Friday, December 28, 2012

Rai dengan Sebutan Rai dan Bukan Ra-e

Kuala Sepetang, Perak

Meraikan kehidupan. Dan sebab itu hari-hari Hari Raya. Tidak hanya tertakhluk kepada Raya Puasa, Raya Korban, Deepavali, Tahun Baru Cina mahu pun Krismas. Rukun dan tata dalam meraikan? Terpulang. Seperti tema Cantik itu Subjektif simposium di BRJ Alam Damai bersama member-member yang singgah sebentar di Kota Sepi Lagi Jahat Kuala Lumpur, Rai itu juga Subjektif. Terpulang pada pendefinisan masing-masing. Itu pun salah satu cara untuk meraikan kehidupan.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Lagak seorang muda-mudi penyantun, aku lebih selesa memilih untuk berdiri di dalam STAR mahu pun PUTRA. Empat beranak baru menaiki tren. Seorang bapak, seorang akak dalam 12 tahun, 2 orang budak perempuan dalam 5, 6 tahun. Berseragam sekolah dan tadika. Expatriate Indonesia. Aku lihat auntie Cina bangun mengalah seat. Dua orang budak perempuan tadi duduk. Dan si akak berdiri sambil bergayut tangan memastikan adik-adik tidak bikin onar. Semua memerhati keletah dua orang budak perempuan tadi. Dengan kulum senyum gumbira pada tiap-tiap pasang mata. Dan tiap-tiap bentuk muka.

Aku swipe Touch n Go dan aku melintas jalan di depan STAR Masjid Jamek. Aku perhati pengemis-pengemis jalanan. Aku tak mahu ambil pusing apa yang dikemis. Duit kertas kah? Syiling kah? Nasi lemak bungkus kah? Paper The Sun kah? Sebatang rokok kah? Lantak kau orang. Aku perhati seorang mak cik Melayu beli nasi lemak bungkus lalu disedekahkan secara bertamadun pada seorang pengemis yang bersandar pada tiang. Seorang pemuzik jalanan buta bermain biola meraikan Saiyiddul Ayyam. Aku berdiri tegak memerhati dekat. Penghormatan kepada seorang pemuzik jalanan buta. Habis lagu aku berlalu dan swipe Touch n Go menuruni eskalator PUTRA Masjid Jamek.

Aku nampak Nyonya yang sibuk melayan cucu dalam stroller. Nampak comel. Dan aku. Cemburu dengan sesuatu yang aku tidak ada. Tidak punya. Nyonya perasan aku. Nyonya senyum. Dan aku pun senyum. Senyum persefahaman antara dua manusia tanpa sebarang prejudis, tanpa unsur rasis, tanpa perlu singkap selidik pegangan akidah. Aku dapat tangkap sirat senyum Nyonya. “Sampai masa nanti, lu pun punya anak." Terima kasih Nyonya.

Aku perhati gathering dua family friends di Signature Level 2. Sebuah famili Indonesia dan sebuah famili Bosnia mungkin. Bersefahaman dalam tutur Inggeris. Bapak-bapak perinci perihal vacation di Langkawi. Budak-budak laki-laki di satu meja lain bergebang hal budak laki-laki. Geng mak-mak dan anak perempuan mengitar seorang bayi lelaki di satu meja yang satu lagi sambil borak-borak kosong pasal benda-benda orang perempuan.

Mata aku tertangkap pada gadis Bosnia yang menge-cak-nge-cak bayi lelaki itu yang kini berada dalam pelukan. Sweet 16 mungkin. Pada raut muka itu, tersurat sesuatu yang sukar sekali untuk aku ungkapkan (serius). Keikhlasan. Ketulusan. Kebahgian. Dan entah. Kesemua itu menjadi sesuatu yang blend dan perasaan gadis Bosnia yang sedang menge-cak-nge-cak itu dapat aku rasakan (serius) dari kejauhan.

Aku paling kepala. Aku dapatkan briefcase kulit vintaj aku di kerusi sebelah. Dan aku berlalu pergi.

Kau Tuhan. Hanya satu yang aku pinta. Sebelum jasad ini sebati mati dengan bumi, Kau kurniakan perasaan gadis Bosnia itu ke dalam sanubari aku yang sakit ini.

Amin.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Friday, 28 December, 2012, 10:40 AM

No comments:

Post a Comment