Saturday, August 11, 2012

Rumit


Rumit proses menjadi orang. Apatah lagi manusia.

Alexander Zulkarnain seorang laki-laki Muslim. Rajin ke masjid. Tak pernah miss usrah. Beliau memasang angan-angan mahu bernikah awal. Lagi awal, lagi bagus. Lagi afdol kalau dapat bernikah sebelum grad. Memandangkan beliau seorang laki-laki Muslim yang rajin ke masjid dan tak pernah miss usrah, beliau berkira-kira mahu menggunakan perkhidmatan Baitul Muslim untuk mencari calon isteri mithali lagi solehah. Beliau sebenarnya pernah berangan Mat Jenin mahu menjadikan gadis hot Bangsar sebagai penyeri hidup. Tetapi apakan daya, beliau punya kredabiliti yang perlu dijaga rapi. Beliau tidak punya opsyen lain. Jadi dengan memejamkan sebelah mata (belah kanan), beliau menggunakan perkhidmatan Baitul Muslim untuk menyunting seorang gadis usrah junior bertudung litup sehingga ke paras dada (mengikut syariah) yang hanya menampakkan bahagian mata sahaja. Famili, kawan-kawan dan umat manusia seluruh duniya (Muslim world terutamanya) menyanjung tinggi ke langit nawaitu suci beliau. Antara respon-respon positif yang diterima beliau adalah:

·         Bagus kau kawen awal ni. Apa orang cakap. Aa, menjauhi zina (Walatakrobuzzina).
·         Patut sangat lah kau nikah. Kau pun dah lengkap serba-serbi.

Harun atau lebih glemer dengan panggilan Ron seorang laki-laki Muslim. Ke masjid hanya pada hari Jumaat. Itu pun, kalau tak miss. Usrah memang jauh sekali. Pernah beliau bambu seorang naqib usrah kerana naqib usrah berkenaan ajak meeting usrah tepat-tepat 3 jam sebelum. Beliau text pada naqib usrah berkenaan, “Apa lu ingat gua takde komitmen lain ke? Lu kalau nak buat usrah, cakap awal-awal. Jangan last minit macam ni. Mangkok.” Sejak insiden itu, hati beliau terus jauh-jauh sekali dengan usrah. Seperti Alexander Zulkarnain, beliau juga punya cita-cita mahu bernikah awal. Bahana terlalu terpengaruh dengan sebuah karya kugiran Hujan, Ahmoi Chantek lewat tahun 2007, beliau dengan suksesnya telah menekel seorang amoi Mutiara Damansara yang mengambil jurusan Bisnes di Taylor’s Business School, SS15, Subang. Tetapi hati kecil beliau selalu berkata, layan jugak kalau nikah awek tudung labuh. Insya-Allah, selamat gua duniya akhirat. Beliau ada juga research sikit-sikit berkenaan Baitul Muslim. Apabila nawaitu suci beliau itu diwar-warkan pada famili, kawan-kawan dan umat manusia seluruh duniya (Muslim world terutamanya), antara respon-respon ‘positif’ yang diterima beliau adalah:

·         Kau semayang pun tak cukup. Nak kawen? Ha ha ha ha ha.
·         Jangan bawak jahanam sekali anak dare orang bhai.
·         Spender pun mak basuh. Ada hati nak kawen. Ha ha ha ha ha.
·         Camne lu nak lead famili, lu cakap siket. Lu pun bukan nak berapa betul sangat bro.

Alexander Zulkarnain akhirnya bernikah ketika tahun akhir pengajian dengan gadis usrah junior bertudung litup sehingga ke paras dada (mengikut syariah) yang hanya menampakkan bahagian mata sahaja, terima kasih atas perkhidmatan Baitul Muslim.

Harun atau lebih glemer dengan panggilan Ron hanya bernikah di usia 32 tahun dengan seorang gadis hot Bangsar dan impian suci lagi murni beliau mahu bernikah dengan seorang gadis bertudung labuh hanya tinggal kenang-kenangan sahaja.

Bukan Alexander Zulkarnanin

Sungguh. Rumit proses menjadi orang. Apatah lagi manusia.

Friday, 10 August, 2012, 10:09 PM 

No comments:

Post a Comment