dengan kehidupan itu akan gelita suatu hari nanti, menjadi sejenis kebutaan. Sesungguhnya indah insan itu pada pengharapan, kepada Tuhan dan kepada mortal lain. Tanpa impian, masa yang berlalu itu terasa seakan-akan merangkak terlalu perlahan. Minit yang berdetik itu seperti sejenis kerugian, suatu yang sia-sia. Ketika yang menyisih itu menghapuskan garis imaginari antara kehidupan dan sebuah kematian.

‘Hai kawan, apa yang menyelubungi hatimu? Engkau yang suatu ketika dahulu seorang yang meraikan kehidupan, kini berwajah cengkung dan kelihatan kurus sekali.’

‘Aku masih seperti dahulu kawan, tiada apa-apa yang merubah dan berubah. Cuma jalan aku meraikan kini berbeza barangkali. Apa khabar kau kawan? Lama sungguh kita tidak ketemu. Mari, duduk di sebelahku. Ayuh kita mengenang kisah lalu, kau dan aku.’

Pasang mata itu mencuba dengan kerah menyelindung sejenis kedukaan. Joned yang aku kenal masih seperti dahulu. Tidak berubah walau sedikit. Kehadiran teman menceriakan hari-harinya. Kunjung sahabat lama akan disambut hangat dengan senyum tulusnya. Sungguh, dia pernah katakan padaku lama dahulu, kawan-kawan adalah segala-galanya. Berlalu sebuah cinta pergi memunahkan impi seorang lelaki, pasti akan ada senda gurau dan dengar kawan yang menyambut. Ibarat terapi yang paling mujarab. Joned menjunjung letak sahabat itu lebih daripada bidadari kurungan syurga atau puteri kayangan larangan yang didambanya di malam-malam sepi kami di bumi asing yang jauh.

Tetapi kali ini, di balik senyum itu, mata kuyu itu tidak lagi mampu membendung kepahitan yang cuba diempangnya. Ilusi dengan senyum itu gagal untuk menghasilkan sebuah persembahan sempurna oleh seorang ahli magis seperti lazimnya. Duka itu seakan-akan memamahnya perlahan-lahan dari teras yang paling dalam. Pada luarannya mungkin kelihatan seperti dia merayakan kehidupan, tetapi kebenarannya, jiwanya sedikit demi sedikit mati. Seperti Joned yang aku kenal, dengan sisa pinjaman Tuhan yang masih berbaki sedikit itu, tidak sekelumit pun deritanya mahu dikongsi. 

‘Apa mahu kau kongsikan bersamaku cita dan impi kau kawan?’

‘Jika diizin Tuhan, sebelum aku sebati mati dengan tanah, aku mahu ke bumi Kashmir. Aku mahu mata aku menjamah sedikit keindahan syurga duniawi. Jika aku dihumban ke dalam jurang neraka yang paling dalam kerana hilang upaya aku untuk mensyukuri hembus nafas yang dikurnia Tuhan di bumi ini, aku berharap aku punya memori yang bisa diulang tayang di dasar sana. Aku mahu momen-momen terakhir aku itu disaluti penghargaan aku kepada Sang Pencipta kerana menemukan aku dengan cinta sejati. Walaupun gagal untuk aku gapai dan kecapi manis madunya, aku tahu aku akan mati dengan lukiran sebuah senyuman pada wajahku seperti mana hadir aku ke dunia ini.’

Sisa malam itu kami isi dengan sepi bicara dan keheningan malam. Sebelum mengucapkan selamat tinggal, aku selami mata Joned yang pernah dahulu gemilang. Kewujudan cahaya itu tiada dan seakan-akan tidak pernah langsung menerobos masuk ke dunianya selama ini. Dari sudut benak yang paling dalam, aku akur pada hakikat pengakhiran sebuah persahabatan. Kali yang seterusnya yang bakal menjadi persimpangan sebuah suratan antara kami, adalah apabila aku kembali memberi penghormatan dan ucap selamat kepada seorang pencinta yang begitu merindui penyatuan abadinya dengan Yang Maha Pengasih. Aku peluk kejap tubuh tidak bermaya itu seraya air mata aku mula mengalir perlahan membasahi pipi.

‘Selamat jalan kawanku. Kisah cinta kau ini akan aku bawa dan perdengarkan ke seluruh pelusok dunia. Moga apa yang kau cari selama ini bakal kau temui dan kecapi di Taman Firdausi nanti.’

Sunday, 3 November, 2013, 2:18 PM

Sunday, February 3, 2013

Ketahuan


Umpama bayu malam bersepoi nyaman
Sentimental pada memori lampau itu
Sebenar-benarnya membunuh jiwa kau
Dari teras yang paling dalam

Walaupun kau dalam ketahuan
Tapi ianya bagaikan suatu terapi
Terhadap sebuah kedukaan yang tak berpenghujung

Yang tiap hiris lukanya
Terbit jaluran darah merah
Mengalir membasah selamanya

Friday, 1 February, 2013, 9:49 PM

Saturday, February 2, 2013

Simetri


‘Saya kenal diri anda seperti mana anda kenal diri anda. Anda kenal diri saya seperti mana saya kenal diri saya.’

Soalnya sekarang:

Apa perlu dikau berlalu pergi meninggalkan sebahagian jiwa yang paling simetri untuk sebahagian jiwa dikau;

Hanya untuk sebuah adventure yang hakikinya dikau sudah temukan lama dahulu?

Friday, 1 February, 2013, 8:21 PM

Friday, February 1, 2013

Pateri

‘Jika benar kau menchintai diriku, usah sesekali muncul dalam lembar hidupku lagi.’

Benar kata orang. Chinta itu sejenis kegilaan. Chinta itu membawa derita. Selamanya, jalan hidup yang kita coret itu tidak akan bertemu lagi pada titik pertembungan yang sama sekali lagi.

Maka, ayuh kita teguk racun itu. Kita teguk senafas. Biar chinta dalam bentuk partikel-partikel halus cairan racun itu meresap perap ke dalam setiap inci sel yang turut senada bernafas. Pastikan jasad tidak punya jiwa itu mati sekalian reseptornya.

Mari kita secara berjamaah menuju ke sebuah pengakhiran yang tidak berpenghujung.

Aku menyeru kau, kau dan kau, jemput menikmati sebuah ceritera chinta yang kau tulis sendiri; yang mana plot penceritaannya dengan kau memastikan sang penchinta dan sang terchinta pateri janji pada sebuah kebodohan hakiki:

‘Jika benar kau menchintai diriku, usah sesekali muncul dalam lembar hidupku lagi.’

Friday, 1 February, 2013, 2:30 PM