Friday, October 12, 2012

Asing II

Kilasan ringkas bersahaja. Kemudian sepenuh perhatian perempuan itu dikembalikan pada paparan skrin iPhone 4 di tangan. Aku dengan ekspresi muka ingin tahu yang tidak boleh blah mencuri-curi pandang apa yang disibukkan sangat dengan smart phone Steve Jobs itu sehingga aku tidak dipedulikan barang sekelumit. Jejari runcing perempuan itu ligat berdansa di atas butang kekunci memainkan aplikasi permainan menyusun blok.

Wahyu dari langit yang terbentang nan luas turun dalam bentuk melodi lagu Aku yang Asing oleh kumpulan gitar rancak (kugiran) Hujan pada pendengaran aku seorang dalam mode crescendo disusuli dengan paparan klip video rasmi yang direkod ketika jelajah Perancis seperti menyaksi filem 50-an hitam putih distortion secara solo di dalam panggung wayang gambar (pawagam).

Aku pasti. Pasti dengan perubahan air muka (baca: ekspresi) aku yang berubah secara drastik. Yang aku istilahkan sebagai Lu-Orang-Pun-Gerenti-Tahu-Ekspresi-Muka-Gua-Macam-Mana-Kan.

Dan sekali lagi. LRT kurang ajar dan lebih buruk berbanding LRT terdahulu tadi tanpa salam menerjah masuk ke platform tanpa sebarang indikasi signature seperti bunyi hon yang kuat atau getaran setempat pada frekuensi yang tinggi. Dan sekali lagi. Rutin boring (bosan) manusia berhimpit-himpit masuk secara berjemaah tanpa punya sedikit timbang rasa. Bauan harum metabolisme aktif badan mula memenuhi ruang isolated gerabak LRT. Aku lemas, aku rimas.

Perempuan itu menempatkan diri betul-betul di tempat duduk berdekatan dengan pintu masuk tadi. Dan ruang tempat duduk yang masih belum di-occupy rakus oleh marhaen Kuala Lumpur hanya tinggal pada sisi pintu keluar, bententangan dengan pintu masuk tadi. Dengan pandangan tenang (calm), aku perhati perempuan itu. Masih terkulit-kulit dengan telefon bimbit. Aku pasti perempuan itu sedar akan keberadaan aku di lokasi aku membuat pemantauan khas. Aku positif.

Entah di stesen mana, seorang malaun yang aku sudah lupa jantina (lelaki, perempuan, khunsa, pengkid, transgender, aku tak ambil pusing sebenarnya) menghalang pemerhatian mengkhusus aku terhadap spesimen (perempuan itu) tadi. Tetapi melalui cakap-cakap seorang yang tidak dikenali yang duduk betul-betul di sisi kanan aku, perempuan itu ada mencuri-curi pandang ke arah aku walaupun terhalang oleh titik buta. Oh, bunyi gesit sukma dari teras aku yang paling dalam.

Stesen LRT Bandar Tasik Selatan.

Aku tiba ke destinasi yang aku tuju. Aku berjalan keluar lambat-lambat sambil ekor mata aku memerhati jika ada sebarang tindak balas dari perempuan itu. Tiada. Tidak mengapa. Seperti seorang anak kecil yang bermain sorok-sorok dengan Hantu Kopek, aku tempatkan diri aku di balik tembok berbentuk silinder berselindung. Aku menantikan saat dan momen LRT kurang ajar tadi yang aku pasti akan berlalu pergi juga tanpa sebarang indikasi signature seperti bunyi hon yang kuat atau getaran setempat pada frekuensi yang tinggi.

Dan aku menyaksikan perempuan itu mencari kelibat seseorang atau sesuatu. LRT? Aku?

Aku pasti Aku.

Aku labuhkan punggung pada tempat duduk batu yang aku fikir selekeh tanpa sebarang kemasan jubin marmar. Aku keluarkan sepuntung rokok yang aku sudah susun kemas-kemas di dalam tempat penyimpan rokok khas dengan spesifikasi kedap udara dengan fungsi mutlak mengelak lemau. Aku hidupkan dengan pemetik api. Dan aku teguk booze yang aku simpan secara rahsia di dalam flask air biru aku (ramai menyangka isinya kopi pekat cap Hang Tuah).

Hairan. Bukan kepulan asap yang keluar dari mulut aku membentuk seekor naga garang yang sedang menghembuskan tujahan api berkuasa tinggi dari celahan gigi-gigi kuning. Tetapi nama seseorang.

Rock Rolland.

Seorang perempuan yang pernah menjadi pujaan hati aku suatu tika dahulu. Dan rahasia perempuan itu berlalu pergi selama-lamanya (mungkin) dari hidup aku biarlah aku telan dan aku nikmati pahitnya seorang.

Dan untuk kali yang penghabisan, aku hantar satu lagi mesej ringkas ke iPhone 4 perempuan itu yang aku pasti tidak akan berbalas:

Happy to see u. U look great like always.

Tika butang send ditekan, corong-corong pembesar suara di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan sedang memutarkan lagu Too Much Love Will Kill You oleh kugiran Queens. BFM 89.9, aku pasti.

KLCC, Thursday, 11 October, 2012, Waktu-waktu Senggang

No comments:

Post a Comment