Friday, April 13, 2012

Dedikasi Teragung untuk Seorang Emak


Saya ada emak. Shamsiah binti Kasim nama beliau. Timangan manja yang diberi oleh anak jiran rumah sebelah, Che’ Sham. Adik kecil saya pun menggunakan timangan manja yang sama sebagai panggilan. Tapi saya panggil emak saya Mak. Hari ini hari lahir beliau. Oh ya, beliau lahir 50 tahun yang lepas.

Mak saya lahir di sebuah daerah kecil, Gemencheh di Negeri Sembilan. Tapi orang Negeri Sembilan sebut Gmocheh (G didiamkan dan e dibunyikan e'). Abah beliau suku Biduanda, Mak beliau suku Mungkal. Jadi, Mak saya ikut suku Mak beliau, Mungkal. Kami tiga beradik juga sama, suku Mungkal walaupun Abah kami suku Seri Melenggang. Oh, lupa pula, sepupu saya panggil Mak saya Induk, adik-beradik panggil beliau Siah. Kawan-kawan panggil beliau Sham dan jiran-jiran pula, Kak Sham.

Orang cakap rupa saya macam Abah saya. Tapi saya tahu mata saya salinan mata Mak saya. Mak saya suka senyum, sebab itu beliau nampak sentiasa muda dan sentiasa cun. Jangan hairan kalau nampak saya sentiasa senyum besar, sebab saya anak Mak saya, jadi sebab itu juga saya nampak sentiasa muda dan sentiasa hensem. Masa saya Darjah Dua, Cikgu Faridah cakap ‘Muka emak Hazwan bulat-bulat’. Tapi muka Mak saya takde lah bulat-bulat sangat pun.

Mak saya seorang penyabar. Masa saya kecil, jenuh Mak saya ajar jangan bazir elektrik. Sebab itu hobi waktu senggang saya adalah tutup lampu bilik air, lampu bilik, kipas dan yang sewaktu dengannya. Mak saya juga rajin berpesan (bukan berleter). Antara pesan beliau, jangan tinggal solat, rajin ke masjid, belajar rajin-rajin dan jangan boros sangat. Saya suka dengar pesan beliau, tapi kadang-kadang liat juga kalau nak diikutkan.

Mak saya penaja besar saya. Beliau penaja besar dalam koleksi komik, majalah, bacaan ringan, bacaan ringan-berat, bacaan berat, permainan, makan minum, duit tak cukup hujung bulan, duit belanja girlfriend, duit minyak keluar dengan girlfriend, duit minyak keluar dengan kawan, kereta pinjam, benda-benda merapu, benda-benda tak berapa nak merapu, benda-benda bukan merapu dan sebagainya. Mak saya memang seorang yang tersangat kaya. Kaya dengan budi bahasa, kaya lah jugak kan?

Paling best, Mak saya seorang psikik (macam Mewtwo dalam Pokemon). Masa saya sekolah di Seremban dulu, kalau saya kempunan masakan beliau ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, pasti makanan yang saya kempunankan itu sudah sedia terhidang di atas meja. Kadang-kadang, apabila saya terasa nak berborak dengan Mak saya, dan-dan, call beliau masuk. Betul, tak tipu, Mak saya psikik.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Mak saya, Puan Shamsiah binti Kasim atau timangan manja beliau, Che’ Sham. Moga beliau sentiasa dikurniakan Tuhan kesihatan yang berpanjangan, dibukakan pintu rezeki yang melimpah ruah dari langit, dikurniakan kecerdasan akal dalam memahami ilmu Tuhan duniya akhirat dan yang paling penting dikurniakan menantu-menantu yang sangat cun serta sangat baik dan cucu-cucu yang sangat comel serta sangat montel (sangat sihat).

Mata Masuk Habuk - Credit to Mr. Ahmad Faheem

(P/S: Dedikasi teragung saya kepada seorang emak kepada 5 orang cahaya mata, Arwah Muhammad - 13 April 1988 (hari jadi beliau), Mohd. Hazwan - 9 April 1989 , Mohd. Zulhilmi - 25 April 1992, Mohd. Farid Hafiz - 12 April 1995 dan Arwah Siti Hajar - 26 Julai 1999. Kaseh, sayang, doa', berkat, air mata dan pengorbanan beliau hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas.)

3 comments: