Thursday, May 24, 2012

Muhibbah


Jujur saya katakan saya bukanlah peminat tegar filem Melayu. Saya akui, kekadang ada juga saya meluangkan masa menonton filem humor garapan pengkarya tanah air. Sebab munasabah utama adalah kerana saya berasakan bahan ringan yang disadur dengan jenaka perlu, tetapi dalam kuantiti yang berpatutan dan kesukaan saya adalah humor yang tidak terlalu memperbodohkan penonton, lebih-lebih lagi penonton cilik.

Obsesi saya pada karya Arwah Yasmin Ahmad bermula menerusi filem Gubra dan koleksi video komersial yang beliau hasilkan untuk PETRONAS. Mungkin bagi sesetengah individu, karya Arwah agak berat dan tema utama yang beliau ketengahkan iaitu muhibbah dalam kalangan Kebanyakan tidak merefleksikan realiti sebenar pada hari ini.

Tetapi suka untuk saya katakan di sini bahawa muhibbah yang diketengahkan Arwah bukan hanya sekadar fantasi tetapi wujud dalam kata sebenar. Kalau pun tidak begitu jelas di mata generasi hari ini, palitan racial polarization oleh partisan politik yang berorientasikan bangsa dan agama, muhibbah ini bukanlah sesuatu yang asing pada era 50-an membawa ke 70-an.

Pandangan personal ini saya sandarkan pada tulisan Adibah Amin menerusi 3 kompilasi kolum beliau di New Straits Times lewat 70-an; As I was Passing, As I was Passing II dan Glimpses. Kepada generasi seangkatan dengan saya, kompilasi oleh MPH Publication ini bagi saya merupakan kitab wajib milik dalam melihat-lihat era yang dilalui oleh rata-rata ibu dan ayah kita.




Muhibbah itu sebenarnya ada. Pada pandangan personal saya, pengkarya genius seperti Arwah Yasmin Ahmad dan Adibah Amin bukanlah berkarya dengan bertemakan muhibbah kerana dakyah politikus untuk mengaburi Kebanyakan. Tetapi untuk meraikan muhibbah sebenar yang senantiasa bergaul mesra dalam kehidupan sehari-hari mereka.

Thursday, 24 May, 2012, 12:04 PM

No comments:

Post a Comment