Monday, July 29, 2013

Beautiful

"Sesungguhnya dia tidak pernah bersatu dan bercerai dengan Tuhannya."

Monday, 29 July, 2013, 10:36 PM

Sunday, July 28, 2013

Bidadara

Kalau lelaki heteroseksual mimpi (basah) bidadari.

Maka lelaki homoseksual mimpi (basah) bidadara?

Sunday, 28 July, 2013, 1:24 AM

Friday, July 26, 2013

Tukang Karut Bercerita

“Raya last year, time aku tengah gatah lemang dengan rendang kat kampung, tetiba Mak aku tanya, ‘Abang takde kawan dengan sape-sape ke?’ Aku pelik jugak sebab Mak aku macam tak pernah ambil port sebelum ni. Aku cakap lah aku tengah kawan dengan sorang ni. Pastu Mak aku suruh aku ajak dia datang rumah time open house. Aku cakap, ‘Boleh je, takde hal.’ Aku pun ajak lah dia datang. Aku tengok dia ngan Abah aku macam layan je borak sakan mende-mende banker. Aku pun bukan tau sangat borak duit ni. Dengan Mak aku pun aku tengok dia okay. Tolong Mak aku kat dapur semua. Nak amik hati Mak aku pun bukan susah, Mak aku tu sempoi je. Asal gaya tak malas, settle. Pastu ada sekali aku jalan-jalan pusing Penang, dah kebetulan aku kat Penang, dia ajak aku datang umah dia jumpa Mak Abah dia. Cuak gak aku. Jumpa Mak Abah orang bhai, pe kes. Satu je, kalau nak amik hati Mak awek ni, aku rasa memang takde hal. Nak amik hati Abah dia tu. Pergh. Aku serius tatau nak buat macam mana. Tapi okay lah. Aku buat lawak bodoh aku macam biasa, Mak dia gelak je. Abah dia tanya aku pasal kerja lah, family lah, aku layan je. Sebelum balik tu, Abah dia cakap, kalau tunang pun bagus gak. Aku macam pergh, biar betul. Takkan nak tunang dah. Abah dia cakap nanti hantar lah rombongan meminang. Aku cakap, ‘Insya-Allah Uncle, nanti saya sampaikan pada Mak Abah saya.’ Mulut manis macam haram. Dia hantar aku sampai Bayan Lepas. Time tu duit lebih, naik flight siap bhai. Up tak up, haha. Tak lama lepas tu, kitorang tunang. Okay lah rasa ada tunang ni. Macam sweet gak lah. Jumpa member-member, time nak kenalkan ke, pe barang ‘This is my girlfried.’ Tak market lah. ‘Kenalkan, tunang aku.’ Bagitau aku, member mana yang tak jeles kau cakap macam tu. Kitorang okay lah. Macam okay lah. Tu lah ceritanya pasal aku dengan tunang aku, seorang Sharifah."

Seronot betul buat-buat cerita time tunggu nak buka puasa ni. Gasak lah.


Friday, 26 June, 2013, 4:34 PM

Thursday, July 25, 2013

Istikharah III

Pabila anda membuka mata, di hadapan anda terpampang tulisan-tulisan yang mulanya kabur. Kemudian, tulisan-tulisan yang mulanya kabur tadi semakin jelas dan semakin jelas pada penglihatan anda membentuk abjad, nombor, patah perkataan dan susun ayat. Sorot pandang anda kini bertumpu pada padanan masa, tarikh dan tempat (mengikut urutan). Butir masa, tarikh dan tempat itu tidak penting. Tetapi untuk memudahkan, butir masa, tarikh dan tempat itu bukan semalam, bukan hari ini dan bukan esok. Butir masa dan tarikh itu berlatarkan masa hadapan dan butir tempat yang tertinta itu belum berkesempatan lagi untuk anda singgahi buat masa ini.

Sorot pandang anda kemudiannya dibawa menuju ke bait-bait puisi di tengah-tengah kad yang sedang anda pegang. Tulisan tangan itu kelihatan begitu kemas dengan gaya italik. Untai kata itu terjalin membentuk, “Jemari cinta yang menyapa sukma-sukma kita adalah bukti kasih dan sayang Tuhan. Yang menanti dalam sepi dengan lalu masa yang memeritkan, dua hati yang asalnya satu diciptakan Tuhan, walau dipisah ribuan tahun, akan menemui serpihan yang satu lagi sebelum sebuah pengakhiran, kerana ratib bidadari syurga yang tanpa lelah mendoakan’. Di sudut kanan bawah kad itu, dinamai penyair yang memuisikan bait-bait indah itu.

Sekarang, kad yang telah anda sudahi itu anda turunkan. Di hadapan anda kini, seorang dewi cinta yang anda dambakan. Yang menjengah dalam mimpi-mimpi anda. Walaupun hakikatnya, dewi cinta itu sudah lama berlalu meninggalkan anda kesepian. Berkabung kedukaan. Dan dengan palit senyum pada keanggunannya, duka semalam yang anda ladani tanpa kehadirannya dalam menghadapi hari-hari mendatang itu terhapus sama sekali. Hadirnya dalam mimpi-mimpi semalam anda tanpa bunyian keindahan dari ulas bibir mulus itu membikin jiwa anda gelisah. Sirna pada mata dewi cinta itu memberikan terang harapan dan jiwa anda mula kembang mekar umpama kuntum bunga yang disapa sentuhan matari pagi.

Bunyian keindahan itu terucap dari ulas bibir mulus dewi cinta itu mengungkapkan bait-bait puisi, “Jemari cinta yang menyapa sukma-sukma kita adalah bukti kasih dan sayang Tuhan. Yang menanti dalam sepi dengan lalu masa yang memeritkan, dua hati yang asalnya satu diciptakan Tuhan, walau dipisah ribuan tahun, akan menemui serpihan satu lagi sebelum sebuah pengakhiran, kerana ratib bidadari yang tanpa lelah mendoakan.’

Dan mata anda kini celik pada sebuah realiti. Kedukaan itu terhapus. Dan anda kini cuma bertemankan sebuah kesepian dan memori-memori hari semalam.


Thursday, 25 July, 2013, 2:08 PM

Tuesday, July 23, 2013

Selma

In every young man's life there is a  "Selma" who appears to him suddenly while in the spring of life and transforms his solitude into happy moments and fills the silence of his nights with music. - The Broken Wings by Kahlil Gibran

Tuesday, 23 July, 2013, 12:30 PM

Monday, July 22, 2013

Dean's List Award

Hon, kenapa I call you tak angkat tadi?
I was in the class. Dah lah tadi I tak silent. Satu kelas dengar.
Oh laa, ye ke. Then?
My lecturer suruh I angkat. But you dah letak.
Alamak. Sorry, sorry.
It’s okay, takpe. Kenapa you call I tadi?
I nak tanya. Your ceremony tu pukul berapa?
Around 3 something. Kenapa?
Oh, okay. Bukan apa, I ingat I nak datang tengok.
You wanna come? You takde kelas ke?
Ada je. Tapi takpe lah.
Then you nak datang macam mana?
Haha, tu I tak tau lagi.
You want me to pick you up tak? I ada je bawak kete Mama.
You takpe ke?
Boleh je. So what time nak I datang pick you up ni? Nanti I nak get ready lagi.
Up to you la Hon.


Monday, 22 July, 2013, 2:21 AM

Sunday, July 21, 2013

Rembulan


Puisi Pungguk pada Sang Rembulan;

Seindah malam ini | Lazimnya tiada tandingan | Sehingga ku pandang wajah mu | Hilanglah perasaan hiba dari hati ini | Bila kau kembali | Bila kau kembali nanti

Sunday, 21 July, 2013, 8: 51 PM

Sunday, July 14, 2013

Mimpi

Puisi pungguk
Kepada sang rembulan
Mengkhabarkan kerinduan
Pada sebuah kecintaan
Dari rusuk bumi
Ke wilayah syurga Tuhan

Mimpi ku diulit
Ceritera semalam
Pada mu yang telah
Lama aku lupakan
Menjengah pintu kedukaan
Menghulur ihsan
Di celahan jemari kebahagiaan

Acap kali
Kau melewati ruang mimpi
Apakah membawa erti
Yang dikau
Bakal kembali
Rejuvenasi
Kepada jiwa ku
Yang telah lama mati?

Aku pendosa
Tetapi masih
Punya secebis percaya
Pada ilham Tuhan
Di saat aku memerlukan
Harapan
Dalam kekeliruan
Sebuah kewujudan


Sunday, 14 July, 2013, 8:31 PM

Saturday, July 13, 2013

Syurga

'Semua orang nak ke syurga. Tapi takde siapa yang nak mati.'

Saturday, 13 July, 2013, 1:20 PM

Thursday, July 4, 2013

Istikharah II

Anda kini keseorangan di dalam sebuah bilik yang gelap. Satu-satunya sumber cahaya di dalam bilik yang gelap ini datangnya dari sebuah unit projektor di tengah-tengah bilik. Cahaya dari unit projektor terlimpah pada sebuah layar skrin di hujung bilik. Dengan kehadiran cahaya dari unit projektor tadi, anda membuat kesimpulan bahawa bilik ini tidak terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil. Cukup selesa untuk anda seorang. Susun letak bilik yang selesa ini minimal. Sebuah unit projektor yang ditempatkan di atas sebuah meja sekolah. Di sebelahnya terdapat susunan slaid yang disusun horizontal. Sepaket rokok Winston merah dan sekotak mancis. Dan sebuah sofa kulit yang berwarna hitam. Menyedari keberadaan sofa kulit berwarna hitam itu, tanpa lengah anda berjalan dan menghempukkan punggung anda pada sofa kulit yang bertekstur lembut. Hamburan partikel-partikel halus debu kelihatan di dalam gelap bilik yang diremang cahaya unit projektor pada intensiti rendah.

Anda carik plastik yang membungkus kemas paket rokok Winston merah tadi. Anda selitkan di celahan bibir anda. Anda keluarkan sebatang mancis dari kotak mancis tadi. Anda gores pada sisinya dua kali dan bahagian karbaid itu mengeluarkan api membakar batang kayu mancis perlahan-lahan. Anda suakan muncung batang rokok yang tersisip di celahan bibir anda pada api batang kayu mancis tadi. Batang rokok itu menyala. Anda campakkan sisa batang mancis yang masih bernyala dan anda padamkan dengan hentakan kaki kanan anda. Anda perasan layar skrin putih tidak memainkan apa-apa slaid. Anda mula menyusun satu persatu slaid ke dalam unit projektor. Dan kemudian anda menekan butang ‘Main’ di atas unit projektor. Mulut anda turut mengira bilangan nombor yang tepapar pada layar skrin,  dari 10, 9, 8, 7, 6, 5, 4, 3, 2 dan 1.

Seraya slaid bermain di layar skrin, lagu Ne Me Quitte Pas dendangan biduanita Nina Simone mula kedengaran. Di belakang anda, di bucu atas kiri dan kanan bilik terdapat pembesar-pembesar suara yang mengeluarkan bunyian audio yang berkualiti tinggi. Anda betul-betul puas hati. Kepul asap rokok mula mengisi ruang bilik yang tertutup. Lukis abstrak asap rokok dapat anda saksikan di dalam kegelapan bilik ini. Bilik ini agak dingin, bulu-bulu roma di tangan anda berdiri tegak. Telinga anda dapat menangkap bunyi deru dari unit penghawa dingin di atas layar skrin. Tetapi hangat dari batang rokok anda tadi dan dingin dari unit penghawa dingin memberikan keselesaan pada zon di antara pertembungan hangat-dingin yang menyegarkan.

Kini anda fokuskan sepenuh perhatian anda pada tayangan slaid pada layar skrin. Slaid-slaid silih berganti dengan bunyi ‘ktak’ dari unit projektor. Apa yang terpampang seluas-luasnya pada layar skrin adalah seorang gadis dengan senyuman yang paling manis, yang paling cantik, yang paling menawan, yang paling anggun, yang paling cun, yang paling gorgeous dan yang paling pergh yang pernah anda saksikan sepanjang kewujudan anda. Gadis ini memberikan gaya yang pelbagai persis seorang model yang memperagakan busana di pentas peragaan (gadis ini bersosok lampai seperti seorang model). Anda nyalakan batang rokok Winston yang kedua dengan sorot mata anda masih pada layar skrin. Fikiran anda depenuhi dengan obsesi anda pada gadis ini.

‘Ktak’. Bunyian ‘ktak’ yang terakhir. Bilik yang tadinya dilimpahi cahaya dari unit projektor menjadi gelap gelita. Tiada lagi mainan slaid dari unit projektor. Tiada lagi projeksi gadis yang anda obseskan pada layar skrin. Tetapi fikiran anda masih tetap berpusat pada gadis itu. Anda masih menghisap kehangatan dari batang rokok Winston kedua anda tadi tetapi dingin penghawa dingin mula menggigit hingga ke tulang sum-sum anda.


Thursday, 4 July, 2013, 4:42 PM

Wednesday, July 3, 2013

Istikharah I


Kau tidak berkata apa. Menguntum senyum cuma. Dengan kulum senyum itu kau berkata-kata. Bait yang terlepas dari ulas bibir manismu itu memuisikan bunyian terindah yang tidak akan lagi menjadi halwa dunia. Kau memandang dengan penuh kelembutan dengan calitan senyuman pada sebuah keanggunan. Ah, gorgeous. Aku terkesima. Dan oh ya, aku tertawan. Umpama jatuh cinta pandang pertama. Dan masih. Senyuman itu bisa membikin aku terus jatuh dan jatuh dan jatuh. Bebas. Dalam momen yang tidak diikat Hukum Masa itu, graviti menjadi sesuatu yang absurd. Graviti yang ada cuma antara kau dan aku. Opposite attraction. Ruang ketika kau dan aku yang pastinya sama sekali berbeda. Umpama ada bumi dan adanya syurga. Cuma aku pengimpi hina yang terhumban terperosok jauh ke dunia yang mengasyikkan, dipeluk noda dan digelumang dosa, berkhayal mendambakan candu cinta seorang bidadari kurungan syurga. Dan kau, bidadari kurungan syurga itu, merahmati aku dengan kepar sayap-sayap cinta dari kejauhan. Cinta itu aku sambut bagai mengemis kecap bahagia di lorong-lorong kelam yang tidak pernah disentuh partikel cahaya. Lantas hiba itu hilang. Lara itu terhapus. Dan mimpi ngeri semalam itu perlahan berlalu, tanpa sekelumit tinggalan puing-puing duka.

Hanya kerana secoret senyum pada kanvas keanggunan dalam kebisuan kata.


Wednesday, 3 June, 2013, 2:20 AM

Monday, July 1, 2013

Berlari

Aku lepaskan pandangan bebas ke luar. Rintih halus hujan mula berderai turun. Membasahi bumi. Merahmati alam. Atau mungkin. Menangisi sebuah kedukaan. Yang tiada siapa tahu. Yang tiada siapa mampu mendengar. Yang tiada siapa mampu amati. Yang tiada siapa pun yang faham. Aku cuma mampu meneka. Apa mampu hujan mahu pun bumi beremosi sebegitu? Apa mampu hujan mahu pun bumi girang kesukaan? Apa mampu hujan mahu pun bumi dirudung hiba, kedukaan? Apa mampu hujan mahu pun bumi merasa apa yang aku rasa? Apa mampu hujan mahu pun bumi  memberi rekfleksi rasa yang tersemat di dasar jiwa aku?

Langit biru keputihan yang tadinya gemilang. Kini dari kejauhan, gemawan berarak perlahan memayungi bumi. Tapi di balik marak kawanan awan, nun jauh di sana masih punya mentari memancar sirna. Memberi nafas pada sisa senja yang masih berbaki. Rona jingga kemerahan yang menyelit di celah-celah gerombolan/kawanan awan. Masih terasa. Kehangatannya menjamahi aku. Memberi harapan dalam bungkam. Aku masih hidup. Masih punya daya bermimpi dan mengimpi. Nafsu pada raih materi atau cukup sekadar punya daya untuk berimaginasi. Walaupun yang tak tergapai akal dan mampu.

Masjid Biru ini acap kali aku lewati. Persinggahan seketika cuma buat melepas lelah. Dibahang mentari siang. Di dalam halwa penghawa dingin. Escapade. Dari hangat mentari yang kekadang merimaskan, melekitkan. Mencari jalan keluar dari terowong panjang. Dan dihujungnya turunan salju menanti mematikan hangat. Pada mimbar yang tinggi melangit. Pada kubah, melembayung syahadah. Dan aku menggapai tenang. Walaupun keseorangan dalam keramaian. Walaupun hanya bertemankan kicau burung di luar ruang dewan pengabdian. Aku mencapai damai.

Masih aku berdiri. Mengamati erti kewujudan. Palitan rintis halus hujan mula menjamah tubuh aku. Pada matari yang mula melabuh tirai senja. Pada sisa rona kehidupan yang masih berbaki. Pada gemawan yang berarak meraikan pentas malam. Pada tiupan sepoi bayu yang membawa halwa romantis. Pada ceritera semalam. Pada lara yang telah lama berlalu. Pada puing-puing momen. Pada lampu-lampu yang mewarnai laman yang luas terbentang. Pada yang berlari keanakan tanpa sekaki payung. Mencari redha Ilahi dalam melunaskan sebuah janji suci pada Yang Esa.

“Jonni?”
“Sarah? Long time no see. You apa khabar?”
“Sihat, Alhamdulillah. You? I hope life treats you well.”
“Macam ni je lah. Tak sangka jumpa you dekat sini. You dengan siapa ni?”
“My hubby. And Zara.”
“Oh, I dengar she’s back for good?”
“Aa, baru one week. You wanna see her?”
“Er..”
“I’m sure she’s more than happy to see you. After all these years.”
“I’m not sure..”
“Please Jonni?”
“I kena pergi. I dah lambat. I ada janji. I tak boleh mungkir janji.”
“Jonni..”
“You faham kan Sarah? You fahamkan? I tak boleh. I’m not ready.”
“Benda lama Jonni. You sure you don’t wanna meet her?”
“Yea. Please don’t tell her you jumpa I.”
“Jonni.”

Aku mula berlalu menginggalkan Sarah. Aku pantaskan langkah kaki. Keras memijak lantai bumi. Berlari daripada suatu yang aku pasti. Atau mungkin tidak. Titis hujan mula membasahi. Merahmati atau melaknati? Atau ini cuma sekadar mimpi? Jangan toleh, jangan toleh. Hidup kena terus. Duka semalam itu menjadikan kau kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang, hari-hari esok. Semalam hanyalah sebuah hikayat, sebuah mitos, sebuah epik. Yang tidak terbukti kebenarannya, hakikatnya. Cuma mengisi masa-masa senggang berkhayal dalam pelukan sebuah mimpi indah yang tidak berpenghujung. Atau penamatnya bukan apa yang kau harap-harapkan.

Kerana kau dalam ketahuan dunia ini sekadar persinggahan. Pentas kekecewaan. Pentas duka. Lara dan lara dan lara. Jadi apa perlu kau letakkan pengharapan pada yang cuma mengecewakan? Yang melambung kau lalu terperosok jauh hilang upaya dan kudrat ke dalam lembah neraka kedukaan? Tidak bangkit-bangkit.

Monday, 1 July, 2013, 7:32 PM