Thursday, June 7, 2012

From Tronoh with Love (Part III)

6.15 pagi. Lena gua terganggu, terima kasheh gua ucapkan kepada Ahmad. Jujur gua katakan, gua memang jenis liat sedikit nak gerak awal pagi. Mana tak nya kalau 4, 5 pagi baru mata gua mahu lelap. Kafeina dan Nikotina memang tak bersalah lansung. Pepagi buta lagi gua sudah bikin onar. Ahmad hanya mampu geleng kepala dalam gelap ruang tamu sambil belek-belek henpon. Gua tanya kenapa tempoh hari. Beliau bilang, “gaya lu sebijik macam menumpang rumah mak abah lu, torbayek”. Ha ha ha.

Gua kempunan Nasi Lemak Telur Mata semalam. Seorang hamba Tuhan ini bilang, beliau memang tak sengaja sepaikan Nasi Lemak Telur Mata bungkus gua semalam. Kenyataan beliau itu meragukan gua sebenarnya. Gaya sabotaj. Tetapi gua play cool sahaja. Dengan muka tenang gua pelawa beliau sekali lagi ke Taman Gelora bersarapan. Pukul 8.15 pagi gua pacu ride berplat Pahang sekali lagi memasuki Bandar Kuantan. Driving skill orang Kuantan ini boleh tahan juga. Kalah orang Penang, orang Kuala Lumpur.

Nasi Lemak Telur Mata (Papadom siap)

Lot Nasi Lemak Telur Mata tutup. Pulak. Semalam Rojak Ayam hari ini Nasi Lemak Telur Mata. Malaun bertuah mana pula cergas berkonspirasi pagi bikin panas hati gua ini. Gua malas nak fikir sangat. Gua dan Ahmad tuju meja di sudut yang paling hujung. Akak ambil order pinta gua beri kata putus sama ada mahu Roti Bakar, Nasi Lemak Telur Mata atau pun Nasi Minyak Ayam Merah. Gua beritahu akak ambil order gua mahu Nasi Lemak Telur Mata dengan Kopi Suam dan Ahmad beritahu akak ambil order beliau mahu Nasi Lemak Telur Mata juga tetapi dengan Teh Tarik.

Gua hairan macam mana Nasi Minyak Ayam Merah boleh sesat dalam menu sarapan. Ahmad bilang, di Pantai Timur, Nasi Minyak Ayam Merah bukan dihidang di majlis perkahwinan sahaja. Untuk sarapan pun mereka hidang. Gua tak pernah tahu. Gua kira Nasi Lemak pun sudah cukup berat sebagai santapan pagi. Ah. Nasi Lemak Telur Mata lot ini tak berapa nak kick. Gua habiskan juga. Gua tak mahu secara tiba-tiba tumbuh dua tanduk kecil di atas kepala gua sebijik macam syaiton kerana habit membazir.

Telok Chempedak. Gua dan Ahmad hasilkan satu lagi klip video buat kenang-kenangan. Hari ini ramai orang. Kami lihat satu famili besar Tionghua kesukaan mandi-manda. Gua pandang Ahmad. Ahmad pandang gua. Kami kepingin nikmat mandi laut. Alang-alang menjuih kaki di gigi pantai, biar basah air laut satu badan. Kami tiada persalinan basahan. Kental Ahmad bilang, “kita redah je bhai. Mandi pakai boxer. Kang kita bersidai bawah terik mentari sampai boxer kering.” Lu memang padu Ahmad.

11.30 pagi. Matahari sedikit lagi nak cecah kedudukan 90 darjah betul-betul tegak di atas kepala. Gua dan Ahmad masih berkira-kira. Nak ke tak nak. Nak ke tak nak. Pap! Semalam member gua, orang Kuantan saran pergi mandi Air Terjun Sungai Pandan. Cun. Terus kami pacu pulang ke rumah Fawwaz. Deodoran, tuala, boxer, shorts dan baju buat basahan. Usai bertanyakan direktori lengkap dari member Fawwaz, kami pacu kembali mengarah ke Sungai Lembing.

Air Terjun Sungai Pandan


30 minit kemudian tiba kami di Zon Perkelahan Air Terjun Sungai Pandan. Layan mandi sungai tengah-tengah hari panas ini. Takjub gua dan Ahmad melihat panorama air terjun setinggi 150m. Siap ada titi gantung. Air sungai keruh habis. Tiada jeram yang boleh dibuat lipat beraksi ooo gaya Tarzan. Gua dan Ahmad berendam mandi manda ha ha sehingga jam tiga. Langit kelihatan murung. Petanda hujan bakal disusuli bah besar. Belum sempat kami tiba di ride, hujan lebat mencurah-curah bagai awek menangis air mata darah baru putus chinta.

Kami alas perut dengan cucuk-cucuk, kacang kuda rebus dan ais krim 50 sen. Gua dan Ahmad malas salin pakaian. Tuala dibuat alas duduk dan sandar mengelak kerusi daripada basah lalu menghasilkan aroma kepam. Semalam Nadia sempat menunjukkan port Nasi Kukus di Jungle Food Court tidak jauh dari Indera Mahkota 6. Sudah habis. Perut sudah mula berirama keroncong digaya fusion Another You oleh Cromok. Lantas kami memilih untuk menikmati Nasi Ayam Berempah dengan Kopi Suam Panas dan Teh Ais.

Hujan sudah berhenti. Matahari segan-segan keluar menjengah dari balik gemawan. Pintu ride dibuka. Haram. Kepam kaw-kaw. Kah kah kah. Kalau ada penyepit baju boleh juga buat sepit hidung. Kami kentalkan juga sambil open air masuk menuju ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah melalui pintu belakang UIA Kuantan yang tak ber-guard. Gua kenakan kain pelikat sebelum masuk ke perkarangan masjid. Tak pepasal ada yang bambu gua dengan ungkapan tak enak yang pastinya mampu buat telinga gua berdesing persis nyamuk sesat masuk telinga.

Kelihatan dari kejauhan susok MyVI SE putih berplat Terengganu. Kereta dipacu Nadia mengarah ke Taman Gelora. Lepas geram punya pasal. Gua dan Ahmad seboleh-bolehnya mahu menikmati Rojak Ayam yang membuat kami angau tak lena tidur malam dua tiga hari sebelum trip. Cantik! Lot Pak Lah kali ini buka. Jam 6.30 petang. Nadia order Rojak Mee tanpa taugeh. Gua dan Ahmad sekadar berkongsi Rojak Mee Ayam, juga tanpa taugeh. Gua elerjijik tumbuhan hijau sebijik macam kesan batuan kriptonit pada Superman.

Rojak Mee Ayam Pak Lah

Pergh. Penangan dia. Sedap Rojak Ayam Pak Lah dengan Rojak Ayam semalam macam langit dengan bumi. Yang langit itu Rojak Ayam Pak Lah. Yang bumi itu Rojak Ayam semalam. Senang cakap, lagi tinggi altitud lagi bagus. Gua pekena sekali Ais Batu Jagung. Gua hairan buat kali yang kedua, gua sebenarnya tak faham kenapa orang lagi ramai lepak di pantai Telok Chempedak berbanding pantai Taman Gelora. Sebelum pulang, gua pelawa Ahmad dan Nadia meneman gua bermain pasir sambil sepak-sepak buah kelapa di pantai Taman Gelora. Oh, patut lah.

Malam ini kami janji sama Fawwaz mahu belanja beliau makan. Sempena Hari Kebesaran beliau esok. Beliau tanpa segan silu pinta gua dan Ahmad organize surprise party feature badut sarkas hidung merah. Kalau maskot A&W, ribu-ribu pun gua sanggup payung, kah kah kah. Ahmad pelawa sekali member lama beliau masa mengaji di STAR Ipoh dulu, Encik Izzat. Nadia ajak member beliau, Cik Sharifah Alia al-Zawawi tag along bersama. Dengar kata, beliau dan Ahmad nak kenenkan kami bersama. Dengar katalah tetapi.

Banyak kereta di atas jalan Bandar Kuantan malam minggu ini. Jalan mengarah ke arah Telok Chempedak sesak macam sardin tin dipanas pada takat 100 darjah celcius tanpa bukaan penutup. Ride gua dipacu rapat-rapat di belakang ride Nadia. Ride kami dihalakan ke sebuah taman perumahan. Lalu ride diparkir bersebelahan dengan taman permainan yang diubah suai menjadi sebuah medan makan. Ujar Alia, seleksi makanan di sini agak boleh blah. Gua masih kenyang. Cukup sekadar secawan kopi ais buat penghilang dahaga dan pengelak kantuk.

Mee Kari dengan Taugeh

Char Keuy Teow dengan Cili Jeruk


Alia dan Izzat order Mee Kari. Nadia order Mee Kari tanpa Taugeh. Fawwaz order Char Kuey Teow. Gua order sekali French Fries buat kunyah celah gigi. Gua suka sangat ambians malam itu. Tetapi malas gua nak beri deskriptif terperinci. Jam 12 kami pacu ride kembali ke Indera Mahkota 6. Usai berbasa basi, kami hulurkan salam buat kali yang penghabisan kepada Alia dan Nadia. Gua dan Ahmad sebenarnya tak berapa nak pasti sama ada mahu pulang terus ke Tronoh pada malam itu juga atau bermalam semalaman lagi di Kuantan.

Bonda gua selalu pesan, don’t overstay your welcome. Cergas kau berlalu pergi sebelum orang meluat lalu kau dipersilakan keluar dengan penuh kehormat. Fawwaz dan Izzat pelawa bermalam sahaja di Kuantan. Pucuk dicita ulam mendatang. Malam ini ada game. England menentang Belgium. Tak habis pun game, Fawwaz ajak pulang. Sampai sahaja ke rumah bujang Fawwaz, gua cergas capai bantal dan selimut busuk gua. Fawwaz dan Ahmad borak-borak bawa ke pukul 4 pagi. 2 jam sebelum itu roh gua dah melayang nun jauh ke Bandar Romantis Paris. Tengah bercumbu gaya French dengan gadis ideal imaginari beliau.

Thursday, 7 June, 2012, 2:46 AM

No comments:

Post a Comment